Oleh Nury Kadir
Menurut Dr. ‘Aidh al-Qarani, salah satu sebab ketenangan jiwa dan fikiran adalah dengan beristighfar kepada Dzat Yang Memiliki Keagungan (Dzul Jalal). Banyak hal yang dianggap berbahaya tetapi justeru mendatangkan manfaat. Setiap qadha’ pada dasarnya baik termasuk kemaksiatan yang dilakukan.
Dalam al-Musnad Imam Ahmad disebutkan, “Allah tidak menetapkan sebuah qadha’ kepada hamba-Nya kecuali itu menjadi sebuah kebaikan baginya.”
Ketika ditanyakan kepada Ibn Taimiyyah mengenai hal tersebut, “Meskipun qadha’ itu kemaksiatan?” Lalu Ibn Taimiyyah menjawab, “Ya, jika maksiat itu diiringi dengan taubat dan penyesalan, istighfar dan kesedaran.”
Perbanyakkanlah membaca istighfar kerana dengan istighfar akan ada rezeki, akan ada jalan keluar, akan ada keluarga, akan ada ilmu yang berguna, akan ada kemudahan dan akan ada penghapusan dosa (seperti yang dibicarakan Dr. ‘Aidh al-Qarani dalam La Tahzan)
Bagaimana hendak beristighfar? Adakah cukup menyebut istighfar, istighfar, istighfar? Bukan begitu tetapi bacalah Astaghfirullahal ‘adziim (اَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ) Maksudnya: “Aku memohon ampun kepada Allah Yang Maha Agung.”
Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri, mantan Mufti Wilayah Persekutuan menukilkan maksud istighfar di dalam www.muftiwp.gov.my, daripada beberapa pendapat ulama antaranya pendapat al-Seikh al-Jurjani dalam kitab al-Ta’rifat dan Ibn al-Qayyim.
Menurut al-Syeikh al-Jurjani perkataan istighfar adalah merdekanya dengan segala amalan kebajikan dan melakukan dengan sebaik mungkin. Begitu juga menganggap besarnya segala kesalahan dan berpaling daripada melakukannya.
Mengikut ahli kalam, istighfar dengan maksud memohon keampunan selepas melihat betapa buruknya maksiat dan berpaling daripadanya. Seorang ulama pernah menyebut Istighfar merupakan permohonan untuk melakukan pengislahan yang telah rosak sama ada dengan perkataan atau perbuatan.
Antara maksud lain istighfar ialah memohon keampunan atau memohon penghapusan dosa, menghilangkan kesannya dan berlindung daripada kejahatannya. Ibn al-Qayyim telah berkata: “Hakikat al-Maghfirah (keampunan) ialah melindungi dari kejahatan dosa. Oleh itu setiap yang menutupi kepala dari kesakitan dinamakan sebagai al-Mighfar.”
Melihat kepada soalan di atas, istighfar itu mempunyai banyak bentuk dan lafaz. Antaranya ialah istighfar atau doa Nabi Yunus AS ketika di dalam perut ikan Nun. Doa ini dirakam oleh Allah SWT di dalam al-Quran.
Firman Allah SWT:
لَّا إِلَـٰهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau! Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” (al-Anbiya’:87)
Di dalam tafsir Ibn Kathir ada menceritakan kisah bagaimana Nabi Yunus AS ditelan oleh ikan paus. Nabi Yunus AS telah pergi dengan menaiki kapal bersama kaumnya. Kapal tersebut dipukul ombak besar lalu mereka merasa takut kapal itu akan karam. Lalu, mereka mengundi salah seorang di antara mereka yang harus dibuang ke laut untuk meringankan bebanan kapal tersebut. Maka undian pun terkena kepada Nabi Yunus AS. Akan tetapi, mereka enggan untuk membuangnya. Lalu mereka pun mengulanginya dan undian tersebut terkena lagi kepada Nabi Yunus AS. Akan tetapi, mereka juga enggan untuk membuangnya. Lalu mereka pun mengulanginya untuk kali yang ketiga dan undian tersebut terkena juga kepada Nabi Yunus AS.
Hal itu juga disebut di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi di dalam al-Jami’: Daripada Sa’ad bin Abi Waqas bahawa Nabi SAW bersabda:
دَعْوَةُ ذِي النُّونِ إِذْ دَعَا وَهُوَ فِي بَطْنِ الحُوتِ: لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ، فَإِنَّهُ لَمْ يَدْعُ بِهَا رَجُلٌ مُسْلِمٌ فِي شَيْءٍ قَطُّ إِلَّا اسْتَجَابَ اللَّهُ لَهُ
Maksudnya: “Doa Nabi Yunus ketika baginda berdoa di dalam perut ikan paus: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau! Maha Suci Engkau! Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri”. Maka sesungguhnya tidak seorang Muslim itu apabila berdoa dengannya untuk sesuatu perkara (masalah) melainkan Allah SWT akan memustajabkan baginya”. (Riwayat al-Tirmizi)-[Syeikh Syuaib al-Arna’outh berpendapat sanad hadis ini sebagai hasan.
Untuk itu, istighfar atau doa tersebut juga mempunyai kelebihan yang tertentu sebagaimana istighfar-istighfar yang lain berdasarkan hadis di atas. Persoalan istighfar apa yang lebih afdhal di antara istighfar-istighfar yang dinaskan oleh syara’, maka kami berpandangan bahawa Sayyid al-Istighfar adalah lebih utama kerana Nabi SAW menamakannya sebagai penghulu segala istighfar.
Pun begitu, doa atau istighfar Nabi Yunus AS ini ada kelebihannya yang tersendiri. Walau bagaimanapun, kita dibolehkan untuk mempelbagaikan bacaan istighfar dalam kehidupan kita dan tidak tertumpu hanya pada satu bacaan sahaja. Ini kerana, setiap bacaan itu mempunyai kelebihan-kelebihannya yang tersendiri. Di sana terdapat beberapa syarat-syarat istighfar yang dinukilkan oleh Imam Ibn Hajar di dalam Fath al-Bari, antaranya:
- Niat yang benar
- Tawajjuh (menghadapkan diri hanya kepada Allah SWT)
- Beradab (Menjaga adab-adab)
Dengan berdoa dan beristighfar, sudah pasti ia mempunyai banyak kelebihan antaranya, menghapuskan dosa, dikurniakan anak (bagi yang belum memiliki cahayamata perbanyakanlah beristighfar), diturunkan hujan dan dimurahkan rezeki. Boleh sahaja amalkan doa keampunan kepada-Nya seperti di bawah:
ربَّنَا اغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَإِسْرَافَنَا فِي أَمْرِنَا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
Diakhiri artikel ini dengan sebuah kisah menarik yang dipetik dari www.muftiwp.gov.my mengenai al-Hassan al-Basri berkenaan istighfar. Kisah ini dinukilkan oleh Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya, al-Jami’ li Ahkam al-Quran.
Pada suatu hari ada seorang datang mengadu kepada Hasan al-Basri tentang masa kemarau. Hasan berkata kepadanya “Beristighfarlah kepada Allah.” Ada pula lelaki lain mengadu akan kemiskinannya. Beliau juga berkata “Beristighfarlah kepada Allah”. Ada pula lelaki lain berkata “Doakanlah supaya Allah memberikan ku anak.” Beliau berkata “Beristighfarlah kepada Allah”. Datang lagi lelaki lain yang mengadu tentang kebunnya yang kekeringan. Beliau berkata “Beristighfarlah kepada Allah”.
Anak muridnya bertanya kepada Hasan “Beberapa orang lelaki datang dan mengadu pelbagai jenis perkara tetapi kamu menyuruh mereka semua membaca istighfar?” Hasan menjawab “Aku sama sekali tidak mengatakan apapun dari diriku sendiri. Sesungguhnya Allah berfirman:
فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا ﴿١٠﴾ يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا ﴿١١﴾ وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا ﴿١٢
“Aku katakan kepada mereka, “Mohonlah keampunan kepada Tuhanmu sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan memperbanyakkan harta dan anak-anak mu dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.” (Surah Nuh: 10 – 12)
NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.