Oleh Nafsiah Jani
Bertuah rakyat Malaysia kerana mempunyai banyak tumbuhan semulajadi yang boleh membantu mengatasi pelbagai masalah kesihatan dan kecantikan dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.
Tumbuhan yang ingin dikatakan kali ini ialah tumbuhan menjalar daun pegaga yang mempunyai banyak khasiat dan kebaikan untuk kaum lelaki dan wanita. Pegaga atau nama saintifiknya, Centella Asiatica dikatakan mampu merawat kerosakan kulit dan melancarkan perjalanan darah.
Daun pegaga boleh dijadikan ulam-ulaman, kerabu pegaga ataupun dinikmati sebagai jus. Mungkin rasanya yang sedikit pahit membuatkan ramai tidak berminat untuk mencubanya. Namun tahukah anda disebalik kepahitan itulah tersembunyi banyak rahsia.
Daun pegaga, berdaun hijau berbentuk kipas ini biasanya terdapat di Jepun, India, China dan Indonesia. Sejak ramai yang menyedari khasiatnya yang tersembunyi membuatkan ramai yang berlumba-lumba ingin mengkomersialkan produk kecantikan dan makanan tambahan.
Mari kita lihat khasiat untuk kecantikan dan kesihatan yang boleh didapati dalam daun pegaga dan jus yang diperbuat daripadanya.
Menguatkan akar rambut:
Bagi mereka yang menghadapi masalah rambut gugur, amalkan makan ulam pegaga. Pegaga bagus untuk rambut kerana kandungan nutriennya mampu menguatkan akar rambut, menyuburkan kulit kepala serta membantu pengaliran salur darah ke akar rambut.
Menjaga saraf:
Jika seseorang itu rajin minum jus pegaga atau makan daun pegaga begitu sahaja, ia dapat membantu melindungi kerosakan sel saraf dalam badan seseorang. Ia membantu melindungi saraf daripada penyakit-penyakit seperti Parkinson, Alzheimer dan mengurangkan tekanan pengoksidaan.
Menyembuhkan luka:
Selain membantu menjaga dalaman badan, pegaga sebagai ulaman dan jus pegaga juga bagus untuk menyembuhkan luka bersalin dan mengecutkan rahim peranakan kerana terdapat banyaknya kandungan kolagen didalamnya. Bila kandungan kolagen meningkat, proses penyembuhan luka di bahagian kulit akan berlaku dengan cepat.
Redakan demam:
Selalunya jika seseorang itu demam, disyorkan mengunakan asam jawa atau bunga raya untuk disapu di dahi bagi mengurangkan panas dalam badan. Rupanya selain bahan tersebut, daun pegaga juga berfungsi untuk meredakan demam. Caranya tumbuk lumat daun pegaga dan ambil air perahan pegaga tadi dan sapukan ke dahi, muka dan seluruh badan.
Kekal Awet Muda:
Seperti kita tahu, sejak turun temurun nenek moyang kita telah mengamalkan pegaga sebagai ulam-ulaman untuk kekal awet muda. Apabila selalu diamalkan pegaga ini membantu melancarkan perjalanan darah kita dan bila badan sihat dan secara tidak langsung auranya menyerlah pada muka kita dan tampak awet muda sentiasa. Jadi untuk awet muda, amalkan makan pegaga atau jusnya secara konsisten. Sudah pasti hasilnya cukup menggembirakan anda semua kerana ia membantu melewatkan proses penuaan dan mengekalkan keremajaan kulit.
Hilangkan Jerawat:
Bagi remaja yang menghadapi masalah muka berjerawat, jangan risau kerana daun pegaga dapat membantu menyelesaikan masalah anda. Ambil daun pegaga yang bersih dan tumbuk sehingga lumat. Kemudian campurkannya bersama sedikit bedak sejuk. Bila dah sebati kedua-duanya, bolehlah sapu ke muka. Elok diamalkan bila anda ingin tidur dan cuci keesokkan harinya. Jika dilakukan secara konsisten, Insya-Allah masalah jerawat anda akan kecut, hilang dan wajah anda akan kembali bersih dari masalah jerawat.
Baik Untuk Mata:
Pegaga juga kaya dengan kandungan phytonutrient seperti carotene, neoxanthin, dan zeazanthin. Kandungan ini dapat membantu mengelakkan sel mata seseorang itu rosak ditambah pula dengan faktor usia yang meningkat.
Tingkatkan hemoglobin (Hb) darah:
Bagi ibu-ibu mengandung yang mengalami masalah Hb darah yang rendah, disarankan untuk mengambil pegaga kerana ia kaya dengan zat besi dan vitamin C. Kandungan vitamin C ini membantu penyerapan zat besi dalam badan dan juga membantu pembentukan sel darah merah. Pegaga dan jus pegaga baik untuk ibu hamil kerana ia juga dapat mengelakkan anemia.
Penulis, Nafsiah Jani adalah penyumbang tetap Lady Bosz. Beliau juga adalah juga bekas wartawan hiburan Utusan Malaysia.