Image by krakenimages.com on Freepik

Oleh : Nafsiah Jani

Asma atau nama lainnya lelah adalah penyakit alahan membabitkan sistem pernafasan, iaitu saluran pernafasan seseorang menjadi sempit apabila terdedah dengan faktor pencetus seperti habuk, bulu haiwan, cuaca sejuk atau perubahan cuaca, udara tercemar, jerebu dan stres.

Apabila saluran pernafasan seseorang terdedah dengan faktor itu, asma itu dikatakan teruk sekiranya pesakit mengalami sesak nafas, nafasnya berbunyi seperti bersiul menyebabkan seseorang itu mengalami kesukaran bernafas.

Serangan asma akan menjadi lebih kerap jika asma tidak dirawat dengan betul. Tahap serangan asma bermula dari ringan hingga ke tahap yang boleh mengancam nyawa. Perubahan serangan asma boleh berlaku dalam masa beberapa jam atau hari dan ia juga boleh berlaku secara tiba-tiba.

Beberapa tahun kebelakangan ini dianggarkan kebarangkalian pesakit asma di Malaysia telah meningkat daripada 6.4 peratus kepada 9.4 peratus dalam kalangan kanak-kanak berumur enam hinggga tujuh tahun. Manakala sembilan peratus kepada 13 peratus dalam kalangan kanak-kanak berumur 13 hingga 14 tahun.

Sekiranya pesakit tidak mendapat rawatan segera, saluran pernafasan akan menjadi semakin sempit, boleh menyebabkan oksigen dalam badan semakin menurun, karbon dioksida semakin meningkat hingga boleh membawa kemudaratan serta menyebabkan kematian. Namun menurut pakar, rakyat Malaysia masih menganggap asma sebagai penyakit ‘biasa’ yang tidak memerlukan rawatan segera.

Image by stefamerpik on Freepik

Kematian boleh berlaku dalam serangan asma yang teruk, jika rawatan yang sepatutnya tidak diberikan. Serangan asma akan menyebabkan kematian kerana berlakunya kerosakan saraf otak akibat kekurangan oksigen yang berpanjangan.

Kematian disebabkan serangan asma adalah sesuatu yang sangat menyedihkan dan merugikan kerana kejadian tidak diingini ini boleh dicegah. Data menunjukkan pada 2014, kematian disebabkan asma kira-kira 1,700 orang, iaitu 1.29 peratus dari seluruh kematian di Malaysia.

Faktor-faktor yang menyebabkan asma berlaku

Perkara yang menyebabkan berlakunya asma adalah seperti berikut:
• Jangkitan pernafasan dan selsema
• Pendedahan kepada asap rokok
• Reaksi alahan atau alergi kepada debunga, kulat, bulu haiwan, bulu, habuk, makanan, dan lipas
• Pencemaran udara dalaman dan luaran, termasuk ozon dan pencemaran zarah
• Pendedahan kepada udara sejuk atau perubahan suhu secara tiba-tiba
• Tekanan (stres)
• Latihan (senaman)
• Ubat-ubatan termasuk aspirin dan ubatan anti-radang bukan steroid seperti asid mefenamic (ponstan) atau ibuprofen

Tanda amaran:

• Batuk tanpa henti.
• Nafas berbunyi yang teruk.
• Sesak nafas yang teruk.
• Sukar bercakap dalam ayat yang panjang.
• Tidur yang tidak nyenyak.
• Sakit dada.
• Kulit menjadi pucat.
• Tahap kesedaran menurun.
• Bibir dan kuku menjadi kebiru-biruan.

Apa yang patut anda lakukan semasa serangan asma?

• Dudukkan pesakit secara menegak dan tenangkannya.
• Minta bantuan segera daripada orang sekeliling anda (4-6 puffs).
• Untuk serangan yang tidak teruk, beri ubat pelega empat hingga enam jam sekali atau bergantung kepada gejalanya.
• Sekiranya anda perlu ubat pelega lebih kerap dan kurang dari empat jam, segeralah berjumpa doktor dengan segera.
• Teruskan pemberian ubat pencegah seperti yang telah disarankan.

Rawatan penyakit Asma

Penyakit asma boleh diubati dengan cara rawatan tradisional akupunktur. Melalui rawatan ini, jarum halus dimasukkan ke dalam titik-titik tertentu pada tubuh untuk mengubah aliran dan menyeimbangkan tenaga dalam tubuh.

Selain itu, senaman ringan seperti berjalan kaki dan yoga juga boleh membantu mengurangkan serangan asma. Kedua-dua senaman ini dapat membantu meningkatkan ketahanan paru-paru dan mengurangkan stres.

Photo by Cup of Couple: https://www.pexels.com/photo/white-ceramic-mug-on-brown-wooden-tray-6962414/

Halia yang kita gunakan untuk menambahkan kelazatan masakan juga boleh membantu merawat masalah asma kerana ia mengandungi antioksida dan anti keradangan. Halia boleh membantu mengurangkan pengecutan saluran pernafasan dan menghalang saluran kalsium plasma membran. Oleh itu, otot saluran pernafasan akan relaks, sekaligus melegakan simptom asma.

Pengambilan dua hingga lima biji epal seminggu juga dikatakan dapat mengurangkan risiko asma sebanyak 32%. Epal bagus kerana ia mengandungi flavonoids yang dapat membantu membuka rongga pernafasan dan membantu melegakan sistem pernafasan seseorang.

Bawang putih juga mengandungi bahan pencegah radang (anti-inflammatory) dan juga allicin yang dapat membantu mengurangkan asma. Ia boleh mengurangkan keradangan, membantu membersihkan paru-paru, membantu membunuh bakteria, virus dan menggalakkan sistem imun. Ini akan membuatkan badan dapat melawan jangkitan yang mencetuskan asma.

Makanan yang mengandungi beta-carotena juga dapat membantu mereka yang menghadapi masalah asma. Sayuran yang kaya dengan beta-carotena ini kebanyakannya berwarna oren dan merah seperti lobak merah, ubi keledek, labu, betik, tomato, mangga, lada benggala merah dan aprikot. Manakala sayuran yang berwarna hijau pula seperti brokoli, asparagus dan bayam.

Kopi dan teh memang sedap di minum dan kandungan kafein di dalam kopi dan teh boleh membuka rongga pernafasan sehingga empat jam selepas sahaja kita mengambilnya.

Photo by Jane Trang Doan: https://www.pexels.com/photo/citrus-fruits-slice-793763/

Buah-buahan Citrus seperti buah oren, anggur dan jambu, kaya dengan vitamin C merupakan sejenis agen antioksida. Vitamin C ini bagus untuk melindungi paru-paru daripada bahan radikal dan an sekaligus mengelakkan diri kita dari gangguan asma dan lelah.

Penutup

Ingatlah, bahawa penjagaan kesihatan adalah tanggungjawab kita bersama. Mari kita manfaatkan segala sumber yang ada, termasuklah rawatan tradisional, untuk mencapai kehidupan yang sihat dan sejahtera.

Meskipun rawatan tradisional ini boleh membantu dalam mengurangkan simptom asma, penting juga anda untuk berbincang dahulu dengan doktor sebelum memulakan sebarang rawatan yang baru. Setiap individu berbeza antibodi serta situasi antara satu dengan yang lain. Jangan abaikan rawatan moden yang disarankan oleh doktor kerana rawatan tradisional boleh menjadi tambahan kepada rawatan moden, bukan menggantikannya secara terus.

Previous articleTercekik tulang ikan, ini cara mengatasinya!
Next articleVanidah Imran terus berlakon tanpa abaikan tanggungjawab

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here