Oleh: Nafsiah Jani
Kuna atau nama sebenarnya Tengku Sarina Tengku Mohd Muzani, 53, tidak pernah merasa jemu untuk memantapkan pengetahuan dirinya dalam dunia lakonan. Kakak kepada pelakon Kuza ini kini sedang sibuk mengikuti kursus jangka pendek bagi persediaan mengorak langkah ke peringkat antarabangsa.
“Sekarang ini saya tengah ikuti kursus Diploma Lakonan di Meatech Kajang. Pengajian selama beberapa bulan ini dibiayai sepenuhnya FINAS. Dengan adanya lesen ini nanti mudahlah saya untuk bergerak dan berlakon hingga ke peringkat antarabangsa. Buat masa ini, 20 orang pelakon dan 20 pengarah drama dan filem terpilih bagi mengikuti kursus jangka pendek ini. Antara pelakon yang bersama saya Keena Mentor, Salman, Datuk Fizz Fairuz, Zizan Nin, Dilla Ahmad, Norli Tamam, Faye, Farah Ahmad dan ramai lagi.

“Pengajian ini ada hari dan waktunya dan tidak mengganggu pekerjaan hakiki kami. Pengalaman 38 tahun dalam industri memudahkan saya mengikuti kelas ini. Cuma bezanya bahasa akademik dan bahasa yang kita gunakan sehari-hari,’’ kata Kuna anak sulong daripada 10 beradik ini.
Menyentuh mengenai watak, ujar Kuna dia tidak begitu memilih watak dan bersedia melakonkan apa sahaja watak yang ditawarkan.
“Setiap watak ada keistimewaannya yang tersendiri. Walaupun watak itu mungkin nampak membosankan, namun jika pelakon itu pandai watak itu akan jadi lagi bagus. Watak diwarnai oleh kebijaksanaan seseorang pelakon itu sendiri. Itu sebabnya saya berlakon dan tidak begitu memilih watak. Pada saya jika saya ditawarkan sesuatu watak, pasti mereka tahu keupayaan saya dan itu sebabnya saya ditawarkan watak tersebut. Sebagai pelakon saya kena bagi yang terbaik sebagai menghargai kepercayaan mereka.”

Bercakap mengenai kerjaya seninya, Kuna anak kelahiran Kelantan yang popular dengan drama Nasi Kerabu Untuk Che Abe ini berkata yang dia akan terus berlakon selagi khidmat dan bakatnya diperlukan pihak produksi.
“Selama ini dunia lakonan adalah mata pencarian saya dan saya akan terus berlakon selagi diperlukan. Dunia lakonan ini merupakan bidang yang saya minati dan suka sejak dulu lagi. Alhamdulillah, saya juga sangat-sangat bersyukur kerana hasil daripada duit berlakon yang diterima selama ini, saya dapat membesarkan tiga orang anak, sehingga mereka berjaya melanjutkan pengajian ke universiti.

“Namun sekarang terasa teruk industri lakonan ini. Dulu sebulan dapat juga tiga hingga empat tawaran, kini kalau bernasib baik dapatlah satu hingga dua tawaran. Jadi saya harap pihak kerajaan yang terlibat dengan industri perfileman dapat membantu kami anak-anak seni. Jadikan industri perfileman ini betul-betul sebuah industri seperti di negara luar dimana insan seninya masih menerima bayaran tinggi berbanding kami anak-anak seni di Malaysia ini. Makin lama makin teruk bayaran yang kami terima.”
Menyentuh mengenai impian yang belum kesampaian, jelas Kuna lagi,“Dari dulu hingga sekarang , saya tak pernah letakkan apa sasaran dalam hidup ini. Impian saya nak masuk syurga saja. Di dunia ini kita hanya buat kerja untuk teruskan kehidupan sehari -hari dan tak ada apa yang perlu dibangga-bangakan,” katanya sambil ketawa.
Meniaga rendang bagi jana pendapatan tambahan
Selain berlakon, Kuna juga aktif membuat produk reviu dan menjual rendang yang dibuatnya sendiri untuk menjana pendapatan tambahan.

“Kalau tak berlakon, saya banyak reviu produk-produk usahawan dan dalam waktu yang sama saya juga menjual rendang yang saya hasilkan sendiri iaitu rendang daging, rendang paru, rendang limpa dan rendang hati yang merupakan resepi turun temurun keluarga. Rasanya lebih senang meniaga dari rumah berbanding meniaga di karnival atau event.
“Kebanyakan pelanggan yang datang bukannya nak membeli sebaliknya hanya datang untuk bergambar. Kadang rasa tidak berbaloi, jualan tak seberapa penat yang banyak. Itu sebabnya saya lebih suka menjual di tik tok,’’ kata Kuna lagi.
Kuna pernah mendirikan rumah tangga dengan bekas suami dikenali Rizalman dan mereka sah bercerai pada 5 Disember 2001. Kuna yang kini seorang ibu tunggal tinggal bersama dua orang anaknya Nik Mohd Haikal dan Tengku Puteri Nur Elyssa. Manakala anak sulungnya, Nik Mohd Hakimi kini sudah berkahwin dan mempunyai seorang cahayamata.

Walaupun tidak mendapat anugerah dalam dunia lakonan di televisyen dan layar perak namun Kuna juga berbangga kerana lakonannya di radio Selangor.fm dengan tajuk Prihatin Tandanya Sayang telah melayakkannya menerima anugerah Pelakon pembantu Wanita Drama Radio Terbaik pada tahun 2022.
Antara filem lakonannya ialah Wanita Bertudung Hitam (1992), Aku Masih Dara dan Shh… Dia Datang. Manakala drama pula adalah Opah (1989), Bila Musang Berjanggut, Apa Celop!,Ahli Mesyuarat Tingkap, Bodyguard, Misi Laksa dan Laksam, Bilo Nogori Jupo Kelate, Nur, Ripin Mugha Batu, Nur 2, Nasi Kerabu Untuk Che Abe, Rudy Vs Jolie, Alif Ba Ta, Masih Ada Rindu, Hati Yang Dikhianati, Nenda, Mek Cha, Dia Yang Ku Jadikan Suami, Bukan Lelaki Terhebat, Ku Akad Kau Dengan Bismillah, Abang Muazzin, Mandul Bukan Pilihan. Emma dan Aliya, Dunia Punya Cerita, dan lain-lain lagi.

Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.









