Family sitting on the ground
Photo by Fadime Erbass on Pexels

Oleh Nury Kadir

Jangan cuba-cuba hendak sakitkan hati wanita mengandung, ‘mulut masin’. Sekali cakap terus menjadi, apatah lagi bila menyumpah mengalahkan Sang Kelembai. Mungkin kerana percaya dengan ungkapan isteri mengandung masin mulut, maka suami pun turutkan sahaja permintaan mengidam isteri. Suami bimbang jika tidak diturutkan permintaan isteri, terkeluar pula kata-kata tidak elok atau sumpahan dari mulut isteri yang akan memberi kesan buruk .

Pernah berlaku satu peristiwa suami mengajak isteri menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia FIFA 2022, Argentina menentang Perancis. Isteri dengan selamba berkata, “Argentina mesti menang, Argentina kuat tidak ada siapa boleh kalahkannya.” Suami berharap sangat, janganlah Argentina menang kerana Perancis adalah juara bertahan. Akhirnya, Argentina juara Piala Dunia 2022 setelah 36 tahun menunggu. Masin mulut isteri hamil!

Betulkah wanita hamil masin mulutnya atau mulutnya masin? Masin mulut boleh didefinisikan sebagai apa yang dikatakan semuanya menjadi kenyataan. Namun menurut Ustaz Muhaizad al Yamani (Mudir Madrasah Ribat Mustofa), mulut masin adalah mulut berkat. Apa yang kita hendak dan sebut menjadi kenyataan.

Antara amalan yang diberikan Ustaz Muhaizad al-Yamani adalah zikir Bismillahirrahmanirrahim (3000 kali) setiap hari, dengan izin Allah mulut jadi berkat atau mulut masin terutamanya ibu. Berhati-hatilah ibu bila berkata-kata kerana mulut ibu keramat terutamanya apabila dia sedang bersedih dengan karenah anak. Mulut ibu memang makbul kepada anak sebab itulah orang dulu-dulu apabila marahkan anak, kata-katanya berlapis dan menggunakan perkataan yang indah.

Manakala Ustaz Fawwaz Mat Jan, menyenaraikan empat golongan manusia yang memang dikurniakan Allah dengan mulut masin atau mulut bisa. Setiap kata-kata dan doanya menjadi kenyataan. Jika berpeluang berdamping dengan empat manusia ini, mintalah doa yang baik-baik.

Empat manusia yang mulut masin:

1. Ibu kepada anak-anak

Anak muda hari ini yang berserabut dengan berbagai-bagai masalah, jumpalah manusia mulut bisa iaitu ibu kita dan minta doa daripadanya. Doa ibu sangat mustajab, selalu doakanlah kebaikan untuk anak-anak.

2. Suami kepada isteri

Di dalam dunia ini tidak ada suami yang tidak marah kepada isteri. Ada suami yang marah depan-depan namun banyaknya yang marah isteri di belakang. Setiap perkataan yang buruk mahu pun baik yang keluar daripada mulut suami adalah doa yang mustajab. Maka suami perlu berhati-hati ketika marah, jika perkataan buruk yang dilemparkan kepada isteri maka itulah yang akan menjadi kenyataan.

Photo by Katerina Holmes: www.pexels.com

3. Guru kepada murid-murid

Guru sebagai khazanah harta yang tiada ternilai. Rasulullah SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, maksudnya: “Manusia itu adalah umpama barang-barang galian seperi barang galian emas dan perak. Sebaik-baik mereka di zaman kejahilan dulu juga akan menjadi sebaik-baik manusia setelah mengikut Islam jika mereka memahami Islam itu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

4. Orang alim

Berhati-hati dengan empat manusia ini, jika ada kesempatan bertemu dengan mereka mintalah didoakan yang baik-baik sahaja untuk kita. Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Tiga doa yang mustajab dengan tidak syak lagi padanya; Doa seorang yang dizalimi, doa seorang yang bemusafir dan doa ibubapa kepada anaknya.” (Riwayat Ibn Majah-Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai Hasan li Ghairihi)

Berbalik persoalan awal, adakah wanita hamil mulut masin? Jawapannya, tidak ada ditemui riwayat yang menyebut tentang kemustajaban doa wanita hamil secara khusus. Di dalam laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dijelaskan secara terperinci berkaitan antara sebab kemustajaban doa seseorang. Berdasarkan firman Allah SWT, maksudnya; “Atau siapakah yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesulitan apabila dia berdoa kepada-Nya (melainkan Allah).” (Surah Al-Naml:62).

Imam al-Hafiz Ibn Katsir dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini berkata: “Siapakah lagi yang menjadi fokus dan tumpuan bagi mereka yang berada dalam kesulitan melainkan kepada-Nya (Allah). Serta siapakah lagi yang menghilangkan kemudaratan dari mereka yang tertimpa mudarat selain Allah?’’

Beliau juga menukilankan sebuah kisah yang berlaku kepada para salafussoleh terdahulu seperti yang disebutkan oleh ‘Ubaidullah bin Abi Soleh beliau berkata: “Suatu hari Thawus (Ibn Kaisan) datang menziarahi aku yang sedang sakit di rumahku. Lalu aku berkata kepadanya; Berdoalah kepada Allah untuk aku wahai Abu Abd al-Rahman. Maka beliau membalas; Berdoalah kamu sendiri untuk diri kamu, kerana Allah menjawab mereka yang dalam kesulitan apabila dia berdoa kepada-Nya.”

Sudah menjadi lumrah wanita hamil berhadapan dengan pelbagai kesukaran dan kesulitan, dari sudut fizikal kesukaran membawa kandungan selama sembilan bulan dan juga kesakitan dalam proses melahirkan. Maka doa wanita hamil yang sedang berada dalam kesukaran ini adalah mustajab kerana termasuk dalam kategori الْمُضْطَرَّ iaitu mereka yang berada dalam kesulitan.

a woman sitting on a wooden deck next to a body of water
Photo by Iniizah on Unsplash

Doa Mustajab

Secara umumnya, sesiapa sahaja yang berdoa telah diberikan jaminan oleh Allah SWT akan kemustajaban doa tersebut. Ini dinyatakan oleh Allah SWT melalui firman-Nya dalam Surah Ghafir ayat 60.
Maksudnya: “Berdoalah kamu semua kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan doa kamu semua.”

Berdasarkan ayat di atas dapat disimpulkan bahawa berdoa itu merupakan suatu ibadah kepada Allah. Ini kerana, setiap suruhan daripada Allah SWT kepada para hamba-Nya untuk melakukan sesuatu perkara itu menunjukkan bahawa ia merupakan perbuatan ibadah.

Demikian juga ayat di atas menunjukkan bahawa Allah S.W.T bukan sahaja memerintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bahkan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan.

Kata Khalid Al-Rib’ie di dalam Al-Jami’ li Ahkam al-Quran, Al-Qurthubi : “Sangat ajaib buat umat ini, dikatakan kepada mereka : Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku akan mustajabkan. Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya.”

Meskipun begitu, seseorang yang berdoa itu hendaklah sentiasa optimis dan yakin dalam berdoa. Dari sudut dia berdoa dalam jiwa yang penuh hadir, khusyuk serta tunduk kepada Allah SWT. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Berdoalah kamu semua kepada Allah dalam keadaan kamu yakin ia akan dimustajabkan. Dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah tidak akan memustajabkan doa dari jiwa yang lalai lagi alpa.” (Riwayat al-Tirmizi).

Akhir sekali, ingatlah pesan Rasulullah SAW seperti yang disebut di dalam hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Janganlah seseorang kamu berkata: Ya Allah Ya Tuhan kami, ampunilah aku sekiranya Engkau mahu, Ya Allah Ya Tuhan kami, kasihanilah aku sekiranya Engkau mahu. Akan tetapi hendaklah dia berusaha bersungguh-sungguh dalam meminta kerana sesungguhnya Allah sama sekali tidak ada yang memaksa.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Imam Ibn Abd al-Bar menyatakan tidak dibenarkan seseorang itu berdoa dengan lafaz tersebut dalam memohon kepada Allah berkaitan hal agama dan dunia dan itu termasuk di dalam ucapan yang mustahil. Adapun Imam al-Nawawi menyatakan hukum bagi orang yang berdoa sedemikian adalah makruh tanzih.

Selain itu, hadis tersebut juga menunjukkan bahawa seseorang itu perlu bersungguh-sungguh dalam berdoa serta dalam masa yang sama mengharapkan agar Allah SWT menerima doanya dan janganlah ada rasa putus asa dengan rahmat Allah kerana dia sedang berdoa dengan Yang Maha Pemurah sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Ibn Batthal.(https://muftiwp.gov.my)

Previous articlePes Sambal Dan Gulai Ratu Tumis Rasa Rosz Melazatkan Rendang Daging !
Next articleDaun pegaga bagus untuk lelaki dan wanita

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here