Photo by Pexels/Lara Jameson

Oleh Nury Kadir

Wanita dan emas berpisah tiada. Bercakap tentang emas, semua wanita suka. Apabila teringatkan emas, perkara pertama yang terlintas di fikiran adalah barang kemas, pingat sukan Olimpik dan bar emas yang tersimpan di bank.

Pun begitu, beberapa tahun kebelakangan ini emas dimasukkan sebagai sebahagian daripada bahan produk kecantikan. Malah ada produk berasaskan emas menjadi viral di media sosial (#goldskincare di Tiktok mencapai 30 juta tatapan).

Betulkah emas memberi kesan kepada kecantikan kulit? Menurut pakar dermatologist Dr. Marisa Garshick, “emas di dalam produk penjagaan kulit membantu mengurangkan keradangan dan mempunyai kesan antibakteria serta antioksidan. Ia membantu bahan lain di dalam produk penjagaan kulit menjadi lebih efektif seperti meremajakan kulit menjadikannya lebih berseri-seri. Emas boleh bertindak sebagai agen anti penuaan, menghilangkan kedutan dan awet muda.”

Namun kajian itu belum dibuktikan secara ujian klinikal bahawa emas itu berkesan kepada manusia. Ini kerana kajian masih dijalankan untuk mengetahui lebih lanjut, sama ada emas benar-benar memberi kesan kepada kecantikan manusia atau sebaliknya. Setakat ini tidak ada garis panduan khusus yang dikeluarkan FDA( United States Food and Drug Administration) apabila melibatkan penggunaan emas di dalam produk penjagaan kulit. Disebabkan partikel emas itu tidak larut mungkin akan menimbulkan masalah apabila dicampurkan di dalam produk penjagaan kulit tropika.

Malah pada 2010, kajian pernah dilakukan oleh penyelidik kanser, Profesor Debabrata Mukhopadhya di Mayo Clinic ke atas tikus makmal, walaupun partikal nano emas menunjukkan kesan yang baik kepada produk penjagaan kecantikan namun dalam dos yang tinggi ia boleh memberikan kesan toksik kepada tikus.

Bagaimana pula pandangan Islam mengenai penggunaan emas dalam kosmetik? Meninjau ke dalam Al Kafi li al-Fatawi (https://muftiwp.gov.my), hukum memakai produk kecantikan yang mengandungi serbuk emas harus, pada asalnya. Namun masih ada pertimbangan lain yang perlu diambil kira, jika produk kecantikan tersebut menghalang air wuduk atau mandi wajib maka hendaklah dicuci dengan bersih setiap kali sebelum berwuduk atau mandi.

Begitu juga tujuan pemakaiannya, jika dipakai untuk berhias bagi lelaki ajnabi maka adalah haram. Manakala jika tujuannya adalah untuk suami maka hal tersebut tidak menjadi masalah.

Meskipun dari segi pemakaiannya tidak ada masalah namun kena pertimbangkan semula tujuan penciptaan emas. Menurut pandangan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, pada asalnya emas diciptakan sebagai perhiasan dan matawang yang berharga untuk kegunaan manusia. Tetapi tindakan menjadikannya serbuk jika benar boleh dijadikan sedemikain rupa, di kalangan pengusaha kosmetik untuk ditambah ke dalam ramuan kosmetik sewajarnya tidak dilakukan. Ini kerana bahan kosmetik bersifat istihlak (menghabisi) dan bukan bersifat kekal yang boleh ditukar atau dijual-beli semula.

Itulah cerita kegilaan wanita tentang emas yang bukan sahaja sebagai perhiasan fizikal tapi kalau boleh emas itu masuk sekali ke dalam kulit supaya awet muda. Wanita memang suka segala-galanya tentang emas. Hanya satu saja yang wanita tidak suka tentang emas iaitu ‘payung emas’. Jangan sesekali tawarkan ‘payung emas’ kepada wanita, nahas!

Sebenarnya tidak ada ayat al-Quran mahu pun yang menyebut ganjaran ‘payung emas’ bagi isteri membenarkan suami berpoligami. Ungkapan ‘payung emas’ itu hanya kata-kata orang tua-tua untuk menyedapkan hati orang perempuan.

Trade-in emas

Bagi orang perempuan membeli emas bukan sekadar perhiasan tetapi sebagai jaminan keselamatan masa depan. Namun apabila melibatkan emas, banyak yang perlu diketahui. Bukan sekadar untung apabila dijual balik ketika harga tinggi kerana dalam hal menjual, membeli dan melabur emas kena ada ilmu. Ini kerana emas merupakan salah satu daripada item ribawi. Di mana segala transaksi dan urusan jual beli mestilah berlandaskan syarak supaya tidak berlaku riba.

Berdasarkan hadis Rasulullah SAW, maksudnya; “(Jual Beli) Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, mesti sama banyak ( timbangan atau sukatan ) serta tangan ke tangan ( secara tunai dan saling menerima dalam satu majlis). Apabila berlainan jenis maka juallah mengikut apa yang kamu kehendak, selama ia dilakukan dari tangan ke tangan (secara langsung).” (Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis tersebut, ulama berpendapat riba dalam aktiviti jual beli enam barang;
1. Emas
2. Perak
3. Gandum
4. Barli
5. Tamar
6. Garam

Ulama sepakat bahawa diharamkan untuk jual beli emas dengan emas, perak dengan perak melainkan sama timbangan dan secara tunai dalam satu majlis. Urusniaga barangan ribawi mesti mengikuti syarat-syarat yang telah ditetapkan. Menurut hadis yang dikemukakan agar transaksi pertukaran dan jual beli tidak berlaku riba. Sekiranya memenuhi syarat tersebut, maka urusniaga sah dan bebas daripada riba. (https://muftiwp.gov.my)

Merujuk kepada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 membincangkan mengenai parameter Pelaburan Emas. Adapun trade-in emas perhiasan dibenarkan kerana ia tidak lagi dianggap mata wang sebagai sifat asal dan terkeluar daripada illah ribawi (sebab yang memungkinkan berlakunya riba) iaitu harga (al-thaman).

Justeru, boleh jual beli emas perhiasan secara (trade-in) seperti tukar emas lama dengan emas baru dan menambah duit tanpa melibatkan dua urusniaga. Hal ini kerana transaksinya bukan barang ribawi dan tidak terikat dengan syarat jual-beli item ribawi.

Terdapat beberapa pandangan fuqaha mazhab dalam menentukan sama ada emas perhiasan termasuk dalam item ribawi mahupun sebaliknya. Menurut jumhur dalam kalangan mazhab Syafie, Maliki dan Hanbali emas dan perak adalah item ribawi walaupun perhiasan.
Manakala Ibnu Rusyd menyatakan: “Ulama berbeza pendapat dalam bab pembuatan (san’ah) yang pada asalnya dilarang disebabkan berlaku riba seperti roti tukar roti.

Sementara Abu Hanifah berkata: “Tidak mengapa berlaku pertambahan atau sama timbangan kerana ia telah terkeluar daripada item ribawi dengan sebab pembuatan (san’ah).”

Ibnu Taimiyyah pula menyatakan bahawa harus menjual emas dan perak yang ditempa yang sama jenis tanpa syarat sama timbangan atau terdapat penambahan pada pembuatan (pertukangan) sama ada secara tunai atau tertangguh yang bukan bertujuan untuk dijadikan nilai harga (thaman). Perhiasan telah keluar dari sifat asal (iaitu sebagai wang) kerana faktor pembuatan atau pertukangan maka ia bukan item ribawi.

Beliau turut berpendapat bahawa perhiasan dibolehkan dan tidak termasuk dalam item ribawi kerana ia telah ditempa (pembuatan), maka ia termasuk dalam jenis pakaian dan barangan (sil’ah) bukan daripada jenis harga (al-thaman).

BERSAMBUNG
*Bagi mereka yang memilih untuk berhati-hati dan ingin keluar daripada khilaf juga ada caranya untuk menguruskan jual-beli emas lama bebas riba. Ikuti sambungannya pada arikel akan datang.

Previous articleBahaya Gadget pada Kanak-Kanak
Next articleKebaikan Petai Untuk Wanita

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here