Image by mdjaff on Freepik

Oleh Asmat Fikri

STROK! Sekali dengar agak mengerikan juga, namun ramai yang tidak memberi perhatian lebih pada penyakit ini kerana beranggapan strok hanya menyerang orang tua atau mereka yang lanjut usia. Tapi tahukah kita, ianya salah sama sekali. Apa yang benar adalah strok boleh menyerang sesiapa sahaja tidak kira umur dan paling mengerikan, wanita lebih cenderung diserang penyakit strok berbanding lelaki.

Malah kajian terbaharu mendapati kaum wanita berusia bawah 35 tahun berhadapan risiko strok atau angin ahmar yang lebih tinggi, iaitu sebanyak dua kali ganda berbanding kaum lelaki. Benarkah begitu?

Ya benar, menerusi laman web Hello Doktor, ia mendedahkan sebuah analisis yang diterbitkan di dalam jurnal Strok, pakar mendapati wanita di usia 35 tahun ke bawah mempunyai risiko sebanyak 44 peratus untuk diserang strok iskemik yang disebabkan saluran darah yang tersumbat pada otak berbanding lelaki dalam kumpulan umur yang sama.

Apa itu strok?

Strok atau lebih dikenali dengan nama angin ahmar adalah satu keadaan dimana berlakunya penyempitan salur darah ke bahagian otak atau salur darah pecah. Sebahagian dari tisu otak akan rosak disebabkan kekurangan bekalan oksigen yang disalurkan ke otak. Apabila bahagian tisu otak tersebut rosak, ia akan mati lalu fungsi otak akan hilang.

Di antara gejala yang ketara adalah pengsan, tidak sedarkan diri dan/atau lemah sebahagian anggota. Strok atau angin ahmar adalah penyakit yang merbahaya yang boleh mengakibatkan kecacatan kekal.

Statistik hospital-hospital kerajaan menunjukkan peningkatan ketara pesakit strok atau angin ahmar dan kematian akibat strok atau angin ahmar. Di Hospital Kuala Lumpur data statistik mencatatkan 30-35 peratus kematian daripada 1,000 kes penghidap yang dirawat. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan pada Tahun 2001 terdapat 20.0 juta penghidap strok seluruh dunia, 5.5 juta membawa maut. (Portal MyHealth.my).

Photo by RDNE Stock project

Jenis-jenis strok

Terdapat dua jenis strok iaitu strok iskemik dan strok hemorhaj. Menurut laman web Hello Doctor, Strok iskemik berlaku apabila saluran darah yang membekalkan darah ke otak tersumbat. Apabila darah tidak sampai ke otak, sel otak akan mulai mati dalam masa beberapa minit. Strok jenis ini merangkumi hampir 87% daripada semua jenis strok.

Manakala strok hemorhaj pula berlaku disebabkan salur darah yang lemah lalu pecah. Darah akan berkumpul dan mengakibatkan tekanan pada sekeliling tisu otak.

Kenapa wanita, bukan lelaki?
Mungkin menjadi persoalan juga pada kita kenapa kaum wanita lebih terdedah dengan penyakit strok dan bukannya lelaki?
Ini disebabkan beberapa faktor yang dimiliki oleh wanita iaitu semasa kehamilan, menopaus dan peningkatan usia. Di sini kita dapat lihat dua risiko terbesar ada pada wanita dan tidak pada kaum lelaki iaitu kehamilan dan menopaus.

Menurut pakar, praeklampsia yang boleh menyebabkan hipertensi serius ketika kehamilan boleh menyebabkan strok. Strok ke atas wanita didiagnos kerana tidak menolak faktor tubuh wanita yang tidak sama dengan lelaki dan strok mempengaruhi mereka secara berbeza-beza pada peringkat kehidupan yang berbeza. Bagi wanita, risiko terkena strok lebih tinggi semasa kehamilan. Disebabkan oleh tubuh wanita juga perlu penyesuaian dengan menopaus, ia meningkatkan lagi risiko strok.

Selain itu, kontraseptif oral dan terapi penggantian hormon meningkatkan risiko strok. Risiko Afib (fibrilasi atrium) akibat peningkatan usia. Afib adalah faktor risiko yang signifikan bagi strok. Oleh kerana jangka hayat wanita lebih lama daripada lelaki, terdapat lebih ramai wanita hidup dengan Afib. Strok yang disebabkan Afib ini selalunya lebih teruk pada wanita dan lebih ramai kematian wanita berkait dengan Afib atau mempunyai lebih banyak kekurangan dan kualiti hidup yang lebih buruk berbanding lelaki.

Selain itu, antara faktor lain berlakunya strok adalah seperti berikut:

  1. Tekanan Darah Tinggi
  2. Kencing manis
  3. Paras kolesterol tinggi
  4. Merokok
  5. Berat badan yang berlebihan
  6. Cara hidup tidak aktif (sedentari)
  7. Tekanan/stress
  8. Pemakanan – kurang serat dan tinggi lemak
  9. Minuman keras – minum minuman keras yang berlebihan

Artikel akan datang cuba mengupas lebih lanjut tanda-tanda seseorang itu terkena strok.

Previous articleKhasiat barli untuk kesihatan
Next articleFazley Yaakob dilamar pelbagai jenama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here