Photo by Alex Green: https://www.pexels.com/photo/faceless-muscular-ethnic-man-grabbing-wrist-of-girlfriend-during-dispute-5699780/

Oleh Nury Kadir

Asiah binti Muzahim, isteri kepada Firaun, seorang lelaki yang paling jahat di atas muka bumi Allah dan mengaku dirinya tuhan. Firaun manusia yang amat kejam, sesiapa berbuat salah walaupun sebesar zarah akan terus dihukum bunuh, dibakar atau direbus.

Betapa kejamnya Firaun boleh dilihat pada peristiwa tukang sikat rambut anak perempuan Firaun. Ketika menyikat rambut anak Firaun, tiba-tiba sikatnya jatuh dan terkeluar dari mulutnya perkataan Bismillah. Apabila kejadian itu diadukan kepada Firaun, tukang sikat rambut dan lima orang anaknya yang masih kecil direbus sampai mati. Begitulah kejamnya Firaun.

Nabi Muhammad SAW menyebutkan, Asiah sebagai salah seorang ketua wanita-wanita syurga yang empat. Pertama, Maryam binti Imran, ibu Nabi Isa AS. Kedua, Khadijah binti Khuwailid, isteri Rasulullah SAW. Ketiga, Fatimah binti Muhammad, anak Rasulullah SAW. Keempat Asiah binti Muzahim, isteri Firaun.

Hal tersebut disebut dalam hadis Rasulullah SAW, Aisyah RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya; “Penghulu wanita syurga empat orang, Maryam binti Imran, Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad SAW dan Asiah.” (Riwayat Ahmad)

Apabila Firaun mengetahui isterinya, Asiah mengikut ajaran agama Nabi Musa AS maka dia dibunuhnya. Firaun boleh sahaja terus membunuh Asiah tetapi dia lebih suka menyeksanya. Asiah dibawa ke tengah padang pasir yang gersang, dijemur dan diikat. Berhari-hari Asiah diseksa dan Firaun masih mengunjungi Asiah untuk memujuknya. Setiap kali Firaun datang memujuk, Asiah tetap teguh menyatakan keimanannya kepada Allah. Pada hari berikutnya, Firaun bertanyakan hal yang sama maka dijawab oleh Asiah, “Sungguh bertambah-tambah keyakinan aku kepada Allah.”

Bertambahlah kemarahan Firaun mendengar jawapan itu, lalu diperintahkan tenteranya mengangkat batu yang sangat besar dan apabila batu itu dihempapkan ke atas kepala Asiah nescaya matilah dia. Sebelum batu dihempapkan ke atasnya, Asiah mendongak ke langit lalu berdoa, “Wahai Tuhanku, binalah untuk-ku di sisi-Mu sebuah istana di syurga, dan selamatkanlah aku daripada Firaun dan perbuatan (yang kufur dan buas) dan selamatkanlah aku daripada kaum yang zalim.” (Surah At-Tahrim:11)

Matilah Asiah dalam keadaan tersenyum kerana sebelum batu itu dihempapkan ke atasnya Allah telah memperlihatkan istananya di syurga sedang menunggunya. Firaun pun hairan melihat keadaan isterinya yang tersenyum walaupun diseksa dan dihempap dengan batu besar tidak ada ketakutan di wajahnya.

Asiah seorang wanita yang baik, beriman, berkahwin dan tinggal bersama lelaki yang paling jahat di atas muka bumi. Memang Asiah diberi layanan baik dan dilengkapi dengan segala kemewahan. Malah, Firaun pun tunduk kepada pujukan Asiah apabila hajatnya untuk mengambil Nabi Musa AS yang dihanyut di sungai sebagai anak angkat. Membesarlah Nabi Musa dalam peliharaan Asiah sementara bayi lelaki yang lain semuanya mati dibunuh Firaun.

Itulah kisah Asiah yang hidup dalam dunia suami yang jahat dan kejam namun tidak pernah goyah keimanannya kepada Allah. Asiah bukan isteri nabi mahupun rasul tapi Rasulullah SAW menyebut namanya sebagai salah seorang penghulu-penghuni syurga sebaris bersama isteri dan anak perempuan Rasulullah SAW dan ibu kepada Nabi Isa.

Photo by Thirdman: https://www.pexels.com/photo/women-praying-together-8488997/

Hari ini, andai kata suami pilihan hati jahat dan kejam seperti Firaun. Adakah kita jadi wanita paling malang kerana salah memilih suami? Atau mungkinkah kita jadi wanita syurga yang mencontohi Asiah?

Selalu yang kita dengar dari mulut orang sekeliling, “malang sungguh nasib kau salah pilih suami. Dahlah perangai buruk, kaki pukul pula.”

Soalnya adakah kita memang bernasib malang kerana tersalah pilih suami yang kita sendiri tidak tahu perangainya sebelum berkahwin?

Hal tersebut pernah dibicarakan dalam Irsyad al-Fatwa (www.muftiwp.gov.my), Islam melihat sifat malang itu dari sudut kebaikan di sisi Allah SWT. Secara asasnya, Islam telah meletakkan dasar pegangan yang kuat bahawa segala sial, malang, mudarat dan manfaat adalah milik Allah SWT.

Sebagaimana Firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 107, maksudnya; “Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurnia-Nya. Allah melimpahkan kurnia-Nya itu kepada sesiapa yang dikendaki-Nya dari hamba-hamba-Nya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Imam Fakhruddin al-Razi menjelaskan ayat di atas bahawa, jika seseorang itu ditimpa keadaan yang malang, sial, mudarat dan seumpamanya, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghilangkannya melainkan Allah SWT. Dan, jika seseorang mendapat kebaikan, manfaat, kesenangan dan seumpamanya , maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaan-Nya itu.

Pada hakikatnya sama ada kesenangan dan kesusahan yang menimpa hidup kita kesemuanya adalah ujian dari Allah SWT. Islam mendidik umatnya memperbaiki diri, redha dengan ketentuan Allah dan sabar menghadapi cabaran kehidupan. Terus berusaha ke arah kebaikan dan meyakini setiap aturan Allah SWT itu mempunyai ganjaran pahala di sisi-Nya.

Sebagaimana sabda Nabi SAW, maksudnya; “Sesungguhnya seseorang itu memiliki suatu kedudukan yang tidak akan dicapai dengan amal perbuatannya di sisi Allah SWT, maka Allah SWT akan sentiasa mengujinya dengan sesuatu yang tidak disukai sehingga dengan (ujian itu) Allah SWT menjadikan dia sampai kepada kedudukannya tersebut.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)

Dalam membicarakan hadis tersebut, Dr. Abdul Muhdi Abdul Qadir menyebut di dalam risalahnya bahawa, sebahagian manusia sebenarnya telah ditetapkan oleh Allah SWT dengan kedudukannya yang tinggi di syurga. Jika dia bermalas-malas beramal soleh, maka Allah akan menimpakan ujian kepadanya bagi membolehkan ia sampai ke darjat yang telah ditetapkan untuknya. (www.muftiwp.gov.my)

Jangan gusar, usah risau kerana Allah sudah berjanji dalam surah an-Nur ayat 26 maksudnya; “(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia.”

Walaupun, itu janji Allah namun ia sama sekali tidak menafikan usaha untuk mencari pasangan yang terbaik, bukan hanya menyerah kepada takdir. Imam Ibnu ‘Asimin memberi penjelasan di dalam tafsirnya tentang ayat ini, bahawa antara hikmah Allah SWT adalah menjadikan setiap pasangan itu dalam keadaan yang serasi dan sesuai antara satu sama yang lain, bahkan setiap perkara tersebut diserasikan oleh Allah SWT ketika di dunia dan di akhirat.

Allah SWT menghimpunkan dalam kalangan mereka bukan hanya di dunia, bahkan juga di akhirat seperti mana firman Allah SWT, maksudnya; (Allah berfirman kepada malaikat):” Himpunkanlah orang-orang yang zalim itu, dan orang-orang yang berkeadaan seperti mereka, serta benda-benda yang mereka sembah.” (Surah As-Saffat: 22)

Jodoh merupakan perkara yang terdapat di dalam ilmu Allah SWT, sebuah ketetapan dan ketentuan-Nya, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibnu Mas’ud R.A bahawa Nabi SAW bersabda; maksudnya, “Sesungguhnya setiap kamu dikumpulkan penciptaannya di perut ibunya selama empat puluh hari, kemudian berubah menjadi seketul darah dalam tempoh yang sama, kemudian menjadi segumpal daging dalam tempoh yang sama, kemudian diutuskan kepadanya seorang malaikat lalu ditiupkan ruh dan dia diperintahkan (malaikat tersebut) untuk menetapkan empat perkara. Menetapkan rezekinya, ajalnya, amalnya dan kesudahannya sama ada kecelakaan atau kebahagiaan.” (Riwayat Muslim)

Diakhiri artikel ini dengan doa yang sering oleh Rasulullah SAW, maksudnya: “Ya Allah kami berlindung kepadaMu dari pedihnya musibah yang tidak mampu ditanggung, dari datangnya sebab-sebab kebinasaan, dari buruknya akibat apa yang telah ditakdirkan dan gembiranya musuh atas penderitaan yang menimpa.” (Riwayat Bukhari)

Previous articleShuib tinggalkan Suria FM
Next articleKasut tumit tinggi? Cantik tapi derita…(Bahagian 1)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here