Oleh Nury Kadir

Ada orang kata jika hendak berdoa, mintalah yang mahal-mahal daripada Allah. Maksud mahal di sini bukan kasut mahal, beg tangan berjenama, emas, intan berlian, rumah banglo dan kereta mewah tetapi syurga. Adakah kita hanya minta pada Allah sesuatu yang berkaitan dengan syurga, dijauhkan dari api neraka, diampunkan dosa atau ditetapkan hati dalam iman dan Islam?

Diakui ada manusia yang dilahirkan boleh mengatur bahasa yang cantik untuk memohon doa kepada Allah, hatta kita yang mendengar tanpa sedar mengalir air mata. Biasanya orang yang macam itu kita perlukan untuk memimpin doa, terasa syahdu dan menusuk kalbu.

Pun begitu, tidak semua orang mampu berdoa dengan bahasa yang indah dan menyentuh kalbu. Selalunya doa yang dilafazkan ‘straightforward’ tetapi memohonnya dengan rendah hati. Apa sahaja yang hendak dilakukan semuanya mintalah dengan Allah walaupun sekadar untuk makan.

Mesti ramai yang pernah mengalami saatnya, tidak tahu hendak makan apa? Kita selalu hilang punca, seolah-olah semua makanan tidak mampu menarik selera. Kalau orang ‘straightforward’ akan berkata, “Ya Allah, berilah aku makanan yang sedap-sedap lagi mengenyangkan kerana aku tak tahu hendak makan apa.” Kalau tidak pun yang paling biasa didoakan adalah, “Ya Allah, berilah aku tempat parking kosong.” Dan yang paling best sekali, “Ya Allah, tukarkan semua lampu isyarat hijau supaya perjalananku lancar.”

Image by vecstock on Freepik

Apa hukumnya jika kita sering berdoa dan meminta-minta kepada Allah perkara yang remeh-temeh?

Sebelum mengulas lanjut, mari perhatikan Firman Allah SWT, dalam surah Ghafir ayat 60 yang bermaksud, “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

Imam Ibn ‘Asyur di dalam Tafsir Ibn ‘Asyur mengatakan, bahawa pada ayat itu adalah dalil bahawa Allah SWT menuntut hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya. Ayat itu juga menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tidak mempunyai khilaf di antara orang Islam.

Inilah jawapan yang diberikan di dalam www.muftiwp.gov.my, ayat tersebut merupakan jaminan daripada Allah SWT, bahawa Dia akan mengabulkan setiap permintaan hamba-Nya yang berdoa.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, maksudnya: “Hendaklah kalian berdoa dan meminta kepada Allah SWT segala hajatnya, hatta jika ingin meminta garam atau tali kasutnya apabila ia terputus.” (Jami’ Tirmizi)

Menurut Syeikh al-Mubarakfuri sewaktu mensyarahkan hadis ini, menyatakan bahawa Allah-lah pemilik seluruh khazanah kekayaan dan tiada Pemberi selain-Nya; maka mintalah apa sahaja dari-Nya hatta perkara-perkara yang ringan, kecil dan remeh. Sesungguhnya jika Allah SWT tidak memudahkan suatu urusan, nescaya ia tidak akan menjadi mudah untuk kita mendapatkannya. (Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami al-Tirmizi)

Hakikatnya, segala apa yang kita perolehi di dunia ini datangnya daripada Allah SWT. Dalam sebuah hadis qudsi, Allah SWT berfirman, maksudnya: “Wahai hamba-Ku, kalian semua kelaparan, kecuali orang yang Aku berikan makan. Maka mintalah makan kepada-Ku, nescaya Aku akan berikan. Wahai hamba-Ku, kalian semua tidak berpakaian, kecuali yang Aku berikan pakaian, Maka mintalah pakaian kepada-Ku, nescaya akan Aku berikan.” (Riwayat Sahih Muslim).

Menurut Imam Ibn Rejab al-Hanbali, hadis ini menjadi dalil bahawa Allah SWT suka akan hamba-Nya yang meminta daripada-Nya segala permintaan yang berkaitan dengan maslahah ukhrawi dan duniawi. Sama ada makanan, minuman, pakaian dan lain-lainya, sebagaimana dia berdoa supaya dikurniakan hidayah dan petunjuk. Sewaktu berdoa, kita sebenarnya sedang menzahirkan rasa kebergantungan dan betapa perlunya kita kepada Allah SWT. (Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam)

Lihat juga pesanan Rasulullah SAW kepada Ibn ‘Abbas, maksudnya: “Apabila kamu meminta, mintalah pada Allah, dan apabila kamu meminta pertolongan, mintalah dengan Allah. Ketahuilah, jika suatu kumpulan manusia berpakat untuk memberikan kebaikan kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikan apa-apa melainkan apa yang ditulis oleh Allah SWT untukmu. Dan jika mereka berpakat untuk mengenakan keburukan kepadamu, mereka tidak akan mampu menimpakan apa-apa melainkan apa yang telah Allah tuliskan ke atas mu.” (Jami’ Tirmizi)

Allah SWT berfirman dalam surah al-Rum ayat 40 bermaksud, “Allah jualah yang mencipta kamu, kemudian Dia memberi rezeki kepada kamu, sesudah itu Dia mematikan kamu.”

Memandangkan Allah SWT yang mencipta dan memberikan rezeki, maka kepada siapa lagi yang berhak untuk kita meminta segala hajat dan keperluan? Jawapannya hanya satu, ALLAH.

Tuntasnya, meminta dan berdoa perkara-perkara yang kecil dan remeh kepada Allah SWT bukan setakat dibolehkan, bahkan ia sebenarnya satu anjuran yang dipesan oleh Nabi SAW kepada umat Baginda.

Permintaan kita kepada Allah SWT hatta dalam sekecil-kecil perkara juga menunjukkan betapa tingginya pergantungan kita kepada-Nya. Ini menunjukkan bahawa sebagai hamba, kita sebenarnya tidak akan pernah mampu melepaskan diri daripada Allah walau sesaat pun dan kita akan sentiasa memerlukan pertolongan dan ‘inayah dari-Nya.

Renungilah firman Allah SWT yang maksudnya: “Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya). Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya. (Ingatlah) sesungguhnya kepada Tuhanmu lah tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Surah al-‘Alaq, ayat 6-8)

Litle boy prayer
Photo by Raka Dwi Wicaksana on Unsplash

Ayat ini memberi peringatan agar tidak sesekali merasa cukup daripada berdoa dan meminta kepada Allah SWT, kerana akhirnya, kepada Allah jualah kembalinya segala perkara dan urusan.

Kita sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa berdoa kepada Allah SWT kerana memang insan ini sifatnya lemah dan sentiasa mengharapkan kepada sang Penciptanya dalam setiap keadaan dan masa. Justeru itu, banyak doa-doa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada kita untuk digunakan dalam kehidupan seharian kita.

Allah SWT pasti akan memustajabkan setiap doa yang dipanjatkan kepada-Nya tetapi dengan cara yang berbeza. Sekiranya kita mengetahui akan hal ini, maka tidak akan timbul lagi sangkaan bahawa Allah SWT tidak menjawab atau mendengar doa-doa hamba-Nya. Tambahan pula, doa bukanlah sekadar untuk meminta, bahkan ia merupakan satu ibadah serta tanda bagi hamba itu dalam menzahirkan sifat khudhu’ (ketaatan), Tazallul (kehinaan) dan juga iftiqar (keberhajatan) kepada Allah SWT.

BERSAMBUNG
*Ikuti artikel selanjutnya bagaimana Allah mengabulkan doa setiap hambanya.

Previous articleHashimah Yon digelar seniwati paling seksi !
Next articleSalam Israk & Mikraj

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here