Oleh Syed Wafa
Foto Koleksi Syed Wafa

Perjalanan seni seseorang tidak pernah sama. Ada yang menjadi pelakon setelah melihat seniwati kesayangannya menjalani penggambaran. Tidak kurang juga yang menjadi pelakon kerana mencuba nasib dengan bantuan kawan yang bertugas sebagai kru filem.

Tetapi berlainan dengan seorang Ibrahim Pendek. Pada tahun 1953, ketika beliau bercuti dan berkelah di Singapura, gelagatnya telah menarik perhatian pemilik Studio Jalan Ampas, (Malay Film Production), Run Run Shaw yang memerhatikannya dari jauh.

Personaliti Ibrahim Pendek yang unik dan wajah menarik dengan ketinggian hanya 130sm membuatkan Run Run Shaw berjumpa beliau dan mempelawanya menjalani ujibakat di Studio Jalan Ampas keesokan harinya.

Di awal kemunculan Ibrahim Pendek dalam dunia seni.

Setelah lulus dalam ujibakat itu, Ibrahim Pendek atau nama sebenarnya Ibrahim Hassan yang ketika itu berusia 22 tahun ditawarkan berkerja sebagai pelakon dengan gaji bulanan $150.

Disebabkan sudah ada seorang pekerja bernama Ibrahim Hassan dan bersandarkan personalitinya pendek tetapi menarik, bermula pada saat itulah beliau dikenali sebagai Ibrahim Pendek.

Apa yang pasti, kehadirannya dalam dunia filem Melayu pada era 1950-an bukan setakat personalitinya yang unik malah dengan bakat anugerah-Nya membuatkan seniman yang seorang ini amat pantas mencipta nama dan menarik perhatian para peminat dengan lakonannya.

RUN RUN SHAW yang bertangungjawab bawa Ibrahim Pendek dalam dunia lakonan.

Bermula dengan “Panggilan Pulau” (1954), Allahyarham Seniman Ibrahim Pendek tidak menoleh ke belakang lagi. Malah setiap filem terbitan MFP, pasti nama beliau akan tersenarai sebagai salah seorang pelakonnya.

Sejak itu, satu demi satu filem lakonan Ibrahim Pendek muncul setiap tahun yang mana selama 13 tahun bersama MFP beliau telah berlakon 35 filem antaranya “Kipas Hikmat” (1955), “Anakku Sazali” (1956), “Hantu Jerangkong” (1957), “Hantu Kubur” (1958), “Pendekar Bujang Lapok” (1959), “Isi Neraka” (1960) dan “Raja Bersiong” (1968).

LAKONAN Ibrahim Pendek dalam filem “Ali Bujang Lapok” telah membuka ruang beliau berlakon dalam filem “The Spiral Road” terbitan Universal Studio, Hollywood.

Siapa sangka wataknya sebagai ‘Sarjan’ dalam filem “Ali Baba Bujang Lapok” (1961), Ibrahim Pendek mendapat tawaran berlakon di Hollywood.

Perwatakannya sebagai ‘Sarjan’ kumpulan penyamun dengan sosok tubuhnya yang rendah tetapi tegas dalam menjalankan tugas menjadi titik tolak seorang ejen dari Universal Studio tertarik dengan lakonan Ibrahim Pendek.

FILEM “The Spiral Road” bukan sahaja memberi peluang Ibrahim Pendek berlakon di Hollywood malah telah menggandingkannya dengan aktor Rock Hudson, Gena Rowlands dan Burl Ives.
WALAUPUN ketinggiannya hanya 130sm tetapi Ibrahim Pendek mencatatkan sejarah sebagai seniman pertama berpeluang berlakon di Hollywood dalam filem “The Spiral Road.”

Ejen tersebut telah menghubungi Shaw Brothers dan menawarkan Ibrahim Pendek watak pembantu kepada Rock Hudson (Dr. Anton Drager) dalam filem “The Spiral Road”(1956). Turut berlakon ialah Burl Ives (Dr. Brits Jansen) dan Gena Rowlands (Els Van Duin).

Sesuatu yang membanggakan babak-babak yang melibatkan wataknya sebagai Stegomyia, pembantu Dr. Anton Drager, Ibrahim Pendek bertutur dalam bahasa Melayu.

SATU babak dari filem “The Spiral Road” Ibrahim Pendek dan Rock Hudson (Dr. Anton Drager).
SATU babak dari filem “The Spiral Road.”
ENTAH apalah yang dibualkan Ibrahim Pendek dengan Rock Hudson.

Bagi Ibrahim Pendek biarlah apa orang nak kata apabila babak-babaknya bersama Rock Hudson (Dr. Anton Drager) bagaikan ‘ayam bercakap dengan itik’ tetapi yang penting beliau mahu memartabatkan bahasa Melayu dalam filem Hollywood arahan Robert Mulligen!

Ibrahim Pendek ‘terbang’ ke Hollywood pada 18 Ogos 1961 dan menjalani penggambaran selama 54 hari. Khabarnya selama berada di sana, Ibrahim Pendek tinggal di sebuah banglo milik Rock Hudson.

IBRAHIM Pendek dalam satu babak filem “The Spiral Road.”
Dari kiri: Burl Ives (Dr. Brits Jansen) Rock Hudson (Dr. Anton Drager) dan Gena Rowlands (Els Van Duin).
IBRAHIM Pendek (Stegomyia) bersama Burl Ives (Dr. Brits Jansen) dalam satu babak filem “The Spiral Road.”
Dua legenda Ibrahim Pendek dan Rock Hudson.

Bermula dari filem itu, Ibrahim Pendek bukan sahaja telah mencatatkan sejarah dalam dunia perfileman Melayu sebagai seniman pertama berlakon dalam filem terbitan Hollywood malah beliau mempertahankan semangat jati diri dengan bertutur bahasa Melayu!

Setelah filem tersebut Ibrahim Pendek menerima tawaran daripada Hollywood untuk membintangi filem-filem terbitan mereka. Sayangnya permohonan visa beliau tidak diluluskan.

Walaupun kecewa tetapi sekembalinya dari Hollywood, tawaran berlakon dari MFP tidak pernah terhenti dan Ibrahim Pendek masih meneruskan kerjayanya sebagai pelakon sehinggalah Studio Jalan Ampas (MFP) tutup pada tahun 1967.

Apabila Studio Jalan Ampas ditutup, demi kelangsungnan hidip beliau beralih kerjaya dengan membuka sebuah kedai pakaian dan kasut di Geylang Arcade, Singapura.

IBRAHIM Pendek sebagai ‘Berahim’ (bang Berahim, kekasih kepada Aeni, lakonan Aini Jasmin, orang gaji Pendekar Mustar yang dilakonkan Mustarjo).
Filem “Siti Muslihat” (1962) turut menampilkan Ibrahim Pendek sebagai khadam raja bernama ‘Pendek.’

Sejak tahun 1971, kedainya yang dikenali Ibrahim Pendek Store mengimport tali pinggang dari Amerika Syarikat dan kasut dari England.

Bagi Ibrahim Pendek, walaupun modal mengimpot barangan luar negara amat tinggi tetapi keuntungannya berbaloi apalagi permintaan pelanggan amat banyak dan tiada persaingan.

Disamping berniaga, Ibrahim Pendek mendapat tawaran berlakon dua filem terbitan Cathay Keris iaitu “Mat Lanon” (1968) dan “Mat Toyol” (1969).

IBRAHIM Pendek sebagai ‘Pendek’ (geng Sazali) dalam filem “Anakku Sazali.”

Kalau sudah bergelar pelakon memang sukar meninggalkan bidang yang diminati begitu sahaja. Begitu juga bagi Ibrahim Pendek.

Setelah beberapa tahun berniaga, Ibrahim Pendek yang pernah berlakon filem Cina berjudul “The Circus” (1958) arahan Phani Majumdar terbitan bersama Shaw Brothers Singapura dan Hong Kong, akhirnya menutup kedainya di Geylang dan berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 1975 dan meneruskan kerjayanya sebagai pelakon.

Selama 17 tahun kembaranya dalam bidang lakonan di Kuala Lumpur, beliau telah membintangi 17 filem antaranya “Keluarga Si Comot” (1975), “Pendekar”(1977), “Tuan Badul” (1979), “Sumber ilhamku” (1980) dengan filem terakhir lakonannya “XX Ray” (1992) terbitan Nizarman (M) Sdn. Bhd.

IBRAHIM Pendek bersama isterinya, Che Hasnah Mohd. Amin.
Pasangan bahagia,Ibrahim Pendek bersama isterinya, Che Hasnah Mohd. Amin.
SAAT bahagia Ibrahim Pendek apabila menjadi ayah.
IBRAHIM Pendek meluangkan masa melayan anaknya.
IBRAHIM Pendek bersama isteri keduanya, Asiah Othman. Mereka bernikah pada 16 Ogos 1970.

Beliau pernah berkahwin dua kali iaitu dengan Che Hasnah Mohd. Amin dan Asiah Othman dikurniakan tujuh orang anak. Enam anak daripada perkahwinan kedua (Asiah Othman) dan seorang daripada perkahwinan pertama. Bagaimanapun kedua-dua perkahwinan itu berakhir dengan perceraian.

IBRAHIM Pendek bersalaman dengan Allahyarham Seniman dan Pengarah, M. Amin sambil diperhatikan oleh Allahyarham Seniman Nordin Ahmad ketika sambutan hari raya haji.
PARA pelakon menjadi perhatian para peminat ketika menjalani penggambaran filem “Taufan” (1957) di luar studio.
Dari kiri: Allahyarham S. Sudarmadji, Allahyarham Datuk Aziz Sattar, Pengarah, T. Santos (Filipina), Ibrahim Pendek.
IBRAHIM Pendek bersama Allahyarham Seniwati Rahmah Rahmat.
DALAM kenangan…Ibrahim Pendek bersama Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Aziz Sattar.
SELAIN Ibrahim Pendek filem “Da Di Du” turut dilakonkan Allahyarham Yahya Sulong dan A.R Badul. Filem ini diarahkan oleh Allahyarham Datuk Aziz Sattar dan diterbitkan pada tahun 1981.

Pengalamaan saya bersama seniman hebat ini pasti sesuatu yang tidak dapat saya lupakan. Ketika itu saya bertugas sebagai editor majalah Oh! GEE dan berpeluang menemubual insan hebat ini dan ternyata beliau seorang yang begitu periang dan sentiasa berjenaka. Saya sungguh terhibur sepanjang pertemuan dengan beliau.

Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Haji Mohd. Ali Mohd. Rustam ketika melawat bekas isteri kedua Allahyarham Ibrahim Pendek, Asiah Othman bersama dua daripada enam anak mereka, Aidid dan Ani di Melaka pada tahun 2019.

Ibrahim Pendek meninggal dunia pada usia 71 tahun pada 25 November 2003 kerana penyakit buah pinggang, paru-paru berair dan sesak nafas. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Midah, Cheras, Kuala Lumpur.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang beriman… Amin.

Kenangan indah… SYED Wafa (Penulis) bersama Ibrahim Pendek.
Previous articleFaizal Tahir anjur acara amal Faith4Palestine
Next articleKhasiat dan kebaikan bunga kantan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here