Oleh Wawa Najwa
ENGGAN mendedahkan tarikh sebenar majlis pernikahan, namun penyanyi dan komposer Amylea Azizan, 37, menyatakan yang beliau selamat bergelar isteri kepada Mohammad Aqbar Mohamad, 40, dengan sekali lafaz.
Amylea selamat dinikahkan dengan pegawai bomba dari Singapura itu oleh wali hakim di majlis pernikahan yang berlangsung di rumah keluarganya di Sungai Petani, Kedah.
Menerusi kenyataan akhbar hari ini (27 November) Amylea menerima mas kahwin senaskhah al-Quran dan telekung serta hantaran bernilai RM8,888. Angka itu dipilih sebagai lambang cinta infiniti dua pasangan sejoli itu.
Majlis yang berlangsung secara sederhana itu dihadiri tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat saja.
Kedua-dua mempelai yang memakai dua busana rekaan pereka fesyen terkenal, Teruntum Putih Redzuan Alias itu bakal mengadakan majlis resepsi pada 27 Januari tahun depan.
Amylea yang popular dengan lagu Kendati itu menzahirkan rasa syukur dirinya sudah bergelar isteri tanpa disangka kerana perkenalannya dengan Aqbar atau lebih dikenali sebagai Ash begitu singkat.
“Ternyata Allah itu maha berkuasa kerana dalam fikiran, saya yang tidak bersedia untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat. Kini, tup-tup, saya sudah bergelar isteri. Alhamdulillah…
“Perkenalan saya dengan Ash pun melalui media sosial sejak beberapa bulan lalu. Bila dah selesa berkawan, Ash terus melamar saya.
“Selepas mengamalkan beberapa doa dan solat istikharah, ada petanda baik yang berlaku. Dan kemudian dia terus berjumpa dengan keluarga saya. Alhamdulillah, saya tak pernah setenang ini sejak Ash hadir dalam hidup saya,” katanya.
Ash pula menyifatkan Amylea seorang wanita yang bijak dan serba serbi tahu mengenai segala perkara, membuatkan dirinya tertarik pada penyanyi itu.
Bagaimanapun katanya, buat masa ini mereka terpaksa melalui kehidupan jarak jauh kerana tugasannya sebagai pegawai bomba di Singapura.
“Mujur Amylea faham dengan situasi ini dan kami sedang mencari jalan macam mana nak duduk sekali. Perkara ini berlaku terlalu pantas. Saya jugak tidak sangka perkenalan singkat kami ini diakhiri dengan penyatuan cinta yang indah. Tengoklah macam mana nanti, just go with the flow,” katanya.
Bersempena dengan pernikahannya, Amylea turut tampil dengan single baharu berjudul Panji Putih Buat Pangeran, didedikasikan khas buat suaminya.
Menurut Amylea, lagu itu dicipta sebagai tanda cinta mereka yang akan kekal hingga akhir hayat dan dapat didengari oleh anak cucu mereka satu hari nanti.
“Lagu ini berkisarkan kedegilan hati saya yang merasakan hidup ini seperti sudah berakhir. Panji Putih itu diibaratkan seperti saya mengalah (bendera putih). Dan Pangeran pula sebagai tanda Ash sebagai orang barisan hadapan yang kerjanya saya hormat dan pandang tinggi.
“Ash meminati perkara-perkara tradisional dan saya gabungkan cita rasa saya dan dia dengan menghasilkan lagu ini dalam genre keroncong moden,” ujarnya.
Panji Putih Buat Pangeran akan dilancarkan pada penghujung December nanti dan peminat boleh mula mendengar ‘teaser’ di media sosial penyanyi itu.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.