Ajak dan Shuib merupakan rakan karib.

Oleh Wawa Najwa

Selepas setahun tiga bulan berkhidmat sebagai penyampai di segmen Morning Morning Suria, akhirnya Shuib mengambil keputusan berhenti daripada menjadi ahli keluarga stesen radio Suria FM, berkuat kuasa 4 Disember 2023.

Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhammad, 39, mula berkhidmat sebagai penyampai di Suria FM pada 29 Ogos 2022 dan diberi tanggungjawab mengendalikan segmen Morning Morning Suria bersama Ajak dan Suraya, setiap Isnin hingga Jumaat bermula jam 6 pagi hingga 10 pagi.

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid (DJ Lin) berkata, kerjasama yang telah terjalin selama hampir dua tahun ini merupakan satu langkah strategik bagi Suria FM dalam rangka perancangan bagi tahun 2023.

Ajak, Suraya dan Shuib yang mengendali segmen Morning Morning Suria.

“Komitmen Shuib bersama Suria FM bukan sahaja menjadi sebahagian daripada perancangan tahunan stesen radio, tetapi juga menjadi satu pengalaman yang amat berharga buat kami.

“Mewakili keluarga Suria FM, kami berterima kasih di atas segala komitmen padu dan elemen kreatif yang dibawakan oleh Shuib kepada stesen radio kami. Diharapkan beliau terus berjaya dalam setiap usaha perniagaan dan kerjayanya,” katanya.

Walau bagaimanapun, Suria FM turut berharap untuk terus menjalin kerjasama dengan Shuib dalam pelbagai inisiatif pada masa mendatang.

Persoalan mengenai siapa pengganti Shuib masih terlalu awal untuk diputuskan, tetapi pihak Suria FM akan memaklumkan kepada umum mengenainya sebaik keputusan rasmi dicapai.

Sementara itu, kata DJ Lin, berdasarkan keputusan terbaru kaji selidik GfK Pengukuran Pendengaran Radio, Wave 2 2023, Suria FM kekal catat jumlah masa mendengar tertinggi antara empat stesen radio komersial berbahasa melayu iaitu selama 6 jam 37 minit sekali gus mencatat sebanyak 3.2 juta jumlah pendengar mingguan.

“Alhamdulillah, Suria Cinta kelolaan DJ Lin masih ungguli ‘takhta’ catat jumlah masa mendengar mingguan tertinggi (Weekly Time Spent Listening) di antara stesen radio komersial berbahasa Melayu iaitu selama tiga jam lima minit sepanjang Ahad hingga Jumaat dari jam 8 malam hingga 1 pagi.

Walaupun sudah meninggalkan Suria FM, Shuib tetap sayangkan rakan-rakan sekerja.

“Manakala segmen seperti Morning Morning Suria gabungan Ajak, Shuib dan Suraya sepanjang Isnin hingga Jumaat dari jam 6 pagi hingga 10 pagi merekodkan jumlah masa mendengar kedua tertinggi di kalangan empat stesen radio berbahasa Melayu sebanyak dua jam 22 minit.

“Suria FM baru sahaja menyambut ulang tahun ke-16 pada 24 November lalu dan keputusan bagi Wave 2, 2023 kali ini merupakan hadiah bermakna buat seluruh warga Suria FM. Terima kasih kepada semua pendengar yang masih menyokong dan memilih Suria sebagai radio pilihan di hati mereka dan menjadikan kami kekal relevan di industri radio sehingga kini,” jelas DJ Lin.

Selain itu, katanya, segmen Gaya Suria dihoskan oleh Cik Piah, (10 pagi – 1 petang) dan Muzik Top Suria (1 petang – 3 petang), juga segmen Suria Petang kelolaan Sharifah Shahirah dan Tyzo (3 petang – 7 malam) bersiaran sepanjang Isnin hingga Jumaat kesemuanya turut berjaya meraih jumlah masa mendengar mingguan tertinggi di kalangan empat stesen radio berbahasa Melayu sebanyak 2 jam 4 minit (Gaya Suria), 1 jam 46 minit (Muzik Top Suria) dan 2 jam 22 minit (Suria Petang).

Previous articleKasma Booty digelar ‘Elizabeth Taylor of Malaya’
Next articleAduhai malangnya, tersalah pilih suami

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here