Oleh NAFSIAH JANI
BUNGA kantan selain enak dijadikan ulam-ulaman, ia juga menjadi pembangkit aroma dalam kuah laksa, nasi kerabu, asam pedas, tomyam dan lain-lain masakan.
Selain menjadi penambah rasa, bunga kantan juga mempunyai pelbagai khasiat dan kebaikan yang tersembunyi.
Bunga kantan berasal dari pokok kantan yang secara saintifiknya dikenali sebagai Etlingera Elatior atau nama inggerisnya torch ginger atau red ginger lily. Pokok kantan berasal dari keluarga yang sama dengan pokok lengkuas dan halia.
Bunga kantan juga kaya dengan pelbagai nutrien dan sebatian bioaktif yang dapat memberikan pelbagai manfaat kesihatan kepada orang yang mengamalkannnya sebagai makanan harian.
Ia juga dipercayai mempunyai ciri-ciri antioksidan, antikanser, antibakteria dan sitotoksik. Untuk mengetahui khasiatnya mari kita kaji satu persatu kebaikan bunga kantan ini.
1. Kaya dengan antioksidan:
Menurut kajian dalam Journal of Food Science and Technology 2017, mendapati bunga kantan mempunyai antioksidan yang kuat dan tinggi serta dapat membantu melawan
radikal bebas dalam tubuh badan manusia. Antioksidan yang tinggi, penting untuk mencegah atau melambatkan kerosakan sel dalam badan yang disebabkan oleh radikal bebas. Radikal bebas terhasil apabila seseorang bersenam dan ketika badan menukarkan
makanan kepada tenaga.
Antioksidan dalam bunga kantan juga dapat melindungi jantung dan saluran darah daripada kerosakan radikal bebas. Ia membantu mencegah pembentukan plak dalam arteri iaitu satu proses yang boleh membawa kepada penyakit jantung koronari.
2. Bersifat Antikanser:
Kajian yang dijalankan Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati bunga kantan berpotensi merawat kanser. Kajian turut menunjukkan kesan sitotoksisiti (cyctotoxicity)
terhadap sel kanser yang diuji. Sitotoksin adalah bahan atau proses yang boleh membunuh sel atau menyebabkan kematian sel. Dalam kajian tersebut dilihat bunga kantan berpotensi sebagai agen antitumor yang boleh membunuh atau mencegah sel kanser dari terus merebak.
Beberapa kajian awal menunjukkan bunga kantan berpotensi sebagai agen anti-kanser disebabkan kandungan sebatian fitokimia seperti quercetin dan luteolin yang terdapat di dalamnya.
3. Bersifat Antibakteria:
Kajian terbitan 2015 mendapati bunga kantan menunjukkan sifat antibakterianya terhadap beberapa jenis bakteria iaitu Staphylococcus, Aureus, Bacillus Subtilis,
Listeria Monocytogenes, Escherichia Coli, Salmonella Typhimurium dan Pseudomonas
Aeruginosa. Bakteria-bakteria ini boleh menyebabkan jangkitan pada kulit, jangkitan dalam usus, keracunan makanan dan jangkitan pada saluran kencing serta pernafasan.
Kandungan sebatian flavonoid dalam bunga ini yang dikenali sebagai kuersetin dan sifat antibakteria yang ada dalam bunga kantan dapat membantu menggurangkan keradangan dan tekanan darah.
4. Menguatkan sistem imun tubuh badan:
Bunga kantan kaya dengan vitamin C dan antioksidan penting bagi membantu melindungi
tubuh daripada penyakit dan melawan jangkitan. Vitamin C membantu dalam pembentukan kolagen, protein yang penting untuk kesihatan kulit, rambut, dan kuku.
5. Mengatasi masalah telinga berair:
Selain bunga, buah bunga kantan juga cukup berkhasiat untuk mengubati sakit telinga
dan membersihkan luka. Sakit telinga berair boleh dirawat dengan menggunakan air rebusan buah kantan. Rebus buah kantan selama beberapa minit, air rebusan perlu
dititikkan ke dalam telinga. Jika diamalkan selalu, ia bukan saja melegakan kesakitan akibat telinga bengkak malah boleh mengatasi masalah telinga berair.
6. Hilangkan bau badan wanita bersalin:
Selalunya wanita yang bersalin menghadapi masalah badan berbau hanyir disebabkan darah yang terlalu banyak dikeluarkan tubuh badan. Bagi mengatasi masalah ini
ambil beberapa bahagian batang pokok kantan yang segar. Bahagian-bahagian tersebut dipotong kecil-kecil dan ditumbuk sehingga lumat. Rebus bahan yang ditumbuk
sehingga mendidih. Apabila air telah sejuk, gunakan air tersebut sebagai air mandian.
Selamat mencuba.
7. Membantu melancarkan masalah penghadaman:
Sebatian aktif dalam bunga kantan dapat merangsang peristalsis yang membolehkan makanan bergerak dan membantu melancarkan sistem penghadaman serta mengatasi masalah sembelit.
Jom! Apa tunggu lagi. Mari kita amalkan penggunaan buah, daun dan bunga kantan dalam masakan dan kehidupan seharian kita. Agar kita sentiasa sihat, awet muda dan kekal bertenaga setiap masa.
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.