Oleh: Nury Kadir
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda:
إِنَّ أُمَّتِي يُدْعَوْنَ يَوْمَ القِيَامَةِ غُرًّا مُحَجَّلِينَ مِنْ آثَارِ الوُضُوءِ، فَمَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يُطِيلَ غُرَّتَهُ فَلْيَفْعَلْ
Maksudnya: “Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari Kiamat dengan dahi, tangan dan kaki yang berseri-seri disebabkan daripada kesan-kesan wuduk. Barangsiapa yang mampu daripada kalangan kamu untuk melebihkan dahinya maka lakukanlah ia.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Ini adalah petikan artikel yang diambil daripada www.muftiwp.gov.my. mengenai hadis yang disebutkan di atas. Menurut Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis tersebut, “الْغُرَّةُ” bermakna warna putih yang pada dahi kuda dan “التَّحْجِيلُ” pula adalah warna putih yang terdapat pada tangan dan kakinya. Adapun para ulama menafsirkannya dengan cahaya yang muncul pada anggota-anggota wuduk di hari Kiamat sepertimana warna putih yang terdapat pada kuda.
Imam al-Nawawi meletakkan hadis ini pada bab melebihkan basuhan wuduk di kepala, tangan dan kaki. Hal ini juga, dinyatakan oleh Imam al-San’ani di dalam Subul al-Salam, hadis ini merupakan salah satu dalil yang menunjukkan tuntutan agar melebihkan basuhan kepala, tangan dan kaki ketika berwuduk.
Manakala Syeikh Mustafa al-Bugha berkata ketika memberi komentar terhadap hadis ini di dalam Sahih al-Bukhari bahawa makna hadis ini adalah cahaya akan terpancar daripada wajah-wajah, tangan-tangan dan kaki-kaki mereka pada hari Kiamat. Ini merupakan di antara kelebihan-kelebihan yang diberikan terhadap umat ini iaitu Allah SWT menjadikan kelebihan-kelebihan tersebut sebagai penyaksian ke atas manusia.
Makruh lebih tiga kali
Pun begitu, Imam al-Nawawi juga menyatakan bahawa para ulama telah bersepakat dalam menyatakan makruh membasuh anggota wuduk lebih daripada tiga kali kerana terdapat hadis yang jelas melarang hal tersebut.
Di dalam hadis riwayat al-Nasaie, Abdullah bin Amr ada menceritakan; Maksudnya: “Seorang Arab Badwi telah datang bertemu Nabi SAW, bertanyakan mengenai (cara) wuduk? Baginda telah mengajarkannya supaya berwuduk dengan tiga kali basuhan (bagi setiap anggota). Kemudian, baginda bersabda: “Beginilah cara berwuduk (yang benar), sesiapa yang menambah daripada ini (melebihi 3 kali basuhan), maka dia telah melakukan keburukan, melampaui batas dan berlaku zalim.”
Para ulama menyatakan bahawa membasuh anggota wuduk melebihi tiga kali adalah makruh hukumnya. Dalam hal ini, Imam al-Nawawi ada menyebutkan di dalam al-Minhaj Syarh Sahih Muslim; “Para ulama telah bersepakat (Ijma’) bahawa hukumnya adalah makruh (membasuh anggota wuduk) melebihi tiga kali. Dan, yang dimaksudkan dengan tiga kali basuhan tersebut ialah aliran air yang mengenai seluruh anggota. Adapun, jika tidak dapat mengalirkan air (membasuh) ke seluruh anggota melainkan dengan dua kali siraman. Maka, dua kali siraman itu, baru dikira satu kali basuhan.”
Malah Imam Syafie juga ada menyebutkan mengenai perkara ini di dalam kitabnya, al-Umm; “Dan aku tidak suka bagi seseorang yang berwuduk untuk menambah (dalam basuhannya) melebihi tiga kali. Akan tetapi, sekiranya dia menambah (melebihi), aku tidak memakruhkannya.”
Imam al-Nawawi menerangkan bahawa maksud perkataan Imam Syafie ‘tidak memakruhkannya’ di atas ialah ‘tidak mengharamkannya’. Begitu juga, dengan kenyataan Imam Syafie yang lain menyebutkan bahawa beliau tidak suka jika seseorang melebihi tiga kali basuhan (ketika berwuduk), akan tetapi sekiranya dia buat, perkara tersebut tidak memudaratkannya iaitu tidak berdosa. Ini menunjukkan bahawa perbuatan melebihi tiga kali basuhan bagi setiap anggota ketika berwuduk adalah makruh namun tidak membatalkan wuduknya selagi mana air diratakan ke seluruh anggota wuduk dengan sempurna. (dipetik daripada beberapa artikel www.muftiwp.gov.my)

Memperelokkan wuduk
Itu tandanya Islam amat mementingkan kesederhanaan dan membenci pembaziran. Meski dalam soal wuduk yang wajib itu pun, Rasulullah SAW mengingatkan umatnya agar tidak berlebihan. Perhatikan hadis ini di mana Rasulullah SAW menegur sahabat yang berlebihan dalam menggunakan air untuk tujuan wuduk.
Hadis daripada Abdullah Ibn Amru bin Al Ash R.A, beliau berkata: Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW lalu di suatu kawasan dan melihat Sa’ad sedang berwuduk, lalu Baginda SAW bersabda: “Kenapakah israf (berlebihan) ini?” Maka Sa’ad menjawab: “Adakah pada wuduk juga terdapat israf?” Lalu Baginda menjawab: “Ya, sekalipun kamu berada di sungai yang mengalir.” (HR Ibn Majah)
Yang penting bukan banyaknya air tetapi memperelokkan wuduk itu jauh lebih baik. Ini kerana Rasulullah SAW sendiri menyuruh umatnya supaya memperelokkan wuduk dan menjanjikan bahawa sesiapa yang memperelokkannya maka akan keluarlah dosa-dosanya sehingga keluar juga dari celah-celah kuku.
Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Barangsiapa yang mengambil wuduk kemudian memperelokkan wuduknya, maka akan keluarlah dosa-dosanya daripada badannya, sehingga keluar juga dosa-dosa tersebut daripada kuku-kukunya.” (HR Muslim)
Dalam masa yang sama Rasulullah SAW juga memberi ancaman kepada golongan yang tidak melaksanakan wuduk dengan betul dan bersikap sambil lewa. Baginda SAW bersabda: Maksudnya: “Nabi SAW pernah terlewat menyertai kami dalam suatu perjalanan yang kami lakukan. Ketika Baginda menyusuli kami, waktu solat sudah hampir habis. Kami lalu berwuduk dengan hanya mengusap kaki kami (tidak sempurna membasuhnya). Maka Nabi SAW menyeru dengan suara yang keras: “Celakalah bagi tumit-tumit yang tidak basah akan masuk neraka.” Baginda menyeru hingga dua atau tiga kali. (HR al-Bukhari)
Manakala mengikut lafaz dalam Sahih Muslim, Abdullah bin ‘Amr RA berkata: Maksudnya: “Kami pulang bersama Rasulullah SAW dari Mekah menuju Madinah. Di tengah perjalanan, kami tiba di suatu tempat yang terdapat air. Sebahagian orang tergesa-gesa berwuduk kerana takut waktu Asar akan habis. Ketika kami menghampiri mereka, kami melihat tumit mereka kering, tidak disentuh oleh air. Lalu Nabi SAW bersabda: “Celakalah tumit-tumit (yang tidak terbasuh dengan air wuduk) yang akan terkena api neraka. Sempurnakanlah wuduk kamu dengan baik.” (HR Muslim)
# Ikuti sambungan artikel akan datang, adakah kita perlu sentiasa memperbaharui wuduk walaupun kita sentiasa dalam keadaan berwuduk?

NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.