Oleh Nury Kadir
Ibn Taimiyyah berkata, “Jika masalah yang sedang saya hadapi mengalami jalan buntu maka saya akan beristighfar kepada Allah sebanyak 1000 kali (atau lebih kurang sebanyak jumlah itu) nescaya Allah akan membukakan jalan keluar.”
Menurut Dr. ‘Aidh al-Qarani, perbanyakanlah membaca istighfar agar anda dapat menemukan jalan keluar, mendapatkan ketenangan jiwa, harta yang halal, keluarga yang soleh dan hujan yang lebat.
Allah memerintahkan kita supaya beristighfar dalam surah Nuh ayat 10-12 bermaksud: “Maka aku katakan kepada mereka, “Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya dia Maha Pengampun, nescaya Dia akan menurunkan hujan yang lebat dari langit kepadamu. Dan, Dia membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.” (Surah Nuh: 10-11).
Ibn Kathir berkata, hendaklah kamu kembali kepada Tuhan daripada perlakuan yang tidak baik dengan bertaubat kerana sesiapa bertaubat pasti Allah menerima taubatnya sekalipun besar dosanya. Bahkan, jika kamu beristighfar nescaya Allah mengurniakan hujan yang lebat daripada langit.
Demikian juga di dalam surah Hud ayat tiga, Allah perintahkan kepada manusia supaya beristighfar. Dan, Allah juga berjanji akan mengurniakan kebaikan kepada mereka yang memohon keampunan dan bertaubat kepada-Nya.
Firman Allah SWT, maksudnya: “Dan hendaklah kamu memohon keampunan kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya, nescaya Dia akan memberikan kenikmatan yang baik kepadamu sehingga waktu yang telah ditentukan. Dan, Dia akan memberikan kurniaan-Nya kepada setiap orang yang melakukan kebaikan. Dan, jika kamu berpaling maka sesungguhnya aku takut kamu akan ditimpa azab pada hari kiamat.”
Ada hadis yang menyatakan tentang kelebihan istighfar iaitu hadis daripada Ibn Abbas, bahawa Nabi SAW bersabda, maksudnya: “Barangsiapa yang melazimi (sentiasa) istighfar, Allah SWT menjadikan untuknya bagi setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap kebimbangan itu kelapangan dan Allah juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.” (Riwayat Abu Daud).
Menurut Syeikh Syu’aib al-Arna’outh: Sanadnya dhaif kerana salah seorang perawi bernama al-Hakam bin Mus’ab padanya jahalah (tidak dikenali) sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Zahabi.
Menurut Syeikh Muhsin al-‘Abbad al-Badr ketika mensyarahkan hadis tersebut, “walaupun hadis ini dhaif dari sudut sanadnya tetapi maknanya terdapat di dalam al-Quran ketika membahaskan berkaitan taqwa di dalam surah al-Thalaq ayat 2-3. Selain itu, di dalam al-Quran juga menyatakan bahawa istighfar merupakan sebab mendapat rezeki sebagaimana di dalam surah Nuh ayat 10-12.
Namun jangan risau kerana ada hadis sahih yang menceritakan betapa pentingnya istighfar dalam kehidupan seharian. Hadis tersebut adalah berkaitan kelebihan mengamalkan Penghulu Istighfar atau ia dinamakan sebagai Sayyid al-Istighfar.
Daripada Syaddad bin Aus, bahawa Nabi SAW bersabda:
سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ: اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ
Maksudnya: “Sayyid al-Istighfar hendaklah kamu mengucapkan: Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Ilah yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Aku di atas perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau.” (Riwayat al-Bukhari).
Di dalam Fath al-Bari, Imam Ibn Hajar menaqalkan perkataan Ibn Jamrah yang mengatakan bahawa di dalam hadis ini, Nabi SAW telah menghimpunkan seni makna-makna serta lafaz-lafaz yang indah dan dengan itu melayakkan ia digelar sebagai penghulu segala istighfar. Di samping itu juga, terdapat padanya ikrar kepada Allah yang Esa akan keEsaan-Nya dan juga Ubudiyyah kepada-Nya (yang hanya berhak disembah).
Tambahan pula, di dalamnya terdapat pengiktirafan (daripada hamba) bahawa Allah adalah Pencipta dan berikrar dengan janji yang diambil oleh Allah keatasnya. Selain itu, berserah dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah kepadanya serta memohon perlindungan (daripada Allah) dari segala kejahatan yang dilakukan oleh seseorang hamba itu terhadap dirinya.
Di dalamnya juga terdapat sandaran kesenangan kepada pencipta-Nya dan juga sandaran dosa kepada diri pelakunya serta keinginannya untuk memohon ampun dan pengiktirafan akan dosa yang telah dilakukannya bahawa tiada yang mampu untuk mengampunkan dosa-dosa tersebut melainkan Allah SWT. (Fath al-Bari).
Di dalam hadis ini juga, Nabi SAW menyatakan akan kelebihan bagi sesiapa yang beramal dengan Sayyid al-Istighfar.
Sabda Baginda SAW lagi di dalam hadis yang sama:
وَمَنْ قَالَهَا مِنَ النَّهَارِ مُوقِنًا بِهَا، فَمَاتَ مِنْ يَوْمِهِ قَبْلَ أَنْ يُمْسِيَ، فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ، وَمَنْ قَالَهَا مِنَ اللَّيْلِ وَهُوَ مُوقِنٌ بِهَا، فَمَاتَ قَبْلَ أَنْ يُصْبِحَ، فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengucapkannya (Sayyid al-Istighfar) di waktu siang hari serta yakin dengannya, lalu dia meninggal pada hari itu sebelum waktu petang, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga. Dan barangsiapa yang mengucapkannya pada waktu malam dengan penuh keyakinan lalu dia meninggal sebelum masuk waktu pagi, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga.”
Alangkah seronoknya mendengar janji pasti dari Allah, hanya dengan beristighfar saja sudah dijanjikan syurga. Tidak mahukah kita mengambil janji itu sedangkan Rasulullah SAW yang telah Allah ampunkan dosa yang lalu dan akan datang pun tidak pernah berhenti beristighfar.
Diceritakan dalam sebuah hadis bahawa Nabi SAW beristighfar lebih daripada 70 kali sehari sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Sahih Imam al-Bukhari.
Daripada Abu Hurairah, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً
Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali.” (Riwayat al-Bukhari)
Daripada al-Aghar bin Yasar al-Muzani berkata, Rasulullah SAW bersabda:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ تُوْبُوْا إلَى اللَّهِ وَاسْتَغْفِرُوْهُ فَإِنِّي أَتُوْبُ فِي اليَوْمِ مِأَتَ مَرَّةٍ
Maksudnya: “Wahai manusia bertaubatlah kamu kepada Allah dan mintalah ampunan kepada-Nya, kerana sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak seratus kali.” (Riwayat Muslim).
Seseorang berkata kepada al-Hasan al-Basri: “Apakah salah seorang daripada kita tidak merasa malu kepada Tuhan-Nya. Dia memohon ampun terhadap dosanya kemudian dia mengulangi lagi, memohon ampun kemudian mengulangi lagi?” Lalu Imam al-Hasan al-Basri berkata: “Syaitan berharap jika dia berjaya menjadikan kamu merasa sedemikian. Maka janganlah jemu daripada istighfar (memohon keampunan).” (Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam)
Allah SWT juga berfirman:
وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّـهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَن يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّـهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَىٰ مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).” (Surah Ali Imran: 135)
Ibnu Kathir menyebut, berkenaan firman-Nya, (وَهُمْ يَعْلَمُونَ) “sedang mereka mengetahui,” Mujahid dan ‘Abdullah bin ‘Ubaid bin ‘Umair berkata: “Mereka mengetahui bahawa sesiapa yang bertaubat kepada Allah, nescaya Allah akan menerima taubatnya.” Ayat ini seperti firman-Nya:
أَلَمْ يَعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ هُوَ يَقْبَلُ التَّوْبَةَ عَنْ عِبَادِهِ
Maksudnya: “Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah Dia lah yang menerima taubat dari hamba-hamba-Nya.” (Surah Al-Taubah: 104)
Dan, juga firman-Nya:
وَمَن يَعْمَلْ سُوءًا أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللَّـهَ يَجِدِ اللَّـهَ غَفُورًا رَّحِيمًا
Maksudnya: “Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Nisa’: 110)
Istighfar yang dilakukan berulang-ulang adalah diterima selagi mana tidak terdapat pengulangan dosa setelah bertaubat dan memenuhi syarat taubat yang disebutkan. (sebahagian maklumat di dalam artikel ini dipetik dari www.muftiwp.gov.my)
BERSAMBUNG.
*kita sering disuruh beristighfar tapi apa itu istighfar? Adakah ia sekadar menyebut, istighfar! istighfar! istighfar!
NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.