Oleh SYED WAFA
Foto KOLEKSI SYED WAFA

WALAUPUN memulakan langkah sebagai pelakon kanak-kanak ketika berusia 11 tahun dalam filem “Manusia”(1951) realitinya bermula dari itulah ia menjadi titik tolak beliau meneruskan minat dan impiannya menjadi pelakon terkenal seperti ibunya, Allahyarham Seniwati Habsah Buang.

Sejak itu, satu demi satu tawaran berlakon diterima dan filem keempat belas lakonannya “Nujum Pak Belalang”(1959) dan filem kesembilan belas daripada 35 filem arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee telah ‘melahirkan’ seorang lagi seniwati terkenal sebaris dengan Allahyarham Seniwati Datin Saadiah dan Seniwati Zaiton.

SEMASA kecil beliau selalu mengikuti bonda tercinta, Seniwati Habsah Buang di set penggambaran.

Bukan itu sahaja, malah filem “Nujum Pak Belalang” sebagai Puteri Si Bujur Sirih, menunjukkan kesinambungan sisi lain Hashimah Yon bukan setakat berlakon malah memiliki suara yang ‘sedap’ didengar.

Sebagai menghargai bakatnya itu, P. Ramlee memberi peluang Hashimah Yon berduet dengannya dalam lagu “Kalau Kaca Menjadi Intan.”

SEBAGAI penari, penglibatan awal beliau dalam bidang seni.
ANTARA satu persembahan pentas beliau.

Nyanyian Hashimah Yon dan P. Ramlee telah diabadikan dalam babak ketika ‘Puteri Si Bujur Sirih’ bertemu dengan ‘Pak Belalang’ yang kemudian diberi nama ‘Kanda Satria’ di taman istana pada waktu tengah malam kononnya sebagai mengubati ‘penyakit ganjil’ puteri berkenaan.

Selain filem berkenaan, Hashimah Yon telah menyanyi lebih daripada 20 lagu runut bunyi filem (Original Sound Track atau OST) dengan 14 daripadanya berduet dengan Allahyarham Seniman Aziz Jaafar antaranya filem “Hantu Jerangkong”(1957) ‘Joget Berpantun Kasih’ dengan empat daripadanya untuk filem “Gergasi”(1958) antaranya ‘Sumpah Tanda Setia’ dan ‘Sejiwa’ dan tiga untuk filem “Sumpah Wanita”(1960) antaranya ‘Membawa Berita’ dan ‘Rintihan Si Tanjung.’

BAKAT menari beliau sungguh menyerlah.

Itulah Seniwati Hashimah Yon atau nama sebenarnya Hashimah Mohd. Leon berbakat bukan sahaja sebagai pelakon tetapi penari dan penyanyi. Beliau dilahirkan di Lorong Engku Aman, Singapura pada 10 September 1940 dan anak kelima daripada enam beradik. Bapanya meninggal dunia kerana kanser ketika beliau masih kecil.

Sejak kematian bapanya, emaknya yang juga merupakan pelakon terkenal di Malay Film Productions, Habsah Buang meneruskan kerjayanya sebagai pelakon untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.

APABILA Puteri Si Bujur Sirih bertemu Kanda Arjuna dalam filem “Nujum Pa’ Blalang.”
BUAT pertama kali Hashimah Yon berduet dengan P. Ramlee dalam lagu “Kalau Kaca Menjadi Intan” dalam filem “Nujum Pa’ Blalang.”

Hashimah Yon yang sering mengikut ibunya ke lokasi penggambaran mengakui bermula dari itulah dia belajar cara berlakon dan menghayati watak.

Selepas ditawarkan watak kanak-kanak pada tahun 1951, Hashimah Yon ditawarkan watak sebagai penari dalam filem “Penarek Becha” diikuti filem “Hang Tuah” sebagai penari Jawa.

P.RAMLEE dan Hashimah Yon dalam filem “Anak-ku Sazali.”
P. RAMLEE ditemukan dengan Hashimah Yon dalam “Anak-ku Sazali.”

Meskipun Hashimah Yon memulakan kerjaya seninya dengan filem “Manusia” arahan S. Ramanathan tetapi beliau tidak akan lupa jasa P. Ramlee dalam membentuk dirinya sebagai pelakon. Tanpa P.Ramlee tidak mungkin peluang itu akan hadir dalam hidupnya sebagai menjadi seorang seniwati.

Semuanya bermula apabila beliau yang sering mengikuti ibunya menjalani penggambaran akhirnya telah menemukan beliau dengan P. Ramlee.

SENIWATI paling seksi…Gelaran yang diberi kepada seniwati Hashimah Yon.

Dalam pertemuan itu, P. Ramlee memberitahu Hashimah Yon berbakat sebagai pelakon tetapi beliau harus banyak berlatih.

P. Ramlee bukan sahaja memberi semangat kepada beliau sebaliknya turut membantu Hashimah Yon hingga berpeluang berlakon dalam filem “Manusia.”

HASHIMAH Yon dan Bat Latiff dalam satu babak filem “Sri Tanjung.”

Bagi Hashimah Yon, walaupun wataknya dalam filem berkenaan sebagai pelakon ‘extra’ tetapi tanpa bantuan P. Ramlee tidak mungkin lahir sebutir bintang bernama ‘Hashimah Yon.’

Setelah berlakon beberapa filem, akhirnya P. Ramlee menawarkan Hashimah Yon watak utama sebagai ‘Teratai’ dalam filem ketiga arahannya iaitu “Pancha Delima.”

KEJELITAAN Hashimah Yon yang menjadi kegilaan peminat filem Melayu ketika itu.
HASHIMAH Yon bergaya dengan kebaya moden.

Dalam “Pancha Delima”(1957) Hashimah Yon berpasangan dengan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin. Filem ini adalah pertama kali memberi peluang mereka berpasangan sebagai hero dan heroin.

Sebagai pengarah, P. Ramlee tidak mahu mengambil risiko dengan memberi sepenuh kepercayaan kepada pasangan berkenaan.

JINS Shamsuddin, Hashimah Yon dan Aziz Jaafar antara pelakon utama dalam filen “Sumpah Wanita.”

Sebaliknya selama sebulan mereka menjalani latihan untuk menghayati watak Teratai (Hashimah Yon) dan Suria Kenchana (anak raja, Jins Shamsuddin) di pejabat beliau, di Studio Jalan Ampas.

Akhirnya terbukti filem ini bukan sahaja telah melahirkan pasangan hero dan heroin baru malah telah mendapat sambutan hangat daripada para peminat filem Melayu ketika ditayangkan.

SENIWATI dari Malay Film Productions…Zaiton, Hashimah Yon dan Dayang Sofia.

Sejak itu, Hashimah Yon yang pernah digelar oleh sebuah akhbar di Singapura sebagai seniwati paling seksi tidak henti menerima tawaran demi tawaran berlakon.

Realitinya gelaran itu mungkin diberikan kepada Hashimah Yon bukan kerana beliau sering berpakaian menyolok mata untuk kelihatan seksi tetapi zahirnya jika melihat perwatakan beliau dan suaranya yang lembut dan manja membuatkan beliau layak menerima gelaran itu.

DARI kiri: HAMZAH Dolmat, Normadiah, Ismail Bontak, Hashimah Yon dan SM Salim sebelum berlepas ke Congo untuk menghiburkan askar-askar dari Malaya (Malaysia) yang bertugas sebagai pasukab pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1961.
DUA seniwati dari Malay Film Productions, Hashimah Yon dan Normadiah yang ‘ditugaskan’ membuat persembahan ke Congo.

Sepanjang 12 tahun menjalani hidup sebagai salah seorang Seniwati di Studio Jalan Ampas yang popular dan diminati ramai dengan membintangi lebih 20 filem antaranya “Anakku Sazali”(1956), “Hantu Jerangkong”(1957), “Megat Terawis”(1960) dan “Singapura Dilanggar Todak” (1961) tidak pernah beliau menduga terpaksa meletakkan noktah setelah filem “Budi dan Dosa”(1963) arahan Allahyarham Datuk Jamil Sulong.

Semuanya gara-gara Shaw Brothers memecat Hashimah Yon dari Malay Film Productions (MFP) mengenai perkahwinan kali kedua beliau. Ketika itu beliau berusia 22 tahun.

LAWATAN bintang Hollywood yang terkenal dengan filem-filem koboi, John Wayne ke Singapura pada Januari 1958.
Beliau diraikan pada Malam Gala yang dihadiri (dari kanan), Sir Run Run Shaw, Hashimah Yon, Puan Sri Saloma, Zaiton, Ahmad Mahmud, Salleh Kamil, Jins Shamsuddin, Haji Mahadi dan Aziz Sattar di Hotel Raffles, Singapura.
AKTOR Joh Wayne bersama Mariani, Hashimah Yon dan Latifah Omar.
HASHIMAH Yon bersama John Wayne.

Adalah difahamkan tindakan itu diambil apabila 15 artis MFP menghantar surat kepada Shaw Brothers agar menamatkan kontrak beliau disebabkan hal peribadi yang didakwa Hashimah Yon tiada kena mengena dengan syarat-syarat kontrak.

Dengan pemecatan itu, filem “Budi Dan Dosa” arahan Jamil Sulong adalah filem terakhir lakonan Hashimah Yon yang mana akhirnya mengambil keputusan bersara dari dunia filem.

BINTANG Hollywood, Elizabeth Taylor bersama pemilik Shaw Brothers, Run Run Shaw, Normadiah, Hashimah Yon dan Dayang Sofia di Festivel Filem Asia Pasifik di Tokyo.

Bagaimanapun selepas 26 tahun ‘bersara’ dari dunia filem akhirnya pada tahun 1989, Hashimah Yon diundang berlakon dalam filem “Kolej 56” arahan Ahmad Fauzee.

Selain Hashimah Yon tujuh lagi seniman dan seniwati Studio Jalan Ampas turut diundang membintangi filen berkenaan iaitu Allahyarham Seniman Yusof Latiff, Allahyarham Omar Suwita, Allahyarham Kemat Hassan, Ahmad Sabri, Allahyarham S. Shamsuddin, K. Fatimah dan Allahyarham Seniwati Mariani.

GAYA seorang seniwati…Hashimah Yon.
HASHIMAH Yon bersama Seniman Datuk Mustapha Maarof.

Pada tahun 1994, Pengarah U-Wei Shaari mengundang beliau berlakon dalam filem “Black Widow-Wajah Ayu” dan filem ini merupakan filem terakhir lakonan Hashimah Yon.

Hashimah Yon dicalonkan bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik kerana lakonannya sebagai Aton dalam filem “Black Widow-Wajah Ayu” pada Festival Filem Malaysia ke-12 yang berlangsung di Grand Ballroom, Hotel Istana, Kuala Lumpur pada 5 November 1990.

KENANGAN ketika berkunjung ke Mesir.

Sementara itu, pada 3 April 1961, Hashimah Yon bersama Allahyarham Seniwati Normadiah, Allahyarham Pelawak Ismail Bontak, Allahyarham Tan Sri SM Salim dan Allahyarham Hamzah Dolmat telah ke Congo untuk menghiburkan askar-askar dari Malaya (Malaysia) yang bertugas sebagai pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

KENANGAN…Ramlah Ram bergambar bersama bonda tercinta seniwati Hashimah Yon, Habsah Buang.
MENGABADIKAN kenangan…Datuk Jalaluddin Hassan bersama dua bintang Malay Film Productions iaitu Hashimah Yon dan Zaiton.
KENANGAN…dari kanan seniwati K. Fatimah, seniwati Zaiton, seniwati Hashimah Yon, Puan Rosie dari Shaw Organisation, seniwati Datuk Rosnani Jamil dan seniwati Habibah Haron.

Kini pada usianya 84 tahun, Hashimah Yon masih sihat dan menetap di Singapura. Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan seniwati legenda Hashimah Yon sentiasa diberikan kesihatan yang baik dan dirahmati Allah SWT…Amin.

SYED Wafa (Penulis) bergambar kenangan bersama seniwati legenda Hashimah Yon.
Previous articlePes Gulai Ratu Tumis Rasa Rosz Melazatkan Ketam Berempah !
Next articleDoa remeh-temeh pun minta pada Allah (Bahagian 1)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here