Oleh Asmat Fikri

Bengkak atau benjolan di leher sering dikaitkan dengan penyakit wanita. Ramai juga mereka yang tidak menyedari sebenarnya benjolan itu adalah sejenis penyakit dan boleh jadi kanser. Penyakit dikenali dengan nama tiroid ini merupakan kelenjar yang berbentuk rama-rama yang terletak di bahagian hadapan leher.

Ia bertanggungjawab di dalam penghasilan hormon tiroid. Wanita perlu lebih berhati-hati jika terdapat benjolan di leher kerana hal ini menjadikan kanser tiroid berada dalam kumpulan 10 jenis kanser yang lazim berlaku dalam kalangan wanita di Malaysia.

Kelenjar tiroid menggunakan zat iodin (sumber yang diperolehi daripada diet pemakanan seperti garam dan makanan laut) dalam menghasilkan hormon tiroid. Hormon tiroid adalah amat penting dalam mengawal metabolisme, fungsi tubuh badan manusia seperti tumbesaran, mengawal metabolisme protein dan lemak dalam badan.

Image by peoplecreations on Freepik

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), terdapat 2 jenis hormon tiroid iaitu tiroksin (T4) dan triiodotironin (T3), masing-masing mewakili 99.9% dan 0.1% hormon tiroid. Selepas dirembes keluar dari kelenjar tiroid, jumlah T4 yang banyak akan ditukarkan kepada T3, yang merupakan hormon yang paling aktif daripada segi biologi dalam memberi kesan metabolisme ke atas sel-sel badan.

Penyebab Tiroid?

Seperti penyakit lain, tiroid ini juga boleh terbahagi kepada beberapa bahagian. Ada dua kumpulan yang boleh diklasifikasikan dalam kategori masalah ini. Berikut merupakan dua kumpulan tiroid yang perlu kita semua tahu:

Masalah yang berpunca daripada fungsi penghasilan hormon tiroid yang tidak normal

1. Hipertiroidisme (kelenjar tiroid terlebih aktif)

  • Antara penyebab-penyebab utama adalah seperti penyakit Graves, goiter multinodular toksik, nodul tiroid yang menghasilkan hormon tiroid berlebihan dan pengambilan iodin secara berlebihan.

2. Hipotiroidisme (kelenjar tiroid kurang aktif)

  • Antara penyebab-penyebab utama adalah seperti tiroiditis Hashimoto, dan masalah keradangan pada kelenjar tiroid (tiroiditis).

Masalah yang berpunca daripada struktur kelenjar tiroid itu sendiri

1. Goiter
Ia bukan sejenis penyakit tetapi merupakan suatu keadaan di mana kelenjar tiroid membengkak.

2. Nodul tiroid
Bermaksud terdapat ketulan yang abnormal di dalam kelenjar tiroid dan boleh disebabkan oleh ‘benign cysts’ dan ‘benign tumor’ serta jarang-jarang berlaku iaitu barah tiroid.

3. Barah tiroid adalah lebih banyak berlaku di kalangan wanita dewasa jika dibandingkan dengan lelaki ataupun remaja. Terdapat beberapa jenis barah tiroid. Ia bergantung kepada jenis sel barah itu berasal.

Gejala dan Tanda Tiroid

Hipertiroidisme merupakan keadaan di mana kelenjar tiroid terlebih aktif dengan menghasilkan hormon tiroid yang berlebihan.

Terdapat banyak gejala yang boleh dikaitkan dengan hipertiroidisme, antaranya adalah seperti berikut:

  1. Tangan menggeletar (tremor) – Angkat kedua belah tangan dan perhatikan ada menggeletar atau tidak.
    2. Rasa gementar – Sentiasa rasa gementar atau gemuruh dengan tiba-tiba.
    3. Degupan jantung yang laju
    4. Mudah berpeluh dan panas – Persekitaran itu kalau orang lain merasa sejuk, orang yang menghidap tiroid jenis ini akan berlawanan iaitu rasa panas.
    5. Susut berat badan – Turun berat badan dengan mendadak walaupun tidak diet.
    6. Lesu dan cepat berasa letih – Cepat merasa mengah, penat, letih dan lesu.
Image by storyset on Freepik

Hipotiroidisme pula merupakan keadaan di mana kelenjar tiroid kurang aktif dengan menghasilkan hormon tiroid yang rendah.

Berikut adalah antara gejala atau tanda yang berkemungkinan orang itu menghidap tiroid jenis hipotiroidisme:

  • Lesu
  • Sukar untuk menumpukan perhatian dan tahap pemikiran yang lembab
  • Kulit kering
  • Sembelit
  • Sentiasa berasa sejuk
  • Pendarahan haid yang banyak dan lama bagi wanita

Dan berikut pula antara gejala untuk 3 jenis tiorid yang berpunca daripada struktur kelenjar tiroid itu sendiri:

Goiter merupakan pembengkakan pada kelenjar tiroid dan boleh mempunyai gejala-gejala hipertiroidsme, hipotiroidisme ataupun eutiroid (fungsi tiroid yang normal).

Nodul tiroid pula boleh terdapat satu nodul ataupun berbilang. Apabila nodul terlalu besar, ia boleh menekan struktur-struktur berhampiran dan boleh menyebabkan gejala seperti kesukaran bernafas atau suara menjadi kasar.

Barah tiroid terjadi apabila terdapat gejala-gejala seperti ketulan pada kelenjar tiroid. Antaranya suara menjadi kasar, kesukaran bernafas, menelan, noda-noda limfa yang membengkak di bahagian leher, batuk, sakit tekak serta sakit pada leher yang berterusan.

*Ikuti sambungan bahagian kedua untuk mengetahui lebih lanjut mengenai penyakit Tiroid ini.

Previous articleKhasiat dan manfaat bijirin barli
Next articleSofia Jane jalani kehidupan sebaik mungkin

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here