Ahmad Idham pengarah hebat masa kini.

Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Ahmad Idham/Koleksi Syed Wafa

Bagi sesetengah orang menganggap bila seorang pelakon sudah mencapai level pengarah dan produser sudah pasti harganya mahal. Bukan itu saja, kalau dah jadi pengarah dan penerbit, sudah pasti seseorang itu tidak minat berlakon lagi.

Tapi ini tidak kepada pelakon, pengarah, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri,50, bukan kerana dirinya tidak `laku’ namun semangatnya lebih pada dunia lakonan membuatkan dia masih ternanti-nanti tawaran berlakon tak kira drama mahupun filem.

Ahmad Idham bergandingan dengan Haliza Misbun dalam drama “Cinderella” yang begitu mendapat sambutan satu masa dulu

“Nak ikut saya memang sibuk mengarah filem tapi dalam kesibukan itu, saya memang teringin orang panggil saya berlakon. Dah nama pelakon pasti rindukan dunia lakonan juga. Macam tahun lepas, saya berlakon dalam drama Bukan Sekadar Lafaz membawa watak Tuan Zaman…watak saya `meletup’

“Saya masih boleh berlakon. Tapi tak ramai yang panggil saya berlakon. Mungkin orang anggap saya dah level lain. Kalau nak tahu` passion’ saya sebagai pelakon tidak pernah pudar. Cuma saya minta, kalau nak bagi tawaran dan watak itu janganlah hanya watak tempelan je…harga boleh bincang.

Ahmad Idham dalam drama “Anaknya Sazali”.
Drama Kamasutra antara drama lakonan Ahmad Idham.

“Sekarang harga dah duduk tempat kedua pada saya. Kini saya berlakon bukan lagi nak tengok harga yang diberi kerana harga dah jatuh tempat kedua. Kalau saya nak meniaga lebih baik jadi pengarah. Tapi produser kenalah faham…tak kan mereka nak bagi bayaran RM500 sehari macam sesetengah pelakon tu…memang merepek la,’’ kata anak sulong daripada lima beradik ini sambil ketawa.

Ahmad Idham menambah, dia tidak suka berlakon dalam drama atau filem yang dia terbit atau arahkan sendiri.

“Mr Cinderella” filem Ahmad Idham pada 2017.
Ahmad Idham ( kanan sekali ) ketika di lokasi filem Reeza gandingan Aliff Satar dan Sophia Al Barakbah.

“Mungkin orang dah tengok level saya dalam industri seni sudah terlalu tinggi, sedangkan saya orang biasa saja…gelaran datuk pun tak ada lagi …apa pun tak ada. Kalau rindu sangat nak berlakon, saya boleh saja berlakon dalam drama atau filem yang saya sendiri mengarah. Tapi saya tak suka…sebab susah nak fokus buat dua kerja dalam satu masa.

“Ialah bila berlakon dalam drama atau filem yang kita buat, kadang kita tak nampak apa yang kita buat atau lakonkan. Saya takut, sebab saya pernah mengarah dan berlakon juga. Akhirnya saya sendiri yang tak puas hati dengan lakonan saya…seperti dalam Damping Malam,’’ kataya yang mula mencipta nama menerusi drama bersiri popular Cinta Antara Benua serta Cinderella.

Nampaknya comeback Ahmad Idham kali ini menjadi melalui filem arahannya, Anak perjanjian Syaitan 2 yang berjaya mencapai kutipan 3.5 juta sewaktu ditayangkan baru-baru ini

Comeback Ahmad Idham sebagai pengarah menjadi…Filem Anak Perjanjian Syaitan 2 berjaya mengutip 3.5 juta.

“Waktu itu saya rasa…wow dah lama tak rasa perasaan seronok begitu bila filem dapat sambutan. Ibaratnya, kali ini comeback saya menjadi. 27 Jun ini filem kedua saya, yang berunsur seram komedi iaitu Saka Perawan akan ditayangkan di seluruh pawagam. Filem ini menampilkan lebih 20 orang pelakon popular dan pelakon legend.

“Selepas itu tunggukan filem ketiga saya terbitan Grand Brilliance Sdn. Bhd. dan Primeworks Studio Sdn. Bhd. pula, Reeza filem action romantik komedi…gandingan Aliff Satar dan Sophia Al Barakbah. Filem ini dah siap sebelum bulan puasa lagi dimana kami menjalani penggambaran di lima buah negeri di Semenanjung tanah air,’’ ujar Ahmad Idham lagi.

Rindu nak berlakon…Ahmad Idham.

Seperti pasangan lain, Ahmad Idham dan isteri juga diuji dengan kehadiran anak sulong, Ahmad Firdaus seorang anak istimewa. Ketika usianya dua tahun, Firdaus diserang sawan dan doktor mengesahkan dia mengalami focal encephalitis sehingga mengalami kesukaran berjalan dan bertutur.

Namun berkat kesabaran Idham bersama isterinya, kini mereka boleh berbangga kerana anaknya telah menunjukkan perkembangan positif dan sudah mampu berjalan pada tahun 2022.

Ahmad Idham pelakon dan pengarah versatile.

Dalam kesibukannya dengan industri seni dan kerja-kerja NGO, Idham masih sempat membantu isterinya menguruskan Eden Firdaus Special Need Centre yang beroperasi di Encorp Strand Mall, Kota Damansara. Idham juga boleh berbangga dengan kejayaannya menggenggam Ijazah Kedoktoran Pengurusan (PhD) dalam Majlis Konvokesyen Ke-34, Universiti Utara Malaysia (UUM) 2022.

Sebagai anak seni, kehebatannya dalam industri seni telah membolehkan Ahmad Idham dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS- 11 Mac 2019) dan Setiausaha Kebudayaan di Kementerian Luar Negeri serta pernah menjadi calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) bagi kerusi Parlimen Port Dickson dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sepanjang pembabitannya dalan bidang seni Ahmad Idham pernah menerima Anugerah Artis Baru popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 1997/98), Pelakon TV Lelaki popular (ABPBH 1999), Pengarah Terbaik (Telefilem) dalam Anugerah Skrin 2003 dan Pengarah Harapan dalam Festival Filem Malaysia ke 16.

Idham kini bahagia bersama isterinya, Jameah Aziz serta empat cahaya mata iaitu Ahmad Firdaus , 24, Ahmad Aydeel, 20, Kintan Myra, 18, dan Ahmad Khaliff, 14.

Gaya korporat Ahmad Idham.

Idham sibuk mengarah

Idham yang baru selesai dengan filem Anak Perjanjian Syaitan 2 juga tidak mahu melepaskan peluang mengarah drama terbarunya berkisar mengenai penjara yang diinspirasikan daripada kisah benar.

Kata Ahmad Idham, perkara ini merupakan peluang baginya kerana isu berkaitan penjara kurang ditayangkan di stesen-stesen televisyen.
Malah, dia turut merasakan topik tersebut sangat unik kerana mengetengahkan kisah hidup seorang banduan serta warden penjara yang menjaga mereka sepanjang menjalani hukuman di penjara.

“Sebelum ini kisah tentang penjara begitu kurang sekali. Jadi bila dapat peluang saya ambillah, sebab bagi saya cerita pasal penjara ini banyak yang menariknya. Saya boleh main emosi, dramatik dan cantik. Cerita yang akan saya paparkan nanti adalah cerita benar tapi tak akan dedahkan perkara ni secara terang-terangan…baru unik.

Keluarga bahagia Ahmad Idham.

“Jadi, kadang-kadang orang tak perasan bahawa peranan warden penjara akan dibawa sampai keluar. Sebab orang tu akan keluar, hari-hari menghadap mereka. Kalau polis, belum tentu dia ingat orang tu,” katanya.

Cerita ini nanti mengangkat kisah seorang banduan wanita yang melahirkan anak dalam penjara di mana pada akhirnya anak tersebut akan dijaga oleh seorang warden penjara.
Walau bagaimanapun, Ahmad Idham berkata isu ini akan menjadi konflik apabila terdapat sentimen negatif daripada masyarakat terhadap penerimaan anak banduan dalam menjalani kehidupan normal.

“Sebab nak jaga anak banduan ini sentimen masyarakat kadang menjadi penghalang. Perkara yang ingin saya ketengahkan bahawa budak itu tak bersalah, kalau nak jaga dia kena ada perasaan berperikemanusiaan bukan kerana anak kepada banduan,” jelasnya mengenai drama yang mendapat kerjasama Jabatan Penjara dan Yayasan Koreksional Malaysia ini.

Previous articleVanidah Imran terus berlakon tanpa abaikan tanggungjawab
Next articleSetiap Kebaikan Akan Dibalas Kebaikan Oleh Allah SWT!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here