Oleh: Wawa Najwa
Foto: Ehsan Vanidah Imran / Koleksi Syed Wafa
SEKARANG ini ramai remaja yang berlumba-lumba untuk menjadi influencer atau pempengaruh serta artis kerana mahu popular. Bukan setakat popular, kononnya jika berbakat dalam bidang tersebut dapat menjana pendapatan yang lebat.
Namun ramai yang tidak sedar, kalau hanya bersandar pada bakat kemungkinan kerjaya mereka tidak akan berkembang kerana selain bakat, ilmu perlu ada.
Bagi pelakon Vanidah Imran, 51, yang pernah dinobat sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia dan Pelakon Wanita Terbaik (Filem) Anugerah Skrin pada 2007 menerusi filem ‘The Red Kebaya’ tetap mengutamakan ilmu walaupun namanya sudah dikenali.
Sebagai anak seni yang mula menceburi bidang lakonan sejak 1993 dan melakonkan watak Wan Nuraini dalam filem sulungnya, Putera arahan Zulkifli M. Osman, Vanidah atau mesra dengan panggilan Vee mengambil keputusan untuk menyambung pengajian kerana ingin menambah ilmu dalam diri.
Selain itu, kata ibu kepada Mikail Aimran dan Maryam Rashika, sokongan teman-teman seperjuangan seperti Profesor Aminah Rapor antara pendorong untuknya menyambung pengajian dalam bidang yang dekat dengan jiwanya.
“Semuanya harus bertitik tolak pada kesabaran dan kesungguhan. Saya bersyukur kerana dapat melalui fasa itu sekalipun saya terpaksa mengambil masa selama empat tahun untuk menyelesaikan program sarjana ini.
“Melihat sijil akademik yang menjadi milik saya, hilang segala rasa gundah-gulana itu. Hanya Allah sahaja tahu betapa saya pernah melalui fasa yang sangat sulit. Menangis jangan ceritalah.
“Bila sudah melalui proses pembelajaran itu, baru saya sedar bukan mudah untuk memperoleh kejayaan,” katanya yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Seni Persembahan (Drama) dari Universiti Malaya (UM).
Selepas kejayaan tersebut, Vee sudah mula berfikir untuk menyambung pengajian ke peringkat dokfor falsafah pula.
“Saya sekadar bercita-cita. Kalau ada rezeki, saya tidak tolak peluang untuk sambung belajar lagi. Doakan saya diberi kekuatan itu,” katanya lagi.
Vee yang sekarang ini sebagai pensyarah di Kolej Seni Kreatif di Universiti Teknologi MARA (UiTM) tetap membahagikan masa buat kerjaya lakonannya dan aksinya dapat dilihat menerusi drama 16 episod, FRAMED yang menampilkan dia sebagai Sara.
Kata Vee, dia perlu meneruskan kerjaya sebagai pelakon agar dapat memberi contoh yang baik dan ilmu berguna buat pelajarnya. Namun, dalam masa sama, dia kini lebih teliti dalam pemilihan naskhah berbanding sebelum ini.
“Saya kini mengajar di UiTM dan bila saya mempunyai pelajar, saya perlu memastikan kerja yang dilakukan berkualiti memandangkan pelajar juga akan menonton dan menjadikan rujukan.
“Namun, naskhah bagaimana yang dipilih, sukar untuk ditentukan. Ia bergantung pada perkembangan karakter dan skrip kerana ia memainkan peranan.
“Apa yang dilakukan ini bukanlah bebanan, sebaliknya menjadi tanggungjawab. Misalnya sebagai ibu bapa, saya perlu menjadi contoh terbaik buat anak sama juga sebagai seorang guru.
“Jadi, saya perlu berada dalam landasan supaya boleh berkongsi dengan pelajar mengenai apa yang berlaku, ‘trend’ terkini dan masalah industri,” katanya yang melakonkan watak Sara ibu kepada Lia, lakonan Mimi Lana.
Drama FRAMED disiarkan di Astro Premiere (saluran 410) atau strim di platform On Demand dan Astro GO sejak 3 Mei lalu.
Dalam drama triller penyiasatan fantasi itu, Lia cuba mencari jawapan untuk kehilangan ibunya. Dia hanya mendapat jawapan tentang kehilangan ibunya melalui gambar polaroid misteri yang menjadi petunjuk tentang tragedi masa depan.
Kata Vee, selepas terikat dengan tanggungjawab sebagai tenaga pengajar, dia kini lebih teliti dalam pemilihan naskhah berbanding sebelum ini.
“Saya kini mengajar di UiTM dan bila saya mempunyai pelajar, saya perlu memastikan kerja yang dilakukan berkualiti memandangkan pelajar juga akan menonton dan menjadikan rujukan.
“Namun, naskhah bagaimana yang dipilih, sukar untuk ditentukan. Ia bergantung pada perkembangan karakter dan skrip kerana ia memainkan peranan.
“Apa yang dilakukan ini bukanlah bebanan, sebaliknya menjadi tanggungjawab. Misalnya sebagai ibu bapa, saya perlu menjadi contoh terbaik buat anak sama juga sebagai seorang guru.
“Jadi, saya perlu berada dalam landasan supaya boleh berkongsi dengan pelajar mengenai apa yang berlaku, ‘trend’ terkini dan masalah industri,” katanya yang merupakan isteri kepada Arifabillah Idris, 45, sejak 7 Julai 2022.
Melihatkan kepada teladan yang diberikan oleh Vee, adalah bagus kalau penggiat seni lain ada impian untuk mempertingkatkan taraf kehidupan, sama ada menambah ilmu atau berniaga dan bukan sekadar bergantung kepada lakonan semata-mata.
Ini kerana kedudukan sebagai anak seni ada naik turun ditambah pula setiap masa ada saja bakat baharu yang muncul. Arus seni hiburan tempatan bukan seperti Hollywood, semakin berpengalaman seorang artis itu semakin melonjak bayaran. Di Malaysia, semakin lama artis itu dalam bidang seni, semakin susut bayarannya.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.