Rosyam Nor pelakon dan penerbit yang berkaliber.

Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Datuk Rosyam Nor/koleksi Syed Wafa

Walaupun tidak mempunyai anak lelaki yang diharapkan dapat meneruskan legasi perniagaannya, namun pelakon dan penerbit popular Datuk Rosyam Nor berbangga kerana ada juga anak perempuannya yang berminat untuk meneruskan legasi perniagaan, Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd yang aktif menerbitkan drama, rancangan televisyen dan filem

“Sehingga hari ini tak ada bayang-bayang yang anak-anak saya akan menurut jejak langkah saya jadi pelakon. Namun saya gembira kerana anak ketiga saya, Nurlisa dah bersama saya dalam Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. Nampaknya ada jugalah anak yang akan meneruskan legasi perniagaan saya ini,’’ kata Rosyam sambil ketawa.

Mengenai dunia lakonan pula, Rosyam Nor atau nama sebenarnya, Mohamed Noor Shamsuddin, 57, yang masih menerima tawaran berlakon sehingga ke hari ini menambah, dia akan terus berlakon sampai bila-bila selagi khidmatnya diperlukan.

Filem Perempuan, Isteri & …..? gandingan mantap Rosyam dan Sofea Jane yang telah menaikkan nama Rosyam sebagai hero.

“Selagi ada kudrat, saya boleh berdiri dan bernafas, saya akan terus berlakon. Tapi saya harap dalam keadaan usia begini, harapnya karyawan diluar sana dapat menilai kebolehan dan kudrat saya untuk diberikan watak yang bersesuaian.

“Saya pun tak risau sangat sebab sekarang dah ada teknikal-teknikal dan teknologi moden yang boleh menjadikan pelakon berusia boleh dijadikan nampak hebat di layar perak. Itu yang saya tengah perjuangkan sekarang ini. Di negara barat dah jadi kebiasaan di mana pelakon berusia tetap diberikan watak hero dan saya harap industri seni di Malaysia juga akan jadikan ini satu kebiasaan. Saya menyeru agar karyawan-karyawan baru dapat memberi kami, orang lama peluang untuk bersama-sama mereka memeriahkan industri lakonan.”

Walaupun telah berlakon puluhan buah filem, rupanya Rosyam pelakon KL Menjerit, Kl Special Force dan Kala Malam Bulan Mengambang ini masih ada lagi impian lakonannya yang belum kesampaian.

Rosyam bergandingan dengan Lydiawati dalam filem Suami, Isteri dan ……? pada tahun 1996.

“Dah banyak drama dan filem saya buat, namun masih ada impian saya yang tak tercapai lagi. Saya teringin sangat nak berlakon action komedi dan harap sesiapa yang dengar impian saya ini, dapat jadikan impian saya ini sebagai sebuah kenyataan.

“Selain itu, impian saya yang paling besar ialah terus bertahan dan kekalkan brand nama, Rosyam Nor dalam pasaran. Itulah impian besar saya dan harapnya ia jadi kenyataan dan saya juga berharap impian ini dapat diikuti pelakon-pelakon lain,’’ kata anak keempat daripada enam beradik ini yang tidak berminat untuk menubuhkan akademi lakonan dibawah jenamanya.

Pada April 2016, Rosyam juga pernah menerbitkan buku autobiografinya, Impian Jutawan Budak Setinggan yang diterbitkan oleh Suhan Publications, anak syarikat Suhan Movies & Trading. Buku autobiografi ini mengisahkan kesulitan yang dihadapi oleh Rosyam sehingga berjaya. Sebanyak 40% kisah kehidupan peribadinya dimuatkan dalam buku ini

Kata Rosyam pelakon KL Gangster 2 ini lagi, kini dia lihat di media sosial ramai yang berbakat untuk menjadi pelakon.

“Nak jadi pelakon tak boleh ada sifat malu dan mereka juga kena ada sifat berani. Sifat itu yang akan menjadikan seseorang itu berjaya. Selain itu seorang pelakon yang bagus juga perlu mempunyai pengetahuan yang besar tentang kehidupan. Pengetahuan luas ini yang akan menjadikan mereka seorang pelakon yang bagus dan berkarisma.”

Gaya macho seorang hero…Rosyam dalam filem KL Special Force.

Hampir enam tahun beroperasi, rangkaian pasar raya terkemuka ST Rosyam Mart terus mengembangkan perniagaan mereka dengan pembukaan besar-besaran cawangan ke-6 di Semenyih, Selangor. Kehebatan Rosyam sebagai usahawan juga telah menarik minat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melantiknya sebagai Duta Keusahawanan PKNS, pada 1 Dis 2023.

Kehebatannya dan auranya yang tersendiri membolehkan Rosyam dilantik menjadi duta syarikat travel umrah Ikhlasdotcom iaitu anak syarikat Air Asia. , Bulan Disember ini Rosyam akan membawa 365 jemaah menunaikan umrah bersamanya.

Pada 11 Oktober 2013, Rosyam dikurniakan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk bersempena dengan Hari Keputeraan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob.

Sepanjang pembabitannya sebagai pelakon, 2016, Rosyam juga terlibat dengan penggambaran filem Tamil, Kabali bergandingan dengan Rajinikanth. Walaupun dialognya tak banyak namun Rosyam berbangga dengan lakonannya yang menampilkan wajah ganasnya sebagai anggota kumpulan samseng Geng 43. Tahun 2021 pula Rosyam dilamar membintangi filem Hong Kong bertajuk G Storm bergandingan dengan pelakon hebat seperti Louis Koo, Kevin Cheng, Julian Cheung dan Wu Zun.

Bakal muncul dalam filem Memoir Seorang Guru akan ditayangkan di pawagam pada 30 mei ini.

Berdasarkan bakat dan kehebatannya sebagai pengarah dan pelakon, Rosyam banyak mengondol lebih 20 anugerah antaranya Pelakon Lelaki TV Terbaik di Anugerah Sri Angkasa 2000. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik ke-44 menerusi filem Lenjan dan dalam Festival Filem Malaysia ke 14 (FFM14) menerusi filem Bara pada tahun 1999. Anugerah FFM16 Pelakon Lelaki Terbaik dalam filem KL Menjerit pada 2003.

Melalui filem Pontianak Harum Sundal Malam, Rosyam juga dinobatkan sebagai pelakon Pembantu Lelaki Terbaik FFM-17 2004. Dalam FFM-21, Rosyam dipilih memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dalam filem Kala Malam Bulan Mengambang dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dalam filem KL Gangster 2, FFM28 pada tahun 2013. KL Gangster 2.

Sepanjang pembabitannya dalam industri seni berpuluh kali Rosyam memenangi anugerah Pelakon Drama TV Lelaki Popular, Pelakon Filem Lelaki Popular, Pelakon Pembantu Terbaik dan Bintang Paling Popular. Kemenangan tersebut dalam Festival Filem, Anugerah Skrin dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).

Kejayaannya merangkul banyak anugerah membuatkan Rosyam telah menerima pengiktirafan sebagai Pelakon Yang Paling Banyak Menerima Anugerah daripada The Malaysia Book Of Records (MBOR).

Kini Rosyam bahagia bersama isterinya, Datin Runika Mohd Yusoff yang dikahwininya pada tahun 1989 dan lima orang anak perempuan iaitu Arniesha Azureen, 34, Nur Anis, 31, Nurlisa, 27, Syadira, 22, dan Zarith Maryam,21.

Rosyam (dua dari kanan) bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (lima dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Wan Munadi Wan Mamat (dua dari kiri) selepas majlis pra tonton filem Memoir Seorang Guru di Finas baru-baru ini.

Rosyam berdebar tunggu 30 Mei

Pada usia sudah memasuki separuh abad, Rosyam masih ditawarkan watak utama. Lebih mengujakan, karakter yang digalas kali ini agak berlainan, iaitu pertama kali memikul tanggungjawab sebagai cikgu dalam filem, Memoir Seorang Guru.

Walaupun telah banyak membintangi filem namun debaran menunggu reaksi peminat terhadap lakonannya dalam filem Memoir Seorang Guru turut membuatkan Rosyam berdebar-debar.

“Saya bersyukur pada usia 57 tahun masih ada produksi bagi saya peranan utama. 30 Mei ini filem ini akan ditayangkan. Harapnya peminat dapat menerima lakonan saya. Saya juga harap semua guru-guru diluar sana dan pernah menjadi anak murid datanglah beramai-ramai ke pawagam untuk menyokong filem ini kerana ini adalah pertama kali filem sebegini diangkat kelayar perak.

Nantikan lakonan mantap Rosyam sebagai guru dalam filem Memoir Seorang Guru.

“Berlakon ini memerlukan pendampig-pendamping yang hebat. Pendamping-pendamping yang hebat inilah yang akan menjadikan lakonan kita lagi mantap dan kita juga dapat beraksi dengan hebat. Walaupun budak-budak itu kecil namun mereka memiliki bakat yang luar biasa kerana mereka dipilih daripada beberapa puluh orang yang menghadiri sesi uji bakat,’’ kata Rosyam yang tengah menunggu filem terbarunya, Original Gangster.

Syarikat produksi Kalam Ariff Holdings Sdn Bhd (KAHSB) menjalinkan kerjasama dengan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) menerbitkan filem Memoir Seorang Guru yang diadaptasi daripada karya novelis terkenal, Allahyarham Azizi Abdullah yang sarat dengan mesej positif seterusnya memupuk kasih sayang terhadap para pendidik.

Walaupun hanya sebagai berlakon dalam filem Memoir Seorang Guru, Rosyam tetap tidak lokek berkongsi idea dengan pengarah Kyoll Hamzah (dua dari kanan).

Filem arahan Kyoll Hamzah ini menampilkan beberapa pelakon hebat antaranya Datuk Rosyam Nor sebagai teraju utama serta pelakon Ellie Suriaty, Zul Huzaimy, Nabila Huda, Johan Asa’ri, Trisha Ooi dan ramai lagi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), Datuk Wan Munadi Wan Mamat, sekuel yang dihasilkan khas bagi mengangkat martabat profesion perguruan hasil kerjasama bersama KAHSB.

“Perjuangan seorang guru umpama wira yang tidak didendang kerana mereka menggalas tanggungjawab mendidik anak bangsa sejak kecil hingga dewasa. YGMB turut berharap Memoir Seorang Guru ini dapat meraih tontonan tinggi, malah mampu menyuntik lebih banyak lagi penerbitan sekuel sebegini dari kalangan penggiat seni.

Gaya seorang hero Malaysia yang berjaya menempa nama hingga ke peringkat antarabangsa.

“Justeru peluang untuk mengetengahkan peranan guru dalam bentuk visual seperti penerbitan filem ini adalah bertepatan serta sesuai dengan usaha kami dalam mengeratkan hubungan warga pendidik dengan masyarakat masa kini,” katanya ketika ditemui pada majlis pra tonton filem tersebut di Finas baru-baru ini.

Previous articleImpian Siti Nordiana terlaksana selepas 25 tahun
Next articlePes Gulai Dan Sambal Cendawan Shitake Rasa Rosz Melazatkan “Crispy Buttermilk Chicken”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here