Oleh: Datuk Omar Mustapha Ong

Ramai yang lupa negara bangsa yang ditubuhkan pada 1948 dengan persetujuan Raja Raja Melayu dan seterusnya berjaya mendapat kemerdekaan daripada penjajah British pada 1957 dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya) yang terdiri daripada 9 negeri-negeri Melayu, Melaka dan Pulau Pinang.

Persekutuan Tanah Melayu bergabung dengan wilayah Sarawak, Sabah dan Singapura untuk membentuk negara yang dikenali sebagai Malaysia pada 1963. Apabila Singapura keluar daripada Malaysia pada 1965 nama negara Malaysia kekal.

Namun saya tak pasti bila dan kenapa wilayah yang sehingga 1963 dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu ditukar namanya kepada “Semenanjung Malaysia”(Peninsular Malaysia) sedangkan nama wilayah lain yang bergabung dengannya untuk membentuk Malaysia tetap sama: Sarawak, Sabah dan Singapura. Lama kelamaan identiti Persekutuan Tanah Melayu semakin hilang dan lenyap diganti dengan nama Semenanjung Malaysia. Ada juga yang mencipta istilah Malaysia Barat (West Malaysia) dan Malaysia Timur (East Malaysia).

Pada zaman sekarang dengan kebangkitan semangat rakyat Malaysia yang berasal dari wilayah Sarawak dan Sabah, saya tertanya mana perginya pula semangat dan suara mereka yang berasal dan bermastautin di semenanjung Malaya yang dahulunya dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu? Lenyapnya identiti Melayu yang menjadi asas kepada negara bangsa seolah hilang ditelan zaman.

Baru ini pula ada bekas wartawan yang mencadangkan supaya nama Keretapi Tanah Melayu (KTM) @ktm_berhad dijenamakan semula kerana kononnya kuno, ketinggalan zaman, dan tidak melambangkan kemajuan dan pencapaian negara.

Gerakan untuk menyahkan realiti wujudnya Tanah Melayu yang membentuk sebuah Persekutuan yang berjaya merdeka daripada British, terus gigih dilakukan. Tanah Melayu itu istilah sempit kata mereka.

Takkan Melayu hilang di dunia? Kita sebenarnya yang membiarkannya berlaku bila semua yang bersifat hakikinya Melayu itu dipersoalkan satu demi satu sehingga kita sendiri terasa malu alah.

Sebelum anak anak Melayu khasnya dan anak anak Malaysia amnya tidak lagi kenal asal usul kenegaraan mereka sendiri, saya mencadang agar Semenanjung Malaysia dikenali semula secara rasmi dengan nama asalnya: Persekutuan Tanah Melayu. The Federation of Malaya dalam Bahasa Inggerisnya.

Kalau masih ada lagi kejujuran, cadangan untuk kembali kepada yang semulajadi ini, tidak perlu dijadikan alat polemik dalam arena sukan politik.

Previous articleRasa Rosz bakal lancar 40 pes segera
Next articleErti wuduk dalam kehidupan seharian (Bahagian 1)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here