Oleh SYED WAFA
Foto Koleksi Syed Wafa

APABILA sebut nama pelakon airmata pada era 1950an, pasti terbayang di mata anda Allahyarham Seniwati Neng Yatimah yang berjaya mencuri hati ribuan peminat filem Melayu ketika itu dengan lakonannya yang penuh syahdu dan meruntun jiwa.

Berilah apa watak pun kepada isteri, penyanyi Allahyarham Jasni Ahmad dan ibu kepada Allahyarham Seniwati Datin Roseyatimah, pasti beliau dapat menghayatinya dengan penuh jiwa dan berkesan di hati para peminatnya.

Itulah Neng Yatimah yang terpaksa pendam cita-citanya untuk menjadi guru kerana beliau bersekolah hanya setakat darjah lima.

KEJELITAAN Neng Yatimah amat terserlah meskipun hanya mengenakan mekap yang nipis.

Neng Yatimah yang berkahwin pada usia 18 tahun memulakan kerjayanya dalam bidang lakonan ketika berumur 19 tahun setelah mempunyai anak yang diberi nama Rosnah (Roseyatimah) daripada perkahwinannya dengan jejaka pilihan hatinya, Jasni Ahmad.

Neng Yatimah terpaksa melupakan cita-citanya untuk menjadi guru kerana ayah beliau hanya membenarkan Neng Yatimah bersekolah sehingga darjah lima di Sekolah Perempuan Melayu Rochore, Singapura.

Tetapi kalau sudah itu ketentuan-Nya tiada siapa yang dapat menghalang dan begitulah rezeki Neng Yatimah dalam bidang lakonan.

PENGARAH, S. Ramanathan (duduk) sedang memberi arahan kepada Osman Gumanti (bersongkok) dan Neng Yatimah sebelum memulakan penggambaran satu babak filem “Jiwa Lara.” Filem ini mula ditayangkan pada 30 Mac 1952.
Turut kelihatan Penolong Pengarah dan Penulis Skrip, Allahyarham Datuk Jamil Sulong (berkacamata).

Siapa sangka kerana minatnya terhadap Allahyarham Seniwati Siput Sarawak telah membuka ruang untuknya muncul sebagai seorang seniwati yang kemudiannya digelar ‘Ratu Airmata’ (Queen of Tears) yang dikagumi sehingga hari ini.

Semuanya gara-gara Neng Yatimah berkunjung ke Studio Jalan Ampas (Malay Film Production – MFP) untuk melihat penggambaran filem yang melibatkan Siput Sarawak. Kemunculannya telah menarik perhatian Allahyarham Seniman A.R Tompel yang akhirnya mempelawa Neng Yatimah berlakon.

Apabila suaminya, Jasni Ahmad mengizinkan, Neng Yatimah menjalani ujibakat di depan pengarah Tan Sri L. Krishnan. Setelah berjaya dalam ujibakat tersebut Neng Yatimah terus ditawarkan berlakon dalam filem “Takdir Illahi” (1950) arahan L. Krishnan dengan membawa watak utama sebagai Fatimah berpasangan dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

JASNI Ahmad berduet dengan Neng Yatimah dalam lagu “Sumpah Palsu” pada tahun 1950-an.

Mungkin ramai yang tidak tahu, P. Ramlee bukan sahaja terkenal sebagai pelakon dan pengarah tetapi beliau juga hebat dalam ‘mencipta’ nama untuk pelakon baru. Nama Yatimah menjadi Neng Yatimah adalah ilham P. Ramlee apabila mendapat tahu beliau berketurunan Jawa. Begitu juga beliau menukar nama anak Neng Yatimah, Rosnah Jasni yang berlakon dalam filem “Pendekar Bujang Lapok” kepada Roseyatimah kerana gabungan nama Rose dan ibunya, Yatimah.

Bermula dari “Takdir Illahi,” Neng Yatimah telah berlakon 17 lagi filem terbitan Malay Film Production (milik Shaw Brothers) antaranya “Rachun Dunia” (1950), “Bapa Saya” (1951), “Jiwa Lara” (1952), “Patah Hati” (1952), “Ibu” (1953), “Iman” (1954) “Roh Membela” (1955) dan filem terakhirnya “Batu Belah Batu Bertangkup” (1958).

Bagaimanapun setelah sembilan tahun bersama MFP, Neng Yatimah menerima notis mengejut pada 29 Disember 1959 yang mana perkhidmatannya ditamatkan!

Di zaman kegemilangannya, Neng Yatimah sering menjadi ‘Cover Girl’ majalah termasuk Majalah Fesyen pada tahun 1955.

Setelah itu, Neng Yatimah berhijrah ke Cathay Keris. Bersama Cathay beliau membintangi lima filem “Laila Satria, Sri Mersing (1961), Laila Majnun (1962), Air Mata Duyung (1964) dan Jiran Sekampong” (1965) dan apa yang pasti para peminat tetap mengagumi bakat Neng Yatimah terutama dalam babak sedih yang memerlukan beliau menangis!

Mungkin ramai tertanya-tanya bagaimana begitu mudahnya beliau menangis dalam setiap babak sedih lakonan. Namun apapun persoalannya itulah bakat anugerah-Nya buat insan seni bernama Neng Yatimah!

Tetapi sebenarnya pada zaman remaja ketika Singapura dijajah Jepun sekitar tahun 1942, tentera Jepun sering berkeliaran mencari mangsa terutama anak gadis. Neng Yatimah hampir menjadi mangsa kerakusan tentera Jepun.

DALAM kenangan…keluarga bahagia, Jasni Ahmad bersama isteri, Neng Yatimah dan anak tunggal mereka, Roseyatimah.

Bagaimanapun nasib menyebelahi Neng Yatimah apabila jejaka keturunan Bawean iaitu Jasni Ahmad yang tidak disukai bapanya telah menyelamatkan Neng Yatimah dengan mengatakan beliau bukan gadis tetapi adalah isterinya. Rayuan dan keberanian Jasni bertemu tentera Jepun akhirnya Neng Yatimah dibebaskan dari menjadi mangsa nafsu buas tentera Jepun.

Peristiwa itu berlaku dalam sekelip mata dan Neng Yatimah amat bersyukur dan disebabkan itu bapanya merestui hubungan mereka. Neng Yatimah berkahwin dengan Jasni Ahmad yang telah menyelamatkannya daripada kerakusan tentera Jepun!

Apakah kemungkinan peristiwa yang menggerunkan itu masih menghantui Neng Yatimah yang berjiwa sensitif sehingga membuatkan airmatanya begitu mudah mengalir ketika melakonkan babak sedih?

POSTER filem “Ibu” (1953) lakonan Neng Yatimah dan P. Ramlee. Melalui filem ini Neng Yatimah dianugerahkan Pelakon Terbaik pada Festival Filem Malaya pada tahun 1953/1954 yang berlangsung di Singapura.

KECANTIKAN asli seorang gadis kampung jelas terserlah pada wajah Neng Yatimah dalam salah satu filem lakonannya.

NENG Yatimah di zaman kegemilangannya

Setelah 15 tahun meninggalkan dunia lakonan dengan filem “Jiran Sekampong,” Neng Yatimah diundang berlakon dalam dua filem “Potret Maria” (1980) arahan Yassin Salleh dan filem terakhir lakonanya arahan Allahyarham Seniman Ahmad Mahmud iaitu “Mama Oh Mama” (1981). Filem tersebut diterbitkan oleh Ahmad Mahmud Co. Sdn. Bhd.

Sepanjang bergelar anak seni, Neng Yatimah telah menerima tiga penghargaan kerana sumbangannya pada dunia senilakon. Beliau menerima Anugerah Pelakon Veteran di Festival Filem Malaysia ke-13 (FFM13) pada tahun 1997. Pada tahun 2011, beliau menerima Anugerah Sri Temasek (AST) yang dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Sebelum itu, pada Festival Filem Malaya pada tahun 1953/1954, beliau dianugerahkan Pelakon Terbaik kerana lakonannya dalam filem “Ibu” terbitan Malay Film Production pada tahun 1953.

Dalm sebuah filem bersama anak tercinta Roseyatimah.
PASANGAN sejoli… Datuk Mustapha Maarof dan Roseyatimah.
PUSARA Mustapha Maarof bersebelahan dengan pusara isterinya, Roseyatimah di Tanah Perkuburan Islam Ampang, Kuala Lumpur.

Saya juga berkesempatan bertemu seniwati hebat ini. Kenangan bersama beliau amat saya hargai dan menjadi kenangan yang tidak dapat saya lupakan. Ketika itu saya menguruskan majlis bersama seniman dan seniwati legenda yang dianjurkan oleh Restoran Saloma di Jalan Ampang (Kini sudah tidak beroperasi) milik usahawan terkenal tanah air, Tan Sri Syed Yusof atau lebih mesra dengan panggilan Jojo.

Ketika di akhir pertemuan saya bersama seniwati Neng Yatimah iaitu sebelum beliau berangkat pulang, seniwati ini ingin mencium pipi saya sebagai tanda perpisahan untuk beliau pulang ke Singapura. Saya dapat rasakan air mata beliau mengalir di pipi saya ketika itu dan saya amat sebak dapat rasakan kasih sayang seorang ibu kepada anaknya yang tak sanggup berpisah.

PENULIS, Syed Wafa menemani Neng Yatimah menziarahi pusara anaknya, Roseyatimah di Tanah Perkuburan Islam Ampang, Kuala Lumpur.
SENIMAN dan seniwati menziarahi pusara Tan Sri P. Ramlee di Tanah Perkuburan Islam Ampang, Kuala Lumpur.
Berdiri depan: Kamaliah Latiff (anak Momo Latiff), Allahyarham Momo Latiff, Neng Yatimah, Aziz Sattar, Zaiton, Mimi Loma, Allahyarham Kassim Masdor dan Abbas Bakar dan isteri.
Berdiri di belakang: Zaini Sattar dan Syed Wafa(Penulis).

“Ibu akan sentiasa mengingati dan rindu Wafa, jika datang ke Singapura jangan lupa jumpa ibu,” itulah kata-kata akhir beliau kepada saya dan sejak itu kami tidak bertemu lagi. Tetapi momen indah bersama beliau sentiasa menjadi kenangan amat berharga dalam hidup saya.

Neng Yatimah meninggal dunia kerana sakit tua dan beberapa penyakit lain antaranya kanser usus, pada 19 Mac 2016 di Hospital Khoo Teck Phuat, Singapura.

Kenangan indah antara Neng Yatimah dengan Syed Wafa(Penulis).
CIUMAN terakhir seorang ibu, Neng Yatimah buat anak angkat kesayangannya, Syed Wafa(Penulis).

Sebelum itu, suami Allahyarham, Jasni Ahmad meninggal dunia pada tahun 1987 iaitu beberapa bulan sebelum Roseyatimah menghembuskan nafas terakhir pada 14 Disember 1987 kerana kanser payudara. Sementara itu, menantunya Datuk Mustapha Maarof meninggal dunia pada 15 Disember 2014.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang yang beriman…Amin.

 

 

Previous articleErra Fazira bicara tentang cinta dan kerjaya!
Next articleRamai pengunjung bertanya rahsia keenakan masakan Restoran Rasa Rosz di AEON Big,Wangsa Maju!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here