Oleh : Asmat Fikri

Memasuki awal tahun baru, tentunya ramai yang memperbaharui azam masing-masing. Begitu juga dalam kalangan wanita, pastinya ramai yang tidak terlepas meletakkan azam ‘ingin kurus’ dalam senarai azam wajib tahun 2024.

Wanita dan kurus semestinya berpisah tiada. Ramai yang beranggapan kurus itu bukti cantik. Malah di negara kita, mereka yang bertubuh gemuk atau `berisi’ sering diejek atau lebih dikenali sebagai ‘body shaming’ hinggakan menjadi mimpi ngeri jika memiliki berat badan yang berlebihan.

Namun, harus diingat, walaupun keinginan untuk kurus adalah tinggi, wanita perlu berhati-hati kerana perasaan itu juga boleh memudaratkan. Tidakkah kita tahu, ada sejenis penyakit yang dikaitkan dengan tubuh badan yang kurus terutama dalam kalangan wanita yang dipanggil penyakit anoreksia nervosa.

Anoreksia Nervosa adalah sejenis penyakit kejiwaan yang membuatkan pengidapnya memiliki obsesi untuk memiliki tubuh yang kurus dan takut untuk memiliki tubuh gemuk atau terlihat gemuk. Meskipun sudah kurus, pengidapnya selalu menganggap tubuhnya masih kurang kurus atau gemuk.

Disebabkan ini, pengidapnya tidak mahu makan kerana takut menjadi gemuk. Ianya adalah penyakit kecelaruan pemakanan dengan ketakutan kenaikan berat badan.

Kajian Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) mendapati 1% daripada populasi Malaysia mengalami penyakit ini akibat beberapa faktor termasuk “body shaming” pada remaja obes yang menurunkan berat badan secara berlebihan selain dari faktor sejarah keluarga yang mengalami anoreksia.

Keadaan ini berlaku apabila anda merasakan memiliki tubuh yang gemuk dari keadaan sebenarnya walaupun realitinya mempunyai kurang berat badan. Atau lebih mudah difahami perasaan anda tidak cukup kurus meskipun sedang berdiet dan memiliki berat badan yang kurus.

Perasaan itu boleh menjadi teruk hingga ada yang mengambil keputusan untuk mengambil pil, ubat-ubatan kurus, memuntahkan kembali makanan yang sudah dimakan dan langsung tiada selera terhadap makanan. Mengamalkan senaman berlebihan hingga memudaratkan diri sendiri demi kelihatan kurus.

Image by Daniel Dan outsideclick from Pixabay

Faktor risiko penyakit Sesuatu penyakit itu mungkin terjadi disebabkan oleh faktor-faktor lain yang mempengaruhinya. Begitu juga dengan anoreksia nervosa ini, antara faktor risiko penyakit ini adalah seperti berikut:-

  1. Sejarah keluarga. Jika mempunyai ibu, keluarga atau saudara perempuan dengan tiada selera makan, anda lebih cenderung untuk mengalami gangguan pemakanan ini hingga menyebabkan penyakit anoreksia nervosa ini.
  2. Kurang keyakinan diri. Seseorang dengan anoreksia mungkin tidak suka dirinya. Mereka mungkin tidak suka cara mereka kelihatan atau berasa putus asa. Sering menetapkan matlamat yang sukar untuk dicapai bagi dirinya sendiri dan cuba untuk menjadi sempurna dalam setiap cara. Merasakan dirinya tidak cantik dan tidak sempurna seperti wanita lain juga menjadi punca mendapat anoreksia ini.
  3. Perubahan hidup atau peristiwa hitam. Peristiwa dialami sekarang atau terdahulu menyebabkan trauma serta peristiwa tekanan juga boleh membawa kepada tercetusnya anoreksia ini. Peristiwa ini seperti pernah dirogol, mengalami tekanan di tempat kerja, pernah diejek ‘body shaming’ dan macam-macam lagi.
  4. Pengaruh media sosial. Imej pada televisyen, internet dan di media sosial atau media cetak sering menampilkan model yang mempunyai susuk tubuh yang kurus dan ramping. Imej-imej ini mengaitkan untuk berjaya dan kelihatan cantik perlulah menjadi kurus. Hal ini akan mempengaruhi seseorang wanita sehingga menjadi obsess untuk kurus agar kelihatan cantik. Sedangkan dirinya tidak menyedari yang mereka boleh mengalami penyakit yang boleh membawa mudarat.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai simptom anokreksia nervosa ini, nantikan sambungannya di artikel akan datang.

Previous articleBila laser mengetatkan vagina dibenarkan?
Next articleCara menghilangkan serta memudarkan jeragat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here