Oleh : Asmat Fikri

“Takkan la kanser, benjolan sikit je pun. Lagipun mana ada sakit!”

Ramai sebenarnya yang mengambil mudah berkenaan kanser payudara. Disebabkan itu kanser boleh dikatakan di antara kanser yang agak tinggi juga, di mana kes akan berakhir dengan kematian. Ia disebabkan kebanyakan pesakit mengambil ringan dan membiarkan sahaja tanpa membuat sebarang pemeriksaan atau rawatan di hospital. Bagi mereka, selagi tidak sakit itu tidak bahaya. Walhal, memang kanser payudara ini pada permulaannya pesakit tidak akan merasa sakit. Bila di tahap lebih tinggi barulah rasa sakit akan datang.

Disebabkan itulah, pada tahun 2023, statistik menunjukkan kanser payudara adalah pembunuh utama wanita di negara ini dengan pendedahan satu daripada 19 wanita menghadapi risiko mengalami kanser berkenaan pada satu tahap dalam hidup mereka, mengakibatkan kira-kira 3,500 individu meninggal dunia setiap tahun.

Malah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi laman rasmi milik mereka menyebut kanser payudara merupakan kanser utama di kalangan wanita di Malaysia, 1 dalam 19 wanita adalah berisiko. Ia lebih tinggi berbanding 1 dalam 8 wanita di Eropah dan Amerika Syarikat. Kanser payudara bermula dari sel payudara. Kanser payudara adalah biasa pada wanita dan hanya 1% lelaki mendapat kanser ini.

Bagaimana kanser ini boleh terjadi? Payudara wanita adalah terdiri dari sel-sel kelenjar lobul yang menghasilkan susu (lobulas), saluran yang membawa susu ke bahagian puting, lemak dan tisu pengantara, saluran darah dan limfa. Kebanyakan kanser payudara bermula dari sel yang melapisi bahagian saluran (ductal cancer), sebahagian lain bermula pada kelenjar lobul (lobular cancer) dan selebihnya bermula dari tisu-tisu lain.

Apabila sel ini sampai ke bahagian tubuh badan yang lain, ketumbuhan baru boleh terjadi di organ tersebut. Keadaan barah merebak ini adalah dikenali sebagai barah sekunder atau metastasis. Perkataan barah juga boleh digunakan dalam keadaan pertambahan sel yang tidak normal tetapi tidak diikuti dengan ketumbuhan atau tumor. Ini adalah seperti yang berlaku dalam penyakit yang melibatkan sel penghasilan darah iaitu penyakit leukimia.

Image by stockking on Freepik

FAKTOR KANSER PAYUDARA

Terdapat banyak faktor yang boleh kita lihat untuk mereka yang berisiko mengalami penyakit kanser payudara ini. Antara yang boleh diberi perhatian adalah seperti berikut:

• Wanita
• Sejarah keluarga mempunyai kanser payudara
• Pembawa gen BRCA (berkaitan dengan kanser payudara keturunan)
• Pesakit yang mempunyai sejarah kanser payudara sebelum ini
• Kehadiran ketulan payudara contoh hiperplasia atipikal atau Karsinoma Duktal in situ (DCIS).
• Lewat usia hamil, tiada anak (tidak pernah hamil)
• Penggunaan terapi penggantian hormon
• Penggunaan alkohol dan rokok
• Peningkatan usia
• Pendedahan sinaran (daripada rawatan terapi sinaran)
• Mengalami haid pada usia yang lebih muda
• Mengalami menopaus pada usia yang lebih tua
• Berat badan berlebihan & obesiti

Namun begitu ada faktor lain yang mungkin boleh mengurangkan risiko kanser payudara kepada wanita. Ia adalah seperti berikut:

• Penyusuan- wanita yang menyusukan anak dalam tempoh 1-2 tahun akan mengurangkan risiko mendapat kanser payudara.
• Alkohol- wanita mengambil minuman beralkohol berisiko 1.5 kali ganda lebih tinggi dari wanita yang tidak mengambil alkohol 2.5 gbs.
• Senaman- wanita yang melakukan senaman berterusan dapat mengurangkan risiko kanser payudara. Kajian menunjukkan senaman 30 minit sehari untuk 5 hari seminggu adalah mencukupi.

TANDA DAN GEJALA KANSER PAYUDARA

Simptom kanser payudara ini mungkin berbeza-beza dan mungkin juga sama. Ada juga kanser payudara yang tidak mempunyai simptom atau gejala langsung, hanya boleh disahkan dengan ultrasound sahaja. Tapi di sini kami senaraikan antara tanda biasa kanser payudara yang kebanyakkan pesakit hadapi.

1. Mempunyai ketulan atau bengkak pada payudara atau ketiak. Ketulan yang tidak sakit, keras dan tidak sekata berkemungkinan besar kanser. Ada juga ketulan kanser yang sakit, lembut dan berbentuk bulat. Oleh itu sangat penting berjumpa doktor segera apabila ada bengkak atau ketulan di payudara.
2. Kulit jadi berkedut seperti kulit limau
3. Puting masuk ke dalam atau sakit
4. Kemerahan atau berkeruping pada puting atau kulit payudara
5. Lelehan dari puting (kekuningan atau berdarah) selain susu.
6. Kerengsaan atau lekuk pada kulit payudara
7. Perubahan dalam saiz, bentuk atau rupa payudara

Justeru, bagi wanita yang ada antara tanda-tanda ini, cepat-cepatlah pergi ke hospital dan rujuk dengan doktor berkenaan tanda tersebut. Ini kerana, jika masih di peringkat awal, dengan izin Allah segalanya masih boleh diselamatkan.

• Ikuti sambungan dalam artikel akan datang mengenai kanser payu dara ini.

Previous articleLakukan amalan ini sewaktu usia 40-an
Next articleAlyah mahu bantu orang ramai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here