Oleh Nury Kadir
Kalau hendak bercerita tentang masalah haid sebulan belum tentu habis. Ada seribu satu macam masalah yang berkait dengan haid.
Masalah haid juga menjadi sumber was-was, rasa macam sudah habis tetapi masih ada lagi secalit berwarna coklat, perang dan kadang-kadang kuning. Adakala rasa macam belum habis, maka dilewatkan mandi wajib rupa-rupanya sebelum subuh darah haid sudah berhenti.
Persoalannya, bagaimana waktu solat subuh yang sudah ditinggalkan sedangkan ketika mandi wajib adalah ketika hendak solat zohor?
Dalam kitab Talbis Iblis oleh Ibnu Jauzi, menyentuh sedikit tentang tipu daya iblis terhadap kaum wanita. Talbis Iblis terhadap kaum wanita sangat banyak dan salah satu daripadanya adalah berkaitan dengan haid.
Menurut Ibnu Jauzi, wanita yang suci dari haid setelah matahari bergeser ke barat, dia baru mandi sesudah masuk waktu asar. Dengan ini dia hanya melaksanakan solat asar, padahal solat zohor juga wajib baginya namun dia seolah-olah tidak menyedarinya.
Ada juga antara mereka yang menundakan perlaksanaan mandi wajib haid sehingga dua hari berikutnya dengan alasan dia harus mencuci pakaiannya.
Kadang-kadang mandi haid tersebut ditunda dari mulanya malam hari hingga matahari terbit.
Berbalik kepada persoalan asal iaitu haid yang hanya menyentuh mengenai tanda-tanda suci, melambatkan mandi wajib dengan niat ingin menunggu lagi jika ada darah haid yang masih tertinggal dan warna darah haid.
Untuk makluman, semua perbincangan mengenai haid adalah petikan beberapa artikel dari www.muftiwp.gov.my tanpa ada tokok tambah bagi mengelakkan kekeliruan.
Persoalan pertama, adakah perlu tunggu 15 hari untuk mandi wajib walaupun darah haid sudah berhenti pada hari ke lima? Apakah tanda-tanda suci dari haid?
Wanita mempunyai tempoh haid tertentu tanpa mesti terikat dengan tempoh maksimum 15 hari. Tempoh haid terbahagi kepada tiga bahagian iaitu minimum, maksimum dan kebiasaan.
Tempoh minimum haid sehari semalam iaitu 24 jam, tempoh maksimum haid ialah 15 hari 15 malam dan kebiasaan haid adalah enam atau tujuh hari.
Soalan yang diajukan berkaitan wanita yang telah kering darah pada hari ke enam dan menunjukkan tanda suci maka baki hari seterusnya adalah suci. Perkara ini dijelaskan oleh para fuqaha mazhab Syafi’i antaranya Imam al-Khatib al-Syirbini:(وغالبه) أَي الْحيض (سِتّ أَو سبع) وَبَاقِي الشَّهْر غَالب الطُّهْر
“Kebiasaan tempoh haid ialah enam atau tujuh hari dan baki bulan adalah kebiasaan suci haid”
Seterusnya, panduan wanita suci daripada darah haid melalui dua tanda iaitu kering daripada darah ( الجوف ) atau keluar cairan putih ( قصة البيضاء ). Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayat oleh Aisyah R.Anha :
كَانَتْ النِّسَاءُ يَبْعَثْنَ إلَى عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا بِالدُّرْجَةِ فِيهَا الْكُرْسُفُ فِيهِ الصُّفْرَةُ مِنْ دَمِ الْحَيْضِ فَتَقُولُ لَا تَعْجَلْنَ حَتَّى تَرَيْنَ الْقَصَّةَ الْبَيْضَاءَ تُرِيدُ بِذَلِكَ الطُّهْرَ مِنْ الْحَيْضَةِ
Maksudnya: Dahulu para wanita datang menemui Aisyah R.Anha dengan menunjukkan kain yang berisi kapas (yakni yang dimasukkan ke dalam faraj) yang padanya ada kesan kekuningan (kesan darah haid) lalu Aisyah berkata kepada mereka, “Janganlah kamu tergesa-gesa (untuk mandi dan bersolat) sehinggalah kamu melihat warna cecair putih pada kapas yang menunjukkan suci daripada darah haid.”
Imam Nawawi menjelaskan bahawa tanda berhenti darah haid atau suci adalah tidak keluar darah mahupun warna cecair kekuningan atau warna keruh, cuma yang keluar hanya cairan putih atau tidak keluar apa-apa cairan sama sekali. Seterusnya, cecair putih menunjukkan permulaan kiraan suci selain petanda akhir haid.
Dua tanda suci daripada haid ialah cecair putih (القصة البيضاء) dan kering (الجفوف). Cara ini dapat dikenal pasti dengan memasukkan kain kapas ke dalam faraj, kemudian apabila dikeluarkan ianya kering tanpa kesan darah.
Cecair putih menunjukkan penghujung haid dan tanda-tanda suci daripada haid. Tiada tanda selepasnya sehingga melihat tanda cecair putih atau kering.
Maksud hadis “Janganlah kamu tergesa-gesa” menunjukkan bahawa cecair kekuningan dan keruh yang terdapat dalam tempoh haid adalah haid. Hal ini kerana hukum wanita haid sehingga dia melihat cecair putih yang kadang-kadang sebelumnya terdapat warna cecair kuning atau keruh. Cecair putih yang ditolak keluar daripada rahim adalah pada waktu haid berhenti.
Justeru itu, wanita perlu mandi wajib setelah mendapati tanda cecair putih jernih pada kapas setelah dikeluarkan daripada faraj. Perkara ini dijelaskan oleh Imam Hajar al-Haitami dalam karya Tuhfah Minhaj:
وَكَذَا فِي الِانْقِطَاعِ بِأَنْ كَانَتْ لَوْ أَدْخَلَتْ الْقُطْنَةَ خَرَجَتْ بَيْضَاءَ نَقِيَّةً فَيَلْزَمُهَا حِينَئِذٍ الْتِزَامُ أَحْكَامِ الطُّهْرِ،
“Haid terputus apabila dimasukkan kapas pada faraj kemudian keluar putih dan jernih, maka lazim baginya untuk melaksanakan kewajipan seperti hukum hakam orang yang suci (iaitu solat, puasa dan ibadah lain).”
Persoalan kedua, darah kekuningan yang sangat sedikit ( 3-4 hari) dan kadang-kadang ada hari tidak keluar. Seterusnya diikuti darah merah yang banyak kemudian berkurang sehingga habis (5-6) hari. Sebelum ini bermula darah merah selama sembilan hingga 10 hari. Persoalannya, Adakah warna kekuningan yang hanya 2-3 titis tidak berterusan itu dikira awal permulaan haid?
Haid dari segi istilah syarak ialah darah tabi’i yang keluar daripada pangkal rahim perempuan ketika badannya sihat dalam tempoh tertentu. Mengenalpasti warna-warna darah haid sangat penting kerana melibatkan perkara yang dilarang bagi wanita haid untuk melaksanakan ibadah seperti solat, puasa, iktikaf, tawaf, menyentuh dan membaca Al-Quran.
Kebiasaan warna darah ialah kehitaman, merah, kuning atau warna keruh seperti tanah atau air kotor dan berbau (al-Wajiz fi al-Fiqh al-Islami). Pendapat yang paling sahih dalam kalangan fuqaha Syafie ialah cecair warna kuning dan keruh yang keluar pada tempoh haid adalah termasuk dalam darah haid (Minhaj al-Thalibin).
Berikut riwayat berkaitan warna darah haid :
إِذَا كَانَ دَمُ الْحَيْضَةِ فَإِنَّهُ دَمٌ أَسْوَدُ يُعْرَفُ فَإِذَا كَانَ ذَلِكَ فَأَمْسِكِى عَنِ الصَّلاَةِ فَإِذَا كَانَ الآخَرُ فَتَوَضَّئِى وَصَلِّى فَإِنَّمَا هُوَ عِرْقٌ
Maksudnya: “Jika darah haid, maka sesungguhnya ia adalah darah berwarna hitam yang dikenali. Jika ia bersifat demikian janganlah bersolat dan jika selainnya berwuduklah dan dirikan solat, kerana darah itu ialah darah penyakit.” (Riwayat Abu Daud)
Riwayat Aisyah R.Anha dalam Sahih al-Bukhari secara mu`allaq dan al-Muwatta’
كَانَتْ النِّسَاءُ يَبْعَثْنَ إلَى عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا بِالدُّرْجَةِ فِيهَا الْكُرْسُفُ فِيهِ الصُّفْرَةُ مِنْ دَمِ الْحَيْضِ فَتَقُولُ لَا تَعْجَلْنَ حَتَّى تَرَيْنَ الْقَصَّةَ الْبَيْضَاءَ تُرِيدُ بِذَلِكَ الطُّهْرَ مِنْ الْحَيْضَةِ
Maksudnya: Dahulu, para wanita datang menemui Aisyah R.Anha dengan menunjukkan kain yang berisi kapas (yakni yang dimasukkan ke dalam faraj) yang padanya ada kesan kekuningan (kesan darah haid) lalu Aisyah berkata kepada mereka, “Janganlah kamu tergesa-gesa (untuk mandi dan bersolat) sehinggalah kamu melihat warna cecair putih pada kapas yang menunjukkan suci daripada darah haid.”
Sementara, warna kuning atau keruh yang didapati bukan dalam tempoh haid atau selepas maksimum haid atau pada tempoh suci tidak dianggap haid. Ini berdasarkan hadis Ummu A’thiyah:
كنَّا لا نعدُّ الكَدرةَ والصُّفرةَ بعدَ الطهرِ شيئًا
Maksudnya: “Kami tidak menganggap darah yang keruh dan kekuningan yang keluar selepas tempoh suci itu darah haid.” (Riwayat Bukhari)
Majoriti fuqaha memberi makna hadis tersebut ialah warna kuning dan keruh dianggap haid hanya khusus pada tempoh haid (Sharh Sahih Bukhari Li Ibn Battaal).
Seterusnya, darah yang keluar daripada rahim itu terputus-putus akan dianggap sebagai darah haid dengan syarat darah itu keluar mencukupi 24 jam selama masih pada tempoh sepanjang haid ialah 15 hari (Sabila al-Muhtadin).
Ini bermakna, cecair kekuningan atau keruh, mahupun warna darah merah yang tidak mencukupi syarat 24 jam, maka ia tidak dihukumkan darah haid. Atau dengan kata lain darah kurang 24 jam ialah darah istihadah atau darah fasad (rosak).
Berbalik kepada soalan yang diajukan, warna cecair kekuningan yang keluar hanya titisan dan terputus pada hari seterusnya adalah dianggap darah haid sekiranya keluar pada tempoh haid dan mencukupi atau lebih 24 jam selama masih pada tempoh 15 hari.
Tambahan pula, titisan warna cecair kekuningan dianggap awal permulaan haid kerana selepasnya disusuli warna merah yang sememangnya warna darah. Sementara darah yang tidak keluar (naqo’) atau terputus selepas titisan kuning termasuk dalam fatrah haid (waktu haid).
BERSAMBUNG
*walaupun sudah tahu tanda-tanda suci tapi masih mahu bertangguh-tangguh mandi wajib dengan alasan belum cukup bilangan hari.
NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.