Oleh Asmat Fikri
Gejala
Mungkin ada persoalan bagaimana hendak mengetahui yang kita sebenarnya menghadapi masalah PCOS ini? Menjawab persoalan itu, selain dari masalah kitaran haid yang tidak teratur, antara simptom lain yang boleh diteliti adalah mengalami hirsutism iaitu mempunyai banyak bulu di muka atau badan yang lebih dari biasa. Selain itu, kehilangan rambut di kepala juga antara simptom kemungkinan mengalami PCOS.
Gejala lain yang seseorang wanita itu berkemungkinan mengalami PCOS adalah memiliki berat badan berlebihan atau obesiti, jerawat atau kulit muka berminyak dan kerap mengalami masalah kemurungan atau cepat berubah hati (mood). Walau bagaimanapun, gejala ini hanya sebagai panduan dan ia juga boleh berubah, bergantung kepada tahap sindrom PCOS itu sendiri.
Kesan
Kebanyakan wanita PCOS juga akan mempunyai berat badan yang berlebihan (obes) dan boleh menghidapi diabetes, obstructive sleep apnea dan banyak lagi masalah jangka masa panjang (lihat komplikasi). Oleh itu, mereka perlu menjalani saringan diabetes (kencing manis), tekanan darah dan kolesterol.
PCOS juga boleh menyebabkan ketidaksuburan (infertility) disebabkan telur (ovum) yang tidak menetas keluar. Mereka yang mempunyai masalah ini jangan risau kerana kini ada ubat-ubatan kesuburan yang boleh membantu mengatasinya.
Namun begitu, ada enam komplikasi yang dinyatakan KKM bagi seseorang yang menghadapi PCOS.
Penghidap PCOS terdedah dengan komplikasi-komplikasi jangka masa panjang seperti:
- Kencing manis (diabetes mellitus- DM) – 10-20% PCOS boleh mendapat DM pada usia lingkungan 40-an nanti, lebih-lebih lagi jika pesakit itu obes atau mempunyai sejarah keluarga DM.
- Tekanan darah tinggi (hypertension) – disebabkan DM dan obes.
- Penyakit jantung koronari- disebabkan DM dan darah tinggi.
- Kanser – haid yang tidak teratur boleh mengakibatkan selaput endometrium menebal sehingga terhasilnya hyperplasia (see endometrial hyperplasia). Ini boleh mengakibatkan kanser rahim. Oleh itu mereka yang mempunyai masalah haid (haid datang kurang dari 4 kali dalam setahun) disarankan berjumpa doktor. Risiko kanser buah dada, pangkal rahim (serviks) dan ovari adalah sama seperti wanita yang tidak mempunyai PCOS.
- Kemurungan – kurang jati diri kerana kegemukkan dan perasaan tidak yakin pada kebolehan diri sendiri.
- Berdengkur dan mamai di waktu pagi – oleh kerana Obstructive sleep apnea (see Obstructive sleep apnea)
Amalkan Gaya Hidup Yang Sihat
Walaupun menghidapi PCOS, namun komplikasi tersebut boleh dikurangkan dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat. Kurangkan pengambilan gula putih dalam diet harian dan pastikan mengambil makanan yang berkhasiat. Selain itu, amalkan juga senaman harian. Mulakan senaman ringan seperti jogging, brisk walk, morning walk dan lari setempat sekadar 30-45 minit sehari.
Selain itu, PCOS ini sangat terkait rapat dengan masalah obesiti atau lebihan berat badan. Justeru, amalkan diet yang seimbang dan segala aktiviti yang menjerumus ke arah penurunan berat badan. Pastikan sentiasa konsisten dengan apa yang anda lakukan sehingga membuahkan hasil.
Penurunan berat badan juga boleh menurunkan risiko kencing manis, koronari jantung dan semula kitaran haid dan mengurangkan risiko hyperplasia endometrium.
Antara lain yang boleh dilakukan adalah menjalankan pemeriksaan secara berskala di klinik atau hospital. Pastikan berjumpa dan mendapatkan nasihat dari pakar perubatan tentang masalah itu dan apa langkah yang perlu diambil jika perlukan rawatan susulan.
Penutup
Justeru, masalah PCOS ini bukanlah masalah kesihatan yang jarang berlaku, namun ia boleh terkena pada sesiapa sahaja wanita terutamanya yang telah berkahwin. Pastikan kesihatan sentiasa dijaga dan jika terdapat sebarang kesulitan, boleh berhubung terus dengan pakar kesihatan di klinik atau hospital.
Begitu juga dengan masyarakat, sekiranya terdapat kenalan atau saudara terdekat yang belum memiliki zuriat selepas perkahwinan, usahlah diasak dengan persoalan ‘bila nak ada anak’?. Kita tidak tahu apa masalah sebenar yang setiap orang itu alami. Jadilah masyarakat yang berhemah dan saling memahami barulah harmoni hidup ini.
ASMA Fikri ialah bekas wartawan Majalah Al-Islam.