Oleh : Syed Wafa
Sebenarnya ramai teman yang hubungi dan mesej Wafa (penulis) untuk berkongsikan cerita dan pengalaman ketika saya mengajar seorang insan hebat, Yang Berhormat (YB) Fahmi Fadzil yang kini sebagai Menteri Komunikasi Malaysia yang disegani. Sempena Hari Guru ini, akhirnya saya terbuka hati untuk berkongsi pengalaman yang hampir tiga puluh tahun menjadi pengalaman indah saya bergelar seorang guru.
Setelah saya menamatkan pengajian saya di Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK) yang kini dikenali Institut Perguruan Ilmu Khas (IPIK), saya terus ditugaskan untuk mengajar di sebuah sekolah yang banyak menepatkan anak-anak menteri ketika itu iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara,Kuala Lumpur
Ketika itu saya amat berbangga berpeluang mendidik anak Tun Mahathir, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Mahiaddin Yasin dan ramai lagi. Di sinilah juga saya berpeluang mengajar seorang murid yang pintar dan cergas yang bernama Fahmi Fadzil.
Banyak kenangan yang tidak dapat saya lupakan ketika mengajar anak murid yang tinggi budi bahasanya. Dari bangku sekolah lagi beliau sudah ada tokoh sebagai seorang pemimpin di mana telah dilantik sebagai seorang pengawas sekolah yang begitu berdedikasi.
Ketika saya ditugaskan untuk membuat pementasan teater untuk satu majlis di sekolah, saya agak sukar untuk mencari seorang watak utama kerana anak-anak murid lelaki agak malu dan tidak berbakat ketika itu. Akhirnya Fahmi Fadzil dengan rela hati menawarkan diri dengan berani untuk memegang watak tersebut yang amat mencabar sebagai seorang anak raja dalam teater “Siti Nurlela” yang ditulis skripnya oleh saya sendiri. Teater tersebut telah berjaya dan mendapat pujian dari isteri Perdana Menteri ketika itu iaitu Tun Siti Hasmah yang turut hadir dalam majlis tersebut.
Dari sini saya lihat Fahmi Fadzil bukan sahaja mempunyai tokoh sebagai pemimpin tetapi amat berbakat dalam bidang seni. Beliau juga amat disegani oleh guru-guru dan pelajar-pelajar ketika itu.
Saya tidak pernah lupa, ketika sambutan hari guru juga Fahmi Fadzil kerap memberi saya hadiah sebagai tanda penghargaan dan penghormatan buat guru yang mengajar beliau. Itulah antara sikap mulia beliau yang tidak pernah saya lupakan dan sehingga kini saya amat hargainya.
Setelah hampir tiga puluh tahun saya tidak pernah bertemu beliau akhirnya kami berpeluang bertemu dalam sebuah majlis iaitu Ziarah Seni Madani FINAS di rumah penyanyi legenda Zaiton Sameon yang terletak di Bukit Indah, Ampang. Itulah pertemuan yang begitu bersejarah dan bermakna bagi kami.
Setelah sekian lama saya berhenti dari dunia pendidikan dan terlibat dalam dunia kewartawanan iaitu sebagai wartawan hiburan, saya tidak pernah berpeluang bertemu Fahmi Fadzil yang ketika itu aktif dalam dunia seni dan turut berlakon sebagai pelakon pembantu dalam drama bersiri “Gol & Gincu” malah berbakat dalam penulisan skrip di mana filem seram tempatan “Histeria” yang ditayangkan pada tahun 2008, skripnya ditulis oleh beliau.
Ketika pertemuan bersejarah ini, saya agak terharu kerana yang berdiri di hadapan saya adalah seorang anak murid yang saya sayangi satu masa dulu dan kini dia seoarang menteri yang dihormati dan disanjungi.
“Terima kasih cikgu kerana pernah mendidik saya dan saya akan kenang sampai bila-bila,” ucap beliau kepada saya.
“Paling saya tidak lupa cikgu seorang yang garang dan tegas tetapi cikgu seorang yang penyayang,” kata Fahmi Fadzil lagi sambil tersenyum.
Perkembangan kerjaya politk Fahmi Fadzil yang kini berkhidmat sebagai ahli kabinet Perdana Menteri Malaysia ke-10, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan memegang Portfolio sebagai Menteri Komunikasi Malaysia dan Ahli Parlimen Lembah Pantai. Pada peringkat parti, beliau memegang jawatan sebagai Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat.
Dari segi pendidikan Fahmi Fadzil memegang ijazah sarjana muda kejuruteraan kimia (BSChE) dari Purdue University, Indiana, Amerika Syarikat.
Sebelum menyertai Parti Keadilan Rakyat pada tahun 2010, Fahmi Fadzil juga seorang penulis skrip, pelakon dan seorang pemenang teater yang memenangi anugerah dan sebagai seorang pelakon serta pernah berlakon dalam drama bersiri “Gol & Gincu” dan menjadi hos untuk “The Fair Current Show”.
Membanggakan beliau juga terlibat secara aktif dalam aktiviti kemasyarakatan yang menjadi sebahagian daripada Projek Seni Masyarakat Taman Medan pada tahun 2012 yang berkaitan dengan menangani ketegangan kaum di kalangan generasi muda melalui seni persembahan dan visual
Mendirikan rumahtangga bersama Myra Mahyuddin dan dikurniakan dua orang anak yang comel.
Cikgu (penulis) bersama pembaca Ladybosz sentiasa mendoakan semoga anak murid yang cikgu sayang, YB Fahmi Fadzil sentiasa dirahmati Allah SWT…Amin
SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.