Image by Freepik

Oleh: Nury Kadir

Kenapa rawatan mengetatkan vagina selalunya mendapat sambutan? Tidak tahu jawapan apa yang sesuai untuk diberikan pada persoalan tersebut. Namun, pada awal tahun 2000, jus manjakani dikatakan cukup popular kerana boleh meremajakan dan mengetatkan vagina.

Apabila seorang usahawan membawa idea jus manjakani maka semua usahawan berasaskan herba dan tradisional juga turut mengeluarkan produk yang sama. Jus manjakani begitu mendapat sambutan hingga ada usahawan Melayu yang mampu membeli helikopter hanya dengan menjual jus manjakani.

Lama-kelamaan jus manjakani senyap, diganti pula dengan krim manjakani untuk mengetatkan. Apa sahaja produk yang berkaitan dengan hal `ketat’ `mengetat’ pasti dapat sambutan hangat walaupun kesannya entah betul, entahkan tidak.

Sebenarnya, mengikut kajian tidak ada pun istilah miss V ketat atau longgar. Ia hanya perkataan yang digunakan pengusaha produk untuk melariskan barang mereka. Sekadar perkongsian ringkas, vagina sebenarnya bersifat elastik dan fleksibel. Faktor usia dan proses melahirkan anak menyebabkan otot vagina menjadi semakin longgar dan lemah. Ia adalah proses semula jadi yang dialami oleh semua wanita.

Ada banyak pilihan untuk wanita menguatkan semula otot vagina antaranya kaedah pembedahan, senaman kegel, rawatan krim, laser vaginal tightening, kon faraj dan bebola Ben-Wa. Jika diperhatikan, hanya senaman kegel sahaja cara semulajadi untuk menguatkan otot vagina. Dikatakan ia adalah kaedah yang paling praktikal, selamat dan efektif.  Cuma kesannya lambat dan perlu rajin mengamalkannya setiap hari.

Kebanyakan wanita tidak sabar, malas dan tidak ada masa untuk melakukan senaman. Semuanya hendak pantas, hulur duit dan serah diri maka doktor yang lakukan kerja untuk mengetatkan otot vagina. Selepas satu jam semua urusan selesai, tidak ada berlaku pendarahan, tidak ada pembedahan dan kesannya terus dapat dirasa. Sebab itulah wanita yang berduit lebih suka memilih kaedah` laser vaginal tightening’ (mengetatkan otot-otot faraj yang longgar).

Di Malaysia, banyak klinik bertauliah yang menawarkan perkhidmatan laser mengetatkan vagina. Rawatan tersebut telah diuji berkesan untuk mengetatkan dinding, meningkatkan keanjalan kulit vulva dan ia juga akan  melegakan gejala inkontinen stres (kebocoran saluran kencing) . Manakala kos rawatannya dalam lingkungan RM2,500 bagi satu sesi rawatan yang mengambil masa antara 30 hingga 45 minit. Secara purata seseorang memerlukan tiga kali rawatan dengan selang dua minggu antara sesi.

Ramai yang telah menjalani rawatan tersebut mengatakan ia berkesan terutama terhadap hubungan intim suami isteri. Mungkin ada yang beranggapan bahawa tidak salah jika tujuannya untuk mengeratkan hubungan suami isteri dan saling menyenangkan pasangan.

Apabila orang Islam yang melakukannya, segala tindakan itu akan berbalik pada soal hukum. Adakah syarak membenarkannya?

Persoalan itu dijawab dalam laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (Irsyad Al-Fatwa- www.muftiwp.gov.my). Rawatan “laser vaginal tightening” (mengetatkan otot-otot faraj yang longgar) melibatkan proses mengubah ciptaan-Nya. Oleh itu, solusi hukum berdasarkan tujuan serta keadaan -keadaan berikut:

  1. Harus bagi tujuan merawat penyakit (daruriyyat) atau kecacatan akibat kesan kemalangan agar dapat mengembalikan semula bentuk asal serta memulihkan fungsinya.
  2. Haram bagi tujuan kosmetik (tahsiniyyat) semata-mata mahupun meningkatkan kepuasan seks pasangan. Larangan tersebut atas faktor -faktor berikut :

-Kelonggaran faraj merupakan proses semula jadi yang berlaku akibat penuaan, atau kekerapan melahirkan anak maka ia termasuk dalam mengubah ciptaan-Nya.

-Ancaman fitnah kerana melibatkan pendedahan aurat yang bukan bertujuan keperluan perubatan.

Dijelaskan di dalam artikel tersebut, perkara yang perlu dipertimbangkan dalam penentuan hukum laser mengetatkan vagina adalah niat. Adakah ia dilakukan bertujuan kosmetik semata-mata atau atas dasar maslahat daruriyyat atau hajiyyat. Hal ini kerana, rawatan kosmetik yang boleh mengubah ciptaan-Nya hanya boleh diterima pada situasi keperluan mendesak (daruriyyat) dan bukan semata-mata untuk kecantikan serta kepuasan nafsu.

Hujah tersebut berdasarkan dalil, surah al-Rum ayat 30. Maksudnya, “Tetaplah atas fitrah Allah yang telah menciptakan manusia atas fitrah itu,Tidaklah patut ada sebarang perubahan pada penciptaan (fitrah) Allah itu.”

Image by Freepik

Sebarang prosedur rawatan yang membawa kepada perubahan anggota badan manusia semata-mata untuk kecantikan tanpa keperluan adalah diharamkan oleh syarak. Ini berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya, “Allah melaknat wanita-wanita yang bertatu dan wanita yang meminta dibuat tatu, wanita-wanita yang mencukur bulu kening dan wanita yang meminta mencukur bulu kening dan wanita-wanita yang menjarangkan gigi untuk kecantikan yang (semua itu) mengubah ciptaan Allah.” (Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi mensyarahkan makna perkataan لِلْحُسْنِ bagi perbuatan menjarangkan gigi dalam hadis tersebut adalah, ‘Wanita yang menjarangkan gigi untuk kecantikan,’ memberi makna mereka melakukan perkara tersebut hanya untuk kecantikan dan ia sebagai isyarat kepada hukum haram. Hal Ini kerana, orang yang meminta untuk melakukan hal tersebut khusus menzahirkan kecantikan. Adapun, sekiranya berhajat untuk tujuan rawatan atau kerana aib pada gigi dan seumpamanya, maka tidak menjadi masalah.

Niat atau tujuan merupakan perkara pertama yang dijadikan pertimbangan dalam penentuan hukum. Ini berdasarkan satu kaedah fiqh yang masyhur: “Setiap perbuatan berdasarkan kepada niatnya.”

Manakala Syeikh Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti, menyatakan bahawa perbuatan mengubah ciptaan Allah SWT melalui rawatan kosmetik perlu dilihat dari sudut maslahat kepada individu dan tujuan pelaksanaannya. Sekiranya rawatan berada pada tahap keperluan mendesak (daruriyyat) dan menghindarkan dari kepayahan (hajiyyat), maka perbuatan ini dibenarkan oleh syarak. Namun, jika ia berada pada tahap tahsiniyyat (kesempurnaan) yang bersifat semata-mata untuk mencantikkan dan memperelokkan diri, maka hukumnya adalah haram.

Sementara Dr. Soleh bin Muhamad al-Fawzan dalam kitabnya al-Jirahah al-Tajmiliyyah berpandangan, rawatan faraj terbahagi beberapa keadaan berikut:

  1. Harus menjalani rawatan pembedahan faraj atas dasar perubatan seperti masalah kekeliruan antara faraj, masalah saluran kencing atau saluran najis serta khuatir berlaku kelemahan otot – otot faraj dan sesuatu keluar daripada faraj yang boleh membahayakan pasangan.
  2. Haram menjalani rawatan mengetatkan otot faraj akibat ia semakin longgar secara semula jadi yang hanya semata – mata ingin memenuhi kepuasan hubungan seks pasangan tanpa keperluan perubatan. Larangan tersebut berdasarkan sebab-sebab berikut;
    1. Pengharaman disebabkan prosedur rawatan dianggap seperti mengubah ciptaan semula jadi. Hal ini kerana, masalah kekenduran otot faraj merupakan perkara tabii yang sememangnya akan berlaku apabila seseorang wanita meningkat usianya serta kekerapan bersalin. Adapun, kelonggaran faraj akibat kemalangan atau penyakit, maka dibenarkan untuk merawatnya kerana ia kecacatan yang tidak disengajakan.
    2. Pengharaman disebabkan rawatan ini memerlukan kepada pemeriksaan bahagian sulit wanita dan menyentuhnya. Walhal, ia merupakan perkara yang diharamkan di samping membuka ruang fitnah yang besar terhadap aurat wanita. Ia tidak sewenang-wenangnya didedahkan tanpa ada keperluan yang mendesak seperti tujuan perubatan. Sedangkan tujuan asalnya adalah untuk kecantikan (tahsiniyyat) Jika diperhatikan dari sudut yang lain, wanita masih boleh mengamalkan kehidupan seksualnya seperti biasa. Seperti wanita lain yang mana mereka juga berkahwin, melahirkan anak dan meningkat usia tua tanpa perlu melakukan rawatan.
    3. Rawatan ini memerlukan kos pembiayaan yang mahal sehingga boleh dikategorikan sebagai pembaziran yang diharamkan oleh syarak. Setelah diteliti pendapat ulama, Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan prosedur rawatan “laser vaginal tightening” atau mengetatkan otot-otot faraj melibatkan proses mengubah ciptaan Allah SWT memandangkan kelonggaran faraj termasuk dalam kategori perubahan semula jadi yang berlaku kepada wanita disebabkan proses melahirkan anak, penuaan, genetik mahupun kerja-kerja berat. Justeru, perkara yang perlu dipertimbangkan dalam penentuan hukum adalah niat melakukan “laser vaginal tightening” sama ada ia bertujuan kosmetik semata-mata atau atas dasar maslahah daruriyyat atau hajiyyat. Inilah solusi hukum berdasarkan keadaan berikut.
    4. Harus bagi tujuan merawat penyakit atau kecacatan akibat kesan kemalangan agar dapat mengembalikan bentuk asal serta fungsinya. Ia dikategorikan sebagai maslahah daruriyyat (keperluan mendesak). Wanita yang ingin mendapatkan rawatan tersebut hendaklah mengutamakan pilihan doktor muslim wanita dahulu.
    5. Haram bagi tujuan kosmetik (tahsiniyyat) semata-mata mahupun meningkatkan kepuasan seks pasangan. Selain itu, berlaku fitnah yang besar kerana terdedah aurat yang bukan tujuan keperluan perubatan.
Previous articleSelamat Tahun Baru 2024
Next articleObses kurus hingga mengalami Anoreksia Nervosa (Bahagian 1)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here