Oleh SYED WAFA
Foto KOLEKSI SYED WAFA

BAGI para pelakon baru pada era Studio Jalan Ampas, mendapat tawaran berlakon filem terbitan Malay Film Production arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee bagaikan bulan jatuh ke riba kerana ia seolah-olah membuka ruang lebih luas untuk seseorang melebarkan sayap dan mencipta nama dalam bidang lakonan.

Tetapi tidak bagi Mak Enon yang pernah beberapa kali menolak tawaran P.Ramlee untuk membintangi filem arahannya.

MAK Enon…cantik dan bergaya ketika muda
KEJELITAAN Primadona Mak Enon ketika remaja begitu menyerlah

Bersandarkan bakat dan kebolehannya sebagai penari, P. Ramlee pernah menawarkan Mak Enon sebagai penari joget dalam salah satu filem arahannya tetapi ditolak.

Bukan itu sahaja, malah mempunyai latarbelakang dan kemahiran bersilat, P. Ramlee buat kali kedua menawarkan Mak Enon watak sebagai pesilat. Namun jawapan Mak Enon tetap sama, beliau tidak berminat!

POSTER filem “Gelora” lakonan P. Ramlee, Sarimah, Norsiati, Arman Yadi, Isma Rubee, Mariati, Bob Mustaffa dan Mak Enon.
MAK Enon dan Alisah Ali dalam satu babak filem “Gelora.”

Bagi Mak Enon, berlakon filem tidak sesuai dengan jiwanya kerana beliau berpegang pada prinsip anak bangsawan tidak tahu berlakon untuk filem!

Itulah Seniwati Mak Enon atau nama sebenarnya Amon@ Ainon Chik yang dilahirkan di Geylang Serai, Singapura pada tahun 1911. Ayahnya berdarah Bugis dan ibunya berketurunan Cina. Keluarganya berasal dari Kuching, Sarawak. Mak Enon adalah anak bungsu daripada empat beradik.

MAK Enon turut berlakon dalam filem “Putus Sudah Kasih Sayang” yang dibintangi oleh P. Ramlee, Latifah Omar, Mariani, A.K Jailani dan Bob Mustaffa.
MAK Enon dan Latifah Omar dalam satu babak filem “Putus Sudah Kasih Sayang.”
P. RAMLEE, Latifah Omar dan Mak Enon dalam satu babak filem “Putus Sudah Kasih Sayang.”

Menelusuri perjalanan seninya yang bermula sebagai pelakon bangsawan, Mak Enon memang seorang yang keras hati dan mempunyai prinsip tersendiri!

Sebab itu, walaupun P. Ramlee menawarkan watak yang sesuai dengan bakatnya tetapi sebagai primadona bangsawan tawaran itu tidak mampu menggugat pendirian Mak Enon seorang yang keras hati!

POSTER “Keluarga 69” yang turut dilakonkan oleh Mak Enon.
MAK Enon dalam satu babak filem “Keluarga 69.”
SALLEH Ghani, Siput Sarawak, Noran Nordin dan Mak Enon dalam satu babak filem “Keluarga 69.”

Sejak kecil, Mak Enon meminati bangsawan. Ketika usianya mencecah 16 tahun, Mak Enon menceburi dunia bangsawan di Singapura pada tahun 1930-an sebagai bidan terjun untuk persembahan bangsawan “Wak Naning” dengan menyanyikan lagu ‘Aladdin’ dan ‘Cik Mamat.’ Kedua-dua lagu ini pernah dinyanyikan Miss Tijah yang cukup popular ketika itu.

Bakat Mak Enon telah menarik perhatian pemilik kumpulan bangsawan yang bersetuju mengambilnya sebagai pekerja tetap dengan gaji RM40 sebulan.

MAK Enon turut berlakon dalam filem Laksamana Do Re Mi
SELAIN Mak Enon filem “Laksamana Do Re Mi” turut dilakonkan Minah Yem (tengah) sebagai Dayang Istana.

Sepanjang 30 tahun menyertai bangsawan, beliau cukup terkenal dan sering menyertai pementasan bergerak. Antara kumpulan bangsawan yang pernah beliau sertai City Opera, Genani Star Opera dan Panggung New World Hall.

Empat tahun kemudian Mak Enon digelar Seri Panggung atau Primadona dan bersama-sama Kumpulan Royal Opera, beliau dibawa menjelajah ke Palembang, Sumatera dan Jawa.

Semasa bersama kumpulan ini, Mak Enon bertemu jodoh dengan pemuzik bernama Kassim dan mereka berkahwin pada tahun 1932. Melalui perkahwinan ini mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu dua lelaki dan seorang perempuan.

WALAUPUN telah berusia bakatnya dalam bidang seni tidak perlu dipertikaikan.
Itulah Seniwati Mak Enon.

Adalah difahamkan sepanjang hayatnya Mak Enon telah bertemu jodoh tujuh kali antara dengan Seniman Haji Mahadi dianugerahkan seorang anak perempuan, Seniman Sharif Babu, mereka dikurniakan dua anak lelaki dan seorang perempuan.

Bakat serta populariti Mak Enon sebagai anak wayang di pentas bangsawan bukan setakat berlakon bangsawan Melayu sahaja! Sebaliknya pada tahun 1945, Mak Enon ditawarkan berlakon pementasan teater Inggeris “Prince Hamlet.”

Dalam teater berkenaan Mak Enon dipilih melakonkan watak lelaki Inggeris bernama Prince Hamlet untuk pementasan arahan Shariff Medan. Menariknya pementasan itu dibuat atas permintaan kerajaan Inggeris.

MAK Enon bukan setakat boleh berlakon malah beliau juga adalah seorang penari yang berbakat.

Pada tahun 1950, Mak Enon kembali ke Singapura selepas bertahun-tahun berada di Indonesia. Beliau tetap aktif dalam dunia seni dengan menjadi penari joget di Singapore New World.

Di sinilah Mak Enon mempamerkan bakat dan keistimewaannya yang boleh menyanyi dalam bahasa Jepun, Tamil, Jawa, Hindustan dan Minangkabau.

MAK Enon memang seniwati ‘versatile” kerana beliau bukan setakat boleh berlakon malah menyanyi, menari dan bersilat.

Pada tahun 1960 ketika usianya mencecah 49 tahun, beliau berhijrah ke Kuala Lumpur dan memulakan penghidupan baru dengan berniaga nasi lemak.

Jika di Singapura, Mak Enon pernah menolak tawaran berlakon daripada P. Ramlee tetapi apabila berhijrah ke Kuala Lumpur, beliau diundang berlakon empat filem arahan pengarah berkenaan sebagai pelakon undangan “Keluarga ‘69 (1967), “Anak Bapak”(1968), “Gelora”(1970), “Putus Sudah Kasih Sayang”(1971), “Laksamana Do Re Mi”(1972).

MAK Enon bersama cucu-cucunya.

Disamping itu, Mak Enon turut berlakon dalam filem “Keluarga Si Comat” arahan Datuk Aziz Sattar (1975), “Sayang Anakku Sayang” diarahkan Datuk Jamil Sulong (1976), “Panglima Badul”( arahan Hussein Abu Hassan – 1978), “Dayang Suhana” ( Aziz Abas – 1978), “Tuan Besar”( Malek Selamat – 1980) dengan filem terakhirnya “Mekanik” arahan Othman Hafsham (1983).

Mak Enon juga sering diundang menyertai program dan drama TV disamping menyertai festival filem dalam dan luar negara antaranya Festival Filem Asia Pasifik (APFF) di Kuala Lumpur pada tahun 1982.

MAK Enon…walaupun sudah berusia tetap bersemangat dalam dunia seni

Mak Enon meninggal dunia pada usia 81 tahun di sisi menantunya, Prani Pramote dan anaknya, Mala Satria Shariff kira-kira jam 6.00 pagi pada April 1992.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah sentiasa dicucuri rahmat oleh Allah SWT…Amin

Previous articleKata-kata Negatif Bukan Penghalang Untuk Berjaya!
Next articleBufet Raya & Pasca Raya Restoran Puteri Pencala Pilihan Pengunjung Serta Selebriti Terkenal Tanah Air!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here