Oleh: Datuk Omar Mustapha
Semalam (6 Januari) mahkamah rayuan dalam keputusan majoriti membenarkan Datuk Seri Najib Razak, bekas Perdana Menteri meneruskan usaha saman beliau terhadap Kerajaan Malaysia untuk memaksa Kerajaan mengakui kewujudan Titah Tambahan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-16 berhubung tahanan rumah bagi Datuk Seri Najib, dan sekiranya Titah itu wujud untuk Kerajaan melaksanakannya tanpa lengah.
Sudah tidak dapat dinafikan oleh sesiapa lagi bahawa Titah Tambahan Baginda YDPA ke-16 yang termaktub di Istana Negara bertarikh 29 Januari 2024 itu wujud.
Persoalan yang paling utama sekarang ialah kenapa Titah Baginda berhubung tahanan rumah itu tidak disempurnakan dan dilaksanakan oleh Kerajaan melalui satu lagi Perintah yakni Perintah Tahanan Rumah kepada Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia seperti mana terdapatnya perintah perintah terdahulu bagi Dato Sri Anwar (Perintah Pengampunan Penuh, 16 Mei 2018) dan Dato Sri Najib (Perintah Pengurangan Hukuman, 29 Januari 2024).
Ada yang berhujah bahawa Peguam Negara pada waktu itu berpendapat Titah Tambahan Baginda YDPA ke-16 bertarikh 29 Januari 2024 tidak sempurna dan tidak dapat dilaksanakan oleh Kerajaan.
Katanya sebab Titah itu berlaku di luar dan selepas mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 yang dicemari (hadir) Baginda YDP Agong. Perlu diingat bahawa YDP Agong bukan ahli Lembaga Pengampunan yang wujud untuk memberi pandangan dan nasihat kepada Baginda. Beliau hadir mencemar duli dan bukannya menjadi Pengerusi hakiki Lembaga tersebut.
Nasihat Lembaga Pengampunan boleh diterima atau sebaliknya oleh Baginda dalam melaksanakan kuasa pengampunan YDP Agong sesuai Artikel 42 Perlembagaan Persekutuan.
Ahli ahli Lembaga Pengampunan yang hadir pada 29 Januari 2024 memberikan pandangan bahawa hukuman 12 tahun penjara dan denda 210 juta yang dijatuhkan ke atas Dato Sri Najib setelah melalui ketiga-tiga proses dan tingkat mahkamah, wajar diteruskan. Maksudnya Kerajaan berpendapat tidak ada asas untuk meminda hukuman mahkamah.
Sebaliknya Baginda YDP Agong ke-16 Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta in Billah, memilih untuk memberikan ehsan kepada banduan bernama Datuk Seri Mohd Najib binTun Abdul Razak mengikut kuasa budi bicara Baginda yang termaktub dalam Perlembagaan. Cara dan bentuk ehsan seorang Raja ke atas seorang banduan bukan perkara yang sewajarnya dibahaskan, dirundingkan antara ahli ahli Lembaga Pengampunan dengan Raja seperti menawar harga ikan di pasar. Tiada bezanya Titah Baginda sama ada dalam mesyuarat atau selepas ahli ahli Lembaga Pengampunan bersurai, berhubung bentuk ehsan yang ingin dikurniakan Baginda.
Peguam Negara dan Kerajaan berkata seorang YDP Agong cuma boleh bertitah hal kuasa pengampunan di dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan sendiri. Tidak boleh di luar dan selepas.
Walhal Baginda bukan ahli mesyuarat dan tidak ada minit mesyuarat rasmi yang tercatat. Yang ada sesuai dengan tujuan cuma “peringatan butir butir mesyuarat”. Baginda seorang Raja bukan pengerusi mesyuarat. Titah Baginda sebagai YDP Agong bukannya sebagai pengerusi mesyuarat. Ada pihak yang jelas mahu perlekehkan kedudukan Baginda.
Sebarang Titah seorang Yang Di-Pertuan Agong, selagi mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan, perlu dijunjung dan dilaksanakan Kerajaan yang memerintah atas nama Baginda Yang Di-Pertuan Agong sendiri. Ini namanya sebuah negara Raja Berperlembagaan.
Sebagai Rakyat, kita tunggu dan lihat apa kesudahannya. Kerajaan yang betul tak hiraukan Titah Tambahan YDP Agong Ke-16 atau Baginda yang salah laksana kuasa?
Beliau seorang penganalisa bebas, bekas pengasas firma perunding strategi Ethos & Co. Beliau dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Petronas (2010-2018) dan Air Asia (2010-2014) dalam usia yang muda. Beliau pernah menjadi anggota Majlis Ekonomi Negara (2003-2005) di bawah Perdana Menteri Malaysia ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Pegawai Khas (2004-2006) kepada Perdana Menteri Malaysia ke-6, Dato Sri Najib Tun Abdul Razak semasa Najib memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Penasihat Ekonomi (2008-2010) sebaik sahaja Najib dilantik Menteri Kewangan pada tahun 2008.