Photo by Andrea Piacquadio on www.pexels.com

Oleh Nury Kadir

Konsep buy now pay later (BNPL) dimulakan oleh Klarna, sebuah syarikat fintech (financial technology) Sweden pada 2014 dan Zip Pay yang berpangkalan di Australia pada 2013. Perkhidmatan BNPL yang ditawarkan membolehkan pengguna membuat pembelian dari penjual di atas talian tanpa perlu membayar harga penuh.

Pengguna boleh memilih untuk membayar secara ansuran atau membayar keseluruhan harga belian dalam tempoh 30 hari ataupun menyusun semula pelan pembayaran untuk jangka masa panjang atas persetujuan bersama.

Laporan Research and Markets 2023, nilai pasaran global BNPL dianggarkan berada pada AS$ 105.5 billion pada 2022 dan dijangka meningkat kepda AS$ 155.79 billion pada 2023. Ada berpendapat perkembangan pesat itu bermula setelah pandemik Covid-19 melanda dunia pada penghujung 2019 yang mengubah corak pembelian pengguna. Apabila penduduk dikenakan perintah kawalan pergerakan, platform BNPL menjadi pilihan utama untuk membeli barang keperluan.

Perkhidmatan BNPL lebih kurang sama kaedahnya dengan ‘buku 555’, ambil barang dahulu apabila sampai hari gaji baru bayar. Ada yang bayar penuh malah ada juga yang bayar beransur-ansur. Setiap harga barang yang diambil dicatatkan di dalam buku 555, begitu juga jumlah bayaran yang dibuat. Setiap orang ada buku 555 sendiri agar mudah mengira hutang. Namun ketika itu tidak ada kadar bunga yang dikenakan, sebaliknya jika tidak bayar maka tidak dapatlah lagi mengambil barang.

Person using a computer and holding a credit card and receipts
Photo by Karolina Grabowska on Pexels

Hari ini, perkhidmatan BNPL semakin berkembang seiring dengan kepesatan perniagaan online. Bagi orang Islam perlu ada ilmu untuk memilih BNPL kerana ada pertimbangan halal haram.

Tidak semua BNPL haram kerana ada unsur riba namun banyak juga yang halal serta patuh syariah. Perkhidmatan BNPL yang popular SPayLater (shopee), pada 2021 Mufti Wilayah Persekutuan pernah mengatakannya haram kerana terdapat unsur riba. Terdapat beberapa isu syariah yang timbul iaitu caj pemprosesan dan caj lewat bayar mempunyai unsur riba. Manakala bagi kaedah pembayaran secara one-off dalam tempoh sebulan, tidak ada isu syariah padanya kerana tiada unsur riba dan boleh digunakan.

Sekiranya pelanggan lewat bayar dalam tempoh yang ditetapkan akan dikenakan caj tambahan sebanyak 1.5 peratus daripada jumlah tertunggak secara bulanan. Caj tersebut dilihat mempunyai unsur riba yang jelas. Ini kerana setiap hutang yang disertakan bayaran tambahan akibat kelewatan adalah termasuk dalam kategori Riba al-Qard.

Begitu juga dengan caj pemprosesan yang terdapat unsur riba kerana mengambil manfaat keuntungan berlebihan daripada pinjaman yang diberikan. Umat Islam dilarang menggunakan perkhidmatan SpayLater ketika itu kerana ada transaksi yang mempunya unsur riba sedangkan dalam Islam, riba adalah haram.

Pada Oktober 2023, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri sekali lagi mengulas mengenai SPayLater apabila ada yang bertanya statusnya. Berdasarkan maklumat terkini dan juga perubahan yang dibuat, setelah disemak serta disahkan oleh Sekuriti Syariah maka hukumnya sekarang adalah harus dan SPayLater boleh digunakan.

Working macbook computer keyboard
Photo by Negative Space on Pexels

Shopee mengumumkan bahawa SPayLater telah mendapat pengiktirafan patuh syariah daripada sebuah firma berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti. Beberapa perubahan telah dilakukan antaranya, jika pembeli lewat bayar maka tidak akan dikenakan caj seperti sebelum ini. Sebaliknya, akaun SPayLater mereka akan dibekukan. Jika mahu terus menggunakan SPayLater, pengguna perlu membayar caj sebanyak RM10 untuk mengaktifkan kembali akaun. Penstrukturan patuh syariah ini juga memperlihatkan kenaikan yuran pemprosesan dari 1.2 peratus kepada 1.5 peratus sebulan.

Inilah yang dikatakan sebagai, الحُكْمُ يَدُورُ مَعَ عِلَّتِهِ وُجُودًا وَعَدَمًا . Maksudnya, “Sesuatu hukum berlegar bersama-sama illahnya ketika ia ada dan tiada.”
Ibn Qayyim al-Jauziyyah menjelaskan, kaedah “Hukum berlegar bersama-sama illahnya ketika ia ada dan tiada” bermaksud, Apabila Allah mengaitkan sesuatu hukum dengan sebab ataupun ‘illah tertentu, maka hukum tersebut akan hilang apabila hilangnya kedua-duanya iaitu sebab atau ‘illah. (Maktabah al Bakri)

Syarat BNPL Patuh Syariah

Perkembangan teknologi yang pesat telah memungkinkan pelan berbayar BNPL popular dan menjadi pilihan utama. Disebabkan terlalu banyak pilihan maka yang terbaik adalah memilih pelan yang patuh syariah. Masalahnya bagaimana hendak memilih BNPL patuh syariah?

Sebelum menjawab persoalan tersebut, perlu difahami bahwa semua jenis dan bentuk muamalat pada dasarnya adalah harus, selagi mana tidak ada dalil syarak yang mengharamkannya. Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam surah al Baqarah ayat 275, maksudnya; “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

Di dalam Irsyad al-Fatwa (www.muftiwip.gov.my) dibincangkan secara jelas mengenai permasalahan tersebut. Dari perspektif syarak, bentuk jual beli BNPL boleh dilihat dalam al-Bai‘ Bithaman Ajil bermaksud proses menjual sesuatu dengan menyegerakan penyerahan sesuatu barangan namun ditangguhkan atau dilewatkan pembayarannya sehingga ke suatu tempoh waktu yang ditetapkan.

Photo by Ron Lach

Oleh yang demikian, timbul persoalan mengenai keharusan memakai akad al-Bai‘ Bithaman Ajil pada transaksi jual beli. Dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.A, beliau berkata, maksudnya, “Nabi SAW pernah membeli makanan daripada seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi Baginda SAW.” (Riwayat al-Bukhari)

Hadis ini menunjukkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah beramal dengan transaksi jual beli secara bertangguh. Oleh yang demikian, jual beli sebegini adalah harus dan boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

Menyentuh berkenaan akad al-Bai‘ Bithaman Ajil pula, apabila diharuskan pembayaran sesuatu barangan ke suatu tempoh yang ditetapkan, maka bayaran itu boleh dilunaskan sama ada secara penuh (lump sum) atau secara ansuran, dan bila mana bayaran dibuat secara ansuran, secara tidak langsung ia turut berkait dengan akad al-Bai‘ bi al-Taqsit yakni jual beli secara ansuran.

Transaksi BNPL, lazimnya para pembeli diberikan pilihan sama ada untuk membayar secara tunai atau ansuran namun dengan harga yang lebih tinggi. Sebagai contoh, seseorang yang ingin membeli mesin basuh, ditawarkan dengan dua pilihan sama ada membayar RM1000 sekiranya dibeli secara tunai atau perlu membayar sebanyak RM1500 sekiranya ingin dibayar secara ansuran. Sehubungan dengan itu, timbul persoalan berhubung peningkatan harga apabila membeli sesuatu barangan secara ansuran, adakah ia termasuk dalam kategori riba?

Menurut pandangan empat mazhab iaitu Syafi‘i, Hanafi, Maliki dan Hambali, kesemua mereka mengharuskan jual beli barangan dengan bayaran lebih kerana penangguhan waktu. Hal ini kerana pada hakikatnya perbezaan harga di sini merupakan ganti kepada tempoh waktu yang ditangguh tersebut dan juga kebarangkalian terdedahnya kepada risiko sewaktu tempoh penangguhan berjalan.

Perbezaan harga itu dianggap halal namun ia mestilah dengan tiga syarat:

  1. Hendaklah jual beli itu diketahui dari sudut barangan, nilai belian dan juga tempoh waktu.
  2. Tidak berlaku dua jual beli dalam satu waktu. Sebagai contoh, seseorang penjual katakan kepada pembeli: “Aku jual barangan ini dengan harga RM100 secara tunai atau RM200 secara tangguh, maka pilihlah jual beli yang mana anda mahu.” Jual beli sebegini adalah haram dan terbatal.
  3. Akad jual beli sudah disepakati di awal pembelian, bukannya di tengah ataupun di akhir pembelian.

Manakala riba pula berlaku apabila salah satu pihak mengambil tambahan daripada bahagian barangan yang sama diberikannya kepada pihak satu lagi sebagai ganti kepada tempoh. Contohnya, satu pihak meminjamkan RM1000 dengan syarat dia akan menerima daripada pihak peminjam RM1100 selepas sebulan. Ataupun penjual menjual 1000 gantang gandum dan dibayar dengan 1100 gantang gandum yang akan dibayar pada masa tersebut ataupun selepas tempoh tertentu.

Oleh yang demikian, jelas di sini bahawa BNPL menjadi konvensional apabila terhasil riba daripadanya, yakni keuntungan yang diperoleh melalui akad pinjaman dan bukannya akad jual beli. Maka, perkara ini yang membezakannya dengan BNPL Islamik. (www.muftiwp.gov.my)

Tidak dinafikan pelan BNPL ada kelebihannya, penjual boleh mendapat keuntungan lebih apabila pembeli memilih membayar secara ansuran. Manakala bagi pembeli pula ia adalah satu kemudahan untuk mendapatkan barang dengan cepat sebelum menjelaskan bayaran. Berkemungkinan barang tersebut adalah keperluan mendesak dan lebih memudahkan pembeli.

Pun begitu, pilihan terbaik adalah bayar dahulu dan dapat barang. Kalau boleh, tidak perlulah membiasakan diri berhutang untuk membeli barang-barang yang kecil seperti barang eletrik, telefon bimbit, perabot dan pinggan mangkuk. Jika duit belum cukup tangguhkan dahulu hasrat membeli sehingga simpanan cukup. Walaupun berhutang itu dibenarkan dalam Islam namun kalau boleh dielak maka elakkanlah.

Previous articleAmylea pilih pegawai bomba sebagai suami
Next articlePelbagai khasiat di sebalik durian belanda

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here