Oleh SYED WAFA
Foto KOLEKSI SYED WAFA

WALAUPUN sepanjang 20 tahun menceburi bidang lakonan dan telah membintangi 74 buah filem sebagai pelakon tambahan tetapi filem “Pendekar Bujang Lapok” telah meletakkan namanya di tempat paling istimewa di hati para peminat filem Melayu sejak era 1950-an.

Melakonkan watak Aini pembantu rumah Pendekar Mustar (Mustarjo) dan isterinya (Momo Latiff), meskipun masih mengekalkan beliau sebagai pelakon pembantu namun watak ‘Aini’ dalam filem berkenaan membuktikan beliau adalah pelakon tambahan yang mampu mewarnai perwatakannya dan pelakon tambahan yang cukup popular!

Filem “Pendekar Bujang Lapok” arahan dan lakonan P. Ramlee diterbitkan pada tahun 1958.
Filem terbitan Malay Film Productions turut dibintangi Aziz Sattar, S. Shamsuddin, Mustarjo, Ahmad Nesfu, Momo Latiff dan Aini Jasmin.

Filem “Pendekar Bujang Lapok” arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee terbitan Malay Film Productions pada tahun 1958, dalam satu babak yang mana sambil memegang gambar Abang Beraim (Seniman Ibrahim Pendek) Aini bertanya perasaan beliau terhadap dirinya lalu dijawab Abang Beraim (teknik superimposed) bukan sahaja telah mengejutkan Aini malah ia menerbitkan rasa lucu di hati para penonton.

Meskipun babak itu hanya seketika namun sampai hari ini, babak tersebut masih diingati betapa manjanya Aini dan ikhlasnya cinta Abang Beraim kepada cinta hatinya.

SATU babak dari filem “Pendekar Bujang Lapok” lakonan Aini Jasmin, Aziz Sattar, P. Ramlee dan S. Shamsuddin.
FILEM “Pendekar Bujang Lapok” arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee terbitan Malay Film Productions pada tahun 1958, dalam satu babak yang mana sambil memegang gambar Abang Beraim (Seniman Ibrahim Pendek) Aini bertanya perasaan beliau terhadap dirinya lalu dijawab Abang Beraim (teknik superimposed) bukan sahaja telah mengejutkan Aini malah satu babak yang lucu di hati para penonton sehingga sekarang.

Bukan itu sahaja, malah babak beliau membacakan surat daripada Cikgu Rose (Seniwati Roseyatimah) untuk tiga bujang lapok Ramlee (P. Ramlee), Sudin (S. Samsuddin) dan Ajis ( Aziz Sattar) yang tidak tahu membaca secara tidak langsung membuktikan walaupun Aini seorang pembantu rumah tetapi beliau ada ‘ilmu.’

Itulah Allahyarham Seniwati Aini Jasmin yang dilahirkan pada 25 Oktober 1923 di Jakarta, Indonesia. Bagaimanapun adalah difahamkan kelahirannya hanya didaftarkan pada 25 Oktober 1927.

AINI Jasmin…pada zaman mudanya.
DARI kanan: Mak Dara, Allahyarham Seniwati Siti Tanjong Perak, Allahyarham Seniwati Ani Jasmin dan Allahyarham Seniwati Minah Yem seniwati berbakat dalam bidang tarian

Sejak berusia belasan tahun, Aini Jasmin telah aktif di pentas bangsawan sebagai penari. Rombongan bangsawan yang beliau ikuti menjelajah di bandar-bandar besar di Sumatera dan Singapura.

Bermula dari itu, beliau mempamerkan bakatnya dalam bidang tarian dan lakonan sebagai pelakon pentas bangsawan. Beliau kemudian menyertai Shaw Brothers di Singapura dengan berlakon dalam filem-filem terbitannya pada tahun 1950-an.

Filem pertama lakonan beliau sebagai penari dalam filem “Kembar” arahan S. Ramanathan terbitan 1950.

AINI Jasmin dan Wahid Satay dalam satu babak filem “Masok Angin Keluar Asap” arahan Hussain Haniff terbitan tahun 1963.
AINI Jasmin mempunyai daya tarikan tersendiri.

Gaya lakonannya yang bersahaja serta raut wajahnya yang lucu membuatkan Aini Jasmin sering menjadi pilihan pengarah untuk membintangi filem arahan mereka.

Bermula dari itu, enam lagi filem dilakonkan pada tahun yang sama antaranya “Aloha,” “Dewi Murni,” “Pembalasan,” “Sejoli,” “Bapa Saya,” dan “Berdosa.”

Filem “Sarjan Hassan” (Sargeant Hassan) terbitan Malay Film Productions pada tahun 1958 pada mulanya diarahkan Lamberto Avellana tetapi apabila beliau tidak sempat menyiapkan filem ini, P.Ramlee mengambilalih tugas pengarah.
Selain P. Ramlee berlakon sebagai Sarjan Hassan, filem ini turut dibintangi Saadiah, Jins Samsuddin, Daeng Idris dan Aini Jasmin.
DALAM filem ‘Sergeant Hassan’ 1958

Berstatus sebagai pelakon bebas membolehkan Aini Jasmin berlakon bukan sahaja dalam filem-filem terbitan Shaw Brothers malah beliau juga berlakon filem Cathay-Keris Film.

Aini Jasmin yang berpengalaman dalam bidang lakonan diambil bekerja sebagai pelakon di Studio Jalan Ampas dengan gaji $5 sehari setelah studio itu dibuka beberapa bulan berakhirnya Perang Dunia Kedua.

Filem “Antara Dua Darjat” terbitan Studio Jalan Ampas pada tahun 1960. Selain bertindak sebagai pengarah, P. Ramlee turut membintangi filem ini bersama Saadiah, Ahmad Nesfu, Rahimah Alias, S.Shamsuddin, S. Kadarisman, Yusof Latiff dan Aini Jasmin.
DALAM filem ‘Antara Dua Darjat’ 1960

Kebanyakan watak yang diberikan kepadanya sebagai isteri, ibu, dayang istana, orang gaji dan penari.

Meskipun Aini Jasmin hanya diberi watak pelakon tambahan beliau dianggap sebagai pelakon yang produktif kerana bermula dari tahun 1950 sehingga 1969 beliau membintangi 73 filem dan beliau berehat seketika setelah membintangi filem “Sial Wanita” arahan M. Amin pada tahun 1969.

Tetapi daripada 73 filem itu, apa yang membanggakan Aini Jasmin pernah diundang berlakon sebagai ‘ibu ayam’ dalam filem Itali “World By Night 2” arahan Gianni Proia pada tahun 1961.

AINI Jasmin berlakon sebagai ibu ayam bernama Aini Jasmin dalam filem Itali bertajuk “World By Night 2.”
AINI Jasmin (kiri) sebagai ibu ayam bernama Aini Jasmin dalam satu babak filem Itali bertajuk “World By Night 2.”
Filem yang diterbitkan pada tahun 1961 itu turut dilakonkan Elaine Edley (tengah) dan penggambaran dijalankan di Singapura.

“Satu Titik Di Garisan” arahan M. Amin terbitan Cathay-Keris Film Productions pada tahun 1973 adalah filem terakhir lakonannya.

Apabila industri filem Melayu di Singapura melalui zaman kesuraman pada tahun 1973, Aini Jasmin yang semakin meningkat usia hilang punca pendapatannya.

Bersama anaknya, Suriati Bakar, Aini Jasmin lebih banyak menjalani hidup di sebuah bilik sewa yang terletak di Aljunied Crescent, Singapura.

WALAUPUN bentuk wajahnya bulat tetapi senyumannya sering menarik perhatian para penonton yang melihat lakonannya.

Sumber pendapatan beliau ketika itu hanya bergantung wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat Singapura sebanyak S$180 sebulan.

Dengan duit itu beliau menampung perbelanjaan persekolahan anaknya dan membayar sewa bilik.

APABILA Studio Jalan Ampas dan Cathay-Keris Film ditutup pada akhir 1960-an, Aini Jasmin hilang punca pendapatan.

Bagi meneruskan kehidupan dan menampung kos perubatan sakit kencing manisnya, Aini Jasmin yang semakin tidak sihat bersama anaknya, Suriati mengambil upah membasuh baju di rumah orang.

Aini Jasmin menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.40 pagi pada 29 Jun 1988 pada usia 64 tahun di bilik sewanya, Blok 109, Aljunied Cresent.

Menurut anaknya Suriati, ibunya meninggal dunia sehari selepas dibawa pulang ke rumah.

MENGABADIKAN kenangan… Aini Jasmin bergambar bersama Seniwati Siti Tanjung Perak, Datuk Hail Amir, Tan Sri Jins Samsuddin, Haji Zahari dan S. Shamsuddin ketika hadir pada majlis rasmi Pesta Filem Malaysia ke-7 yang berlangsung di Hotel Ramada, Melaka, pada tahun 1987.
Bagaimanapun pada acara perarakan naik beca keliling Bandar Melaka beliau tidak sertai kerana uzur.

Sebelum itu, Aini Jasmin dirawat sebulan di Hospital Besar, Singapura akibat cedera terkena air panas.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Pusara Aman, Singapura.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang beriman…Amin.

 

Previous articleHail Amir penari jadi penyanyi
Next articleDi hujung Ramadan Jom Iftar Rasa Rosz tetap dapat sambutan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here