Oleh: Khadijah Ibrahim
DEMI memastikan generasi muda tidak lupa jati diri atau asal usul mereka, penyanyi legenda tanah air, Datuk M.Nasir mengambil inisiatif untuk merakam semula sebuah lagu lama yang dirakam pada 1903.
Lagu “Nuri Terbang Malam”, merupakan dendangan asal oleh Qasim, seorang penyanyi Wayang Semarang dari Pulau Pinang. Lagu ini dirakam di Singapura dan dipercayai merupakan lagu Melayu pertama yang pernah direkodkan pada piring hitam sekitar tahun 1903 oleh sebuah syarikat rakaman antarabangsa dari United Kingdom, Gramophone Company.
“Nuri Terbang Malam” menggabungkan elemen muzik tradisional India dan Timur Tengah itu mencerminkan pelbagai budaya yang wujud di rantau ini pada zaman tersebut. Manakala lirik lagu ini berkisar tentang cinta yang tidak pernah pudar, seperti burung Nuri yang terus mencari di malam gelap.
Dalam usaha memberi nafas baharu kepada karya ini, Luncai Emas telah menerbitkan lagu ‘’Nuri Terbang Malam’ ini dengan versi rakaman baharu mengikut lenggok M.Nasir.
Dengan vokalnya yang penuh emosi dan sentuhan kreatif yang unik, M. Nasir bukan sahaja memberikan nyawa baharu kepada “Nuri Terbang Malam”, tetapi juga menghubungkan pendengar masa kini dengan warisan muzik Melayu yang kaya.
“Sebagai seorang penggiat seni, saya ingin membawa karya ini ke generasi baharu tanpa melupakan asal usulnya. Lagu ini adalah sebahagian daripada sejarah muzik kita, dan tugas kita adalah untuk mengabadikannya,” kata M. Nasir.
Projek ini dijangka membawa penghargaan baharu kepada sejarah seni muzik tanah air serta memperkenalkan semula karya klasik ini kepada khalayak moden.
Ia bukan sekadar penghormatan kepada sejarah, tetapi juga bukti kebolehan seni M. Nasir dalam menghidupkan semula karya yang hampir dilupakan.
Usaha pembangkitan semula lagu ini sebenarnya merupakan sebahagian daripada projek kerjasama antara Luncai Emas Sdn. Bhd., dan World Business Affairs Sdn. Bhd., (WBA) yang diberi nama ‘100 Lagu 100 Tahun’.
Projek ‘100 Lagu 100 Tahun’ ini adalah cetusan idea Professor Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak dan juga produser serta komposer terkenal Dr Mohd Azhar Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Azmeer.
Objektif projek ini adalah untuk menghimpunkan 100 lagu popular Melayu mula dari abad ke-20 dalam bentuk audio dan juga buku. Buku ini memuatkan informasi tentang latar belakang dan sejarah setiap lagu, sekali gus menjadi rujukan berharga kepada generasi masa kini dan akan datang.
Buku ‘100 lagu 100 tahun’ bakal diterbitkan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) manakala audio ‘100 lagu 100 tahun’ hasil penerbitan Azmeer akan diedarkan oleh Luncai Emas Sdn. Bhd., sepanjang tahun 2025.
Allahyarham Hanafi Hamdan atau dikenali sebagai Nafie Spider bertanggungjawab selaku produser untuk menerbitkan lagu ini. Beliau telah mereka semula struktur lagu tersebut dengan memperkenalkan rentak yang lebih rancak, namun masih mengekalkan elemen tradisional India dan Timur Tengah yang menjadi tunjang asal lagu ini.
Selain itu, beliau juga telah menambah progresi kord untuk mencipta dinamik dan nuansa yang berbeza daripada lagu asal, memberikan pengalaman mendengar yang lebih moden dan segar.
‘’Secara tidak langsung, lagu ini adalah dedikasi buat arwah yang telah berkhidmat melakukan kerja–kerja rakaman serta susunan muzik untuk lagu ini sehingga ia siap sepenuhnya. Ini juga karya arwah sebelum meninggal dunia pada 22 November 2024 akibat strok’’ jelas Luncai Emas.
Justeru, bagi merealisasikan kemunculan ‘’Nuri Terbang Malam’’ di khalayak ramai di semua platform digital tersedia, sebuah video muzik arahan Sha Bromo telah dirakamkan berkonsepkan teater bangsawan yang dipentaskan pada tahun 1950-an dan bagaimana ia dipersembahkan pada era tersebut.
Terdapat persembahan nyanyian M.Nasir sebagai watak pencerita dalam lagu. Penggambaran video muzik ‘’Nuri Terbang Malam’’ dibuat dengan kerjasama Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan turut disertai dengan penglibatan daripada pelajar-pelajar akademi itu.
Bermula 3 Januari lalu, ‘’Nuri Terbang Malam’’ boleh diikuti di semua saluran digital seperti YouTube, Spotify, Apple Music dan lain-lain.
Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.