Photo Envato/ArseniiPalivoda

Oleh Asmat Fikri

Dianggarkan lebih 15% wanita yang melahirkan anak berdepan kemurungan ini, yang bersamaan dengan 1 daripada 7 wanita. Kemurungan apakah yang dimaksudkan itu? Jawapannya adalah sakit gila meroyan atau bahasa perubatannya adalah Postpartum Psychosis. Mengikut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), meroyan membawa maksud gangguan emosi selepas bersalin akibat perubahan hormon dalam badan yang menyebabkan seseorang ibu murung, bertindak ganas dan lain-lain lagi.

Mengikut kajian, selepas bersalin para ibu berisiko mengalami kemurungan ini atau lebih dikenali sebagai meroyan dalam tempoh 42 hari selepas melahirkan anak. Ianya disebabkan beberapa factor. Antaranya adalah perubahan hormon, masalah psikologi selepas bersalin dan pelbagai faktor lain yang mengundang tekanan atau gangguan emosi kepada ibu tersebut.

Ini kerana, selepas bersalin, para ibu kehilangan banyak tenaga dan berada dalam keadaan mental dan fizikal yang sangat lemah. Maka, orang disekelilingnya perlulah memberi sokongan yang kuat kepada ibu sewaktu menghadapi proses tersebut. Jika tidak, ibu berkenaan terdorong untuk mengalami kemurungan dan sekaligus berisko mencederakan dirinya serta orang terdekat seperti bayi yang baru dilahirkan itu.

Penyakit selepas bersalin dan gejalanya
Menurut laman rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), iaitu Myhealth, kemurungan selepas bersalin boleh dikategorikan sebagai tiga bahagian. Berikut adalah bahagian-bahagiannya.

1. Gangguan emosi postpartum

Ia berlaku ke atas 25 – 85% wanita yang baru bersalin. Tanda-tanda penyakit ini timbul beberapa hari selepas bersalin dan ia memuncak pada hari kelima. Namun begitu, gangguan emosi ringan ini biasanya pulih dalam masa dua minggu.

Antara tanda dan gejala berlakunya gangguan emosi postpartum adalah seperti kemurungan yang ringan dan emosi berubah-ubah. Malah mangsa juga terdorong untuk mudah menangis, mudah melenting, gelisah, kurang penumpuan dan juga kurang selera makan serta kurang tidur.

My Daughter and Wife, enjoying a moment post-bath time. These two are truly my better halves.
Photo by Sean Roy on Unsplash

2. Kemurungan pastpartum

Ianya berlaku di kalangan 10 – 20% wanita selepas bersalin. Gejala-gejala timbul dalam masa sebulan selepas bersalin. Pada kebiasaannya, penyakit ini sembuh dengan sendiri dalam jangka masa tiga hingga enam bulan tetapi bagi kes-kes yang berat ia mungkin berterusan sehingga dua tahun.

Tanda serta gejala kemurungan postpartum pula tidak jauh beza dengan gangguan emosi postpartum. Ia melibatkan perasaan murung, letih lesu serta tidak bermaya. Malah si ibu turut suka memencilkan diri dan kerap mengadu akan kurang sokongan sosial daripada orang terdekat.

Si ibu dalam berpantang turut salah faham dengan kehendak bayi dan kurang penumpuan serta daya ingatan. Keadaan ini lebih mendorong untuk si ibu bertindak di luar kawalan dan kebiasaan.

3. Psikosis postpartum

Keadaan ini jarang dijumpai tetapi serius dan berlaku dalam setiap 500 – 1000 jumlah kelahiran. Gejala penyakit ini timbul dengan pantas dan biasanya timbul beberapa hari sehingga dua atau tiga minggu selepas bersalin. Walaupun begitu,risiko tetap tinggi selepas beberapa bulan kemudian.

Keadaan di tahap psikosis postpartum ini dikatakan kategori yang paling parah. Di mana si ibu akan mendapat gangguan tidur dan perubahan selera makan yang agak ketara. Malah, pesakit turut mudah resah, berfikir untuk membunuh diri dan melakukan pembunuhan.

Si ibu turut mengalami perasaan dan kelakuan yang pelik dari kebiasaannya. Lebih buruk lagi, pesakit seperti mendengar suara walaupun pada zahirnya tiada orang di sekeliling (berhalusinasi) atau kepercayaan yang tidak rasional (delusi). Keadaan ini juga dipanggil sebagai skizofrenia. Kecenderungan untuk mencederakan diri dan orang lain agak tinggi sekaligus mampu sampai kepada tahap untuk membunuh.

Adakah penyakit meroyan ini bahaya? Untuk mengetahui lebih lanjut ikuti sambungan tentang rawatan dan pencegahannya di artikel akan datang. Selamat membaca. Semoga perkongsian ini dapat memberi info dan manfaat kepada semua ibu-ibu, bapa dan keluarga

Previous articleBila dua ikon wanita bertemu, Rozita Ramelan kagum dengan Siti!
Next articleKhasiat Buah Lemon

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here