Oleh Nury Kadir
Bila sebut haid mesti ada yang keliru perbezaan antara darah haid dengan darah istihadah. Untuk membezakan antara kedua-duanya, seseorang wanita harus tahu kaedah kiraan tempoh suci antara dua haid dan ia sangat penting.
Kiraan ini penting untuk membezakan darah yang keluar dalam tempoh haid mahupun darah istihadah yang keluar pada tempoh suci. Tambahan pula, hukum wanita dalam istihadah (mustahadah) dianggap wanita suci dan boleh melaksanakan ibadah seperti solat, puasa, iktikaf dan membaca al-Quran.
Persoalan ketiga, Bagaimana hendak menentukan tempoh antara darah istihadah dan darah haid?.
Bagi mejawab persoalan itu, perlu diketahui apa maksud darah haid dan darah istihadah. Seperti yang dinukilkan di dalam www.muftiwp.gov.my., dari segi istilah syarak, haid adalah darah tabi’i yang keluar daripada pangkal rahim perempuan ketika badannya sihat dalam tempoh tertentu.
Manakala darah istihadah ialah darah penyakit wanita yang keluar daripada hujung urat yang berada di bawah rahim yang dikenali sebagai ( العاذل )selepas tempoh maksimum haid atau selepas tempoh maksimum nifas atau darah keluar berterusan selepas hari kebiasaan haid.
Ciri-ciri darah istihadah:
1. Keluar darah sebanyak dua kali yang diselangi oleh tempoh suci yang kurang 15 hari
2. Keluar darah selepas tempoh maksimum haid 15 hari
3. Keluar darah kurang daripada 24 jam
4. Keluar darah sebelum umur sembilan tahun
5. Keluar darah selepas tempoh 60 hari nifas
Berdasarkan pengertian istihadah dan ciri-cirinya, boleh disimpulkan bahawa istihadah ialah darah yang keluar bukan waktu kebiasaan haid mahupun nifas atau dengan kata lain pada tempoh suci.
Untuk lebih memudahkan, di sini akan dijelaskan kaedah kiraan tempoh suci. Hal ini bagi mengetahui hari-hari yang menjarakkan di antara satu haid dengan haid seterusnya. Berikut kaedah kiraan suci antara dua haid:
1. Tempoh paling minimum suci ialah 15 hari( الطهر أقل ). Ketentuan ini diukur daripada tempoh maksimum darah haid iaitu 15 hari ( أكثر الحيض). Ini berdasarkan kajian (istiqra’) daripada Imam Syafie.
2. Tempoh suci kebiasaan majoriti wanita adalah 23 hari (الطهر غالب). Ketentuan tempoh suci kebiasaan berdasarkan haid yang yang kebiasaan datang selama tujuh hari (غالب الحيض )
3. Tempoh maksimum suci tiada had kerana kadang-kadang ada wanita yang haidnya dalam sebulan hanya sehari semalam sahaja iaitu 24 jam dan ada juga sekali dalam enam bulan.
Kiraan tempoh suci antara dua haid
Analoginya, wanita (A) mendapati darah haid keluar pada 1-12 ogos iaitu selama 12 hari. Kemudian selepas seminggu, darah keluar pada 19 ogos. Maka darah tersebut adalah darah istihadah. Hal ini kerana darah keluar pada waktu tempoh minimum suci 15 hari selepas haid. Maka, wajib menunaikan solat fardu dengan memakai tuala wanita selepas mencuci alat sulit, kemudian mengambil wuduk pada setiap fardu tanpa perlu mandi wajib.
Namun apabila sudah masuk 29 ogos iaitu sudah tamat waktu sekurang-kurangnya waktu suci iaitu 15 hari selepas hari terakhir tempoh haid. Maka kitaran haid sudah dianggap bermula semula sekiranya pada 29 ogos terdapat darah yang keluar. Oleh itu, darah tersebut adalah permulaan kiraan haid baru.
Persoalan keempat, Apakah hukum sekiranya seseorang wanita melambatkan mandi wajib dengan alasan untuk memastikan tidak ada lagi darah yang tertinggal?. Ini kerana, ada wanita yang akan mengalami darah haid berhenti beberapa hari dan bersambung semula pada hari berikutnya.
Berdasarkan hadis riwayat Aisyah dalam Sahih al-Bukhari dan al-Muwatta’, maksudnya: Dahulu, para wanita datang menemui Aisyah dengan menunjukkan kain yang berisi kapas (yakni yang dimasukkan ke dalam faraj) yang padanya ada kesan kekuningan (kesan darah haid) lalu Aisyah berkata kepada mereka, “Janganlah kamu tergesa-gesa (untuk mandi dan bersolat) sehinggalah kamu melihat warna cecair putih pada kapas yang menunjukkan suci daripada darah haid.”
Sekiranya tidak mendapati warna darah, kekeruhan dan kekuningan, maka wanita itu sebenarnya berada dalam keadaan naqo’. Daripada sudut bahasa naqo’ bererti bersih daripada sesuatu. Adapun daripada sudut hukum, keadaan naqo’ bererti bersih daripada darah haid. Keadaan naqo’ boleh jadi keadaan haid ataupun suci.
Pada asalnya, apabila berlaku naqo’ maka wanita itu secara zahirnya sudah dianggap berhenti darah haid dan diwajibkan mandi dengan segera dan hendaklah melaksanakan kewajipan solat dan berpuasa
Namun, jika seseorang wanita itu memiliki adat muwa`adah al-dam (yakni darah haidnya keluar kemudian berhenti kemudian datang kembali tetapi cukup sehari semalam). Maka di sisi mazhab ada dua pendapat ulama.
Pertama, pendapat Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’. Wanita itu mengambil hukum suci. Maka dia wajib mandi dan melakukan kewajipan ketika suci seperti solat dan puasa.
Kedua, menurut pendapat yang disahihkan oleh Imam al-Rafie, Imam al-Nawawi dalam Raudhah al-Talibin, dan dianggap tepat oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami: Wanita itu mengambil hukum haid kerana secara zahirnya masih berhaid kerana mengikut adatnya, maka tidak perlu mandi lagi sewaktu berlakunya intiqita’ (putus) atau naqo’ itu.
Analogi bagi pendapat kedua- Nurul mempunyai adat berhaid tujuh hari dalam keadaan pada hari keempat akan berlaku naqo’ selama sehari dan sambung keluar darah kembali sehingga hari ketujuh. Apabila berlaku naqo` pada hari keempat, Nurul tidak perlu mandi wajib kerana dia masih dianggap haid.
Pun begitu, jika Nurul menunggu daripada hari keempat sehingga hari ketujuh tetapi tidak kembali keluar darah, maka Nurul diwajibkan untuk mandi dan mengqadha’kan solat-solat yang ditinggalkan pada hari keempat sehingga hari ketujuh kerana berkemungkinan adatnya sudah berubah.
Namun, ulama mempunyai pandangan berbeza bagi kes wanita mustahadah, mubtada’ah (yang baru mengalami haid bulan pertama), kes haid yang mutaqatti` (terputus-putus) ialah wanita yang beradat dan keluar darah seperti kebiasaan.
Menurut pandangan ulama mazhab Syafie, wanita mubtada’ah (pertama kali haid) yang mendapati tanda suci haid tidak perlu menunggu untuk beberapa tempoh waktu sebelum melakukan mandi wajib. Hal ini kerana, jelas ketiadaan haidnya bahkan diwajibkan kepada mereka untuk melakukan ibadah-ibadah fardu seperti solat, puasa dan sebagainya.
Imam al-Nawawi menyatakan, “Apabila seorang wanita melihat naqo’ pada hari kedua, maka dia wajib melakukan ibadah-ibadah yang diwajibkan ke atas wanita suci tanpa khilaf. Hal ini kerana, kita tidak mengetahui sama ada dia termasuk dalam kategori wanita talfiq atau tidak, kerana terdapat kemungkinan darah akan berterusan berhenti.”
Manakala bagi wanita mu’tadah (pernah mengalami haid dan suci), Ibn Hajar Al-Haitami menyatakan bahawa jika adat kebiasaan haid bulan-bulan sebelum itu darahnya terputus kemudian selang beberapa masa ia keluar semula, maka ulama Syafi‘iyyah berbeza pandangan dalam permasalahan ini.
Pendapat rajih dalam mazhab seperti yang dinyatakan oleh Imam Nawawi bahawasanya wanita perlu melaksanakan mandi wajib setelah darahnya berhenti pada bulan terkini. Justeru, hukumnya sama seperti bulan sebelumnya iaitu mengambil hukum wanita suci pada tempoh berhenti darah.
Berdasarkan pandangan yang disahihkan oleh Imam al-Rafi‘i, tidak perlu melaksanakan mandi wajib pada bulan terkini sehingga sampai pada bilangan hari adatnya. Dia mengambil hukum wanita haid kerana secara zahirnya keadaan pada bulan terkini sama seperti bulan sebelumnya.
Pandangan pertama merupakan pandangan muktamad dalam mazhab. Meskipun begitu, harus bagi seseorang untuk beramal dengan pandangan Imam al-Rafi‘i semata-mata bagi hak peribadinya dalam permasalahan ini.
Sementara Ibnu Qudamah berpandangan, wanita mu’tadah yang dibenarkan untuk menunggu jika haid berhenti bukan pada tempoh kebiasaan haid. Namun, ini bukanlah pandangan muktamad mazhab Hanbali melainkan hanya pandangan yang dipilih oleh beliau. Sekiranya wanita diwajibkan mandi pada setiap kali darah berhenti, maka perkara ini menjadi satu bebanan dan kesusahan buat mereka.
Oleh yang demikian, ulama yang berpegang dengan pendapat ini tidak menghukumkannya sebagai haid melainkan kelihatan tanda-tanda darah ingin berhenti seperti berlakunya pada hujung waktu adat atau dia melihat keluarnya cecair putih daripada faraj.
Menurut pandangan muktamad mazhab al-Syafie, wanita yang pertama kali didatangi haid namun darahnya berhenti kemudian datang semula, maka tempoh berhenti itu dihukumkan sebagai suci dan diwajibkan baginya untuk mandi wajib. Syaratnya mestilah darah itu melepasi minimum haid serta tidak melebihi maksimum haid. Jika pada bulan berikutnya masih lagi terjadi masalah yang sama, maka tempoh itu juga dikira dianggap sebagai suci sehingga sampai kepada hari adatnya.
Walau bagaimanapun, seperti kebiasaan sesetengah wanita yang darahnya kerap berhenti dan timbul sehingga membebankan dirinya untuk bersuci beberapa kali, maka dibenarkan baginya untuk mengambil pandangan sebaliknya sebagai amalan peribadi iaitu tempoh berhenti darah dianggap sebagai haid.
Semoga apa yang dinukilkan dari www.muftiwp.gov.my, ini dapat memberi kefahaman dan melindungi kita daripada tipu daya atau talbis iblis. Di akhiri dengan satu pertanyaan daripada seorang lelaki kepada Hasan al-Bashri: “Adakah iblis itu tidur”? Mendengar pertanyaan itu, Hasan al-Bashri menjawab, “Seandainya iblis itu tidur, nescaya kita boleh beristirihat dengan tenang.”
NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.