Oleh NAFSIAH JANI

DUA kali gagal dalam perkahwinan dan percintaan membuatkan penyanyi dan pelakon popular, Erra Fazira lebih senang menyendiri sehingga ke hari ini. Impiannya hanya untuk membesarkan anak tunggalnya, Engku Aleesya.

Agar tidak kesunyian, Erra melibatkan diri dengan pelbagai program terbitan RTM, TV3 dan Astro. Dengan cara ini membuatkannya kepenatan sehingga terlupa segala masalah yang ada.

“Alhamdulillah…sesuai dengan usia, saya lebih tenang menjalani hidup serba sederhana. Saya berharap dapat menjalani hidup yang lebih baik di dunia dan di akhirat.

“Saya juga sedang belajar, jangan terlalu berharap atau mencari kebahagiaan dengan manusia kerana kalau dikecewakan saya yang akan merana. Kini saya sandarkan ketenangan dan kebahagiaan saya kepada Allah.

“Jika kita serahkan diri kepada Allah, hidup menjadi lebih tenang kerana semua yang terjadi ada hikmahnya,” kata Erra Fazira.

Menurut beliau, kini hidupnya lebih tenang kerana sentiasa dikelilingi anak dan rakan-rakan yang baik.

Wajah jelita Erra Fazira

“Bohonglah kalau saya kata saya tak sunyi. Tetapi untuk mengatasi kesunyian itu saya akan bersama rakan-rakan yang sentiasa ada waktu susah dan senang saya. Saya bersyukur kerana masih diberi peluang untuk menghargai mereka yang sentiasa bersama saya,” kata Erra Fazira.

Bercakap mengenai jodoh, sehingga kini Erra Fazira tidak pernah meletakkan syarat untuk lelaki yang ingin mendampinginya.

“Pada usia begini, saya tidak berani bercakap tentang jodoh yang sesuai buat diri saya. Lebih baik saya memperbaiki diri sebelum mencari kesalahan orang lain.

“Andai ditakdirkan ada jodoh, saya impikan seorang lelaki yang ada keserasian dan mempunyai haluan yang sama dalam mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat,” jelas Erra Fazira.

Kini, Erra Fazira melihat hidup ini dari sudut positif dan bersyukur dengan apa yang telah dikecapinya selama ini.

Bukan itu sahaja, malah beliau juga tidak meletakkan impian yang terlalu tinggi kerana bimbang ia akan menjadi beban buat dirinya.

“Selagi mampu saya akan berusaha demi kelangsungan hidup dan menjadi insan yang lebih baik,” kata Erra Fazira penuh harapan.

Anak tercinta, Engku Aleesya adalah permata hati Erra Fazira.

Tidak mahu terlalu mengongkong anak!

Setiap ibu pasti ingin melihat anak mereka menjadi orang yang berjaya dalam hidup.
Bagi memastikan impian itu tercapai, mereka akan mengatur perjalanan hidup anak mereka sehingga membuatkan si anak merasa rimas dan bosan!

Tetapi itu bukanlah cara Erra Fazira kerana beliau lebih selesa memberi kebebasan kepada Engku Aleesya memilih jalannya sendiri.

“Impian saya sama seperti ibu-ibu di luar sana yang mahu melihat anak mereka berjaya dalam hidup dan menjadi insan yang berguna pada agama, bangsa dan negara. Apa yang mampu saya buat ialah sentiasa mendoakan agar anakanda saya berjaya.

“Sebagai ibu, saya tidak akan memaksa anakanda saya memilih kerjaya yang saya tentukan. Sebaliknya saya beri kebebasan kepadanya untuk memilih jalan sendiri. Tetapi pada waktu yang sama saya akan pastikan anakanda saya tidak salah membuat pilihan,” kata Erra Fazira yang bakal menjalani penggambaran filem terbarunya tidak lama lagi.

Erra Fazira sentiasa dirindui oleh peminat beliau.
Previous articleJalaluddin Hassan ‘sakit’ kalau tak berlakon?
Next articleSuami selamatkan Neng Yatimah daripada kerakusan tentera Jepun!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here