Oleh Nury Kadir

SEMAKIN ramai peminat kucing, semakin banyak pet shop. Hotel kucing pun banyak, siap beratur tunggu giliran hendak daftar masuk bilik hotel. Melihatkan bilik hotel kucing, kalah bilik tuan punya kucing.

Memelihara kucing hari ini jauh bezanya dengan membela kucing dulu-dulu. Jika dulu, kucing peliharaan hanya diberi makan nasi berlaukan ikan dan apa yang isi rumah makan, menu yang sama juga kucing makan. Bila sakit, kucing pandai pergi kebun mencari rumput helikopter atau rumput yang sejenis dengannya untuk dimakan. Rumput-rumput itulah yang jadi penawar semula jadi kucing.

Patmar1, Public domain, via Wikimedia Commons

Kini, memelihara kucing macam bela tuan besar, semuanya kena disediakan. Daripada soal makan hingga membersihkan najis semuanya tuan kucing kena uruskan. Makanannya bukan boleh sembarangan tetapi formula khas untuk keperluan tertentu seperti kuli, bulu, sistem penghadaman dan kesihatan. Apabila sakit, hantar ke klinik dan bil rawatan bukan semurah harga nasi lemak ayam tapi harga ‘beaf steak’ restoran lima bintang.

Apabila difikirkan balik, memelihara kucing menjadi satu hal yang merumitkan. Baru soal makan dan kos rawatan, belum lagi sentuh hal rumah kucing, vitamin, tandas dan aksesori yang lain. Itu belum lagi menyentuh tentang hukum berkait dengan kucing yang dibicarakan di media sosial.

Banyak sangat pendapat yang berlegar di media-media sosial mengenai hukum memelihara kucing. Ada ustaz yang berhujah bahawa bulu kucing najis. Ada juga yang mengeluarkan pendapat, haram bela kucing di dalam rumah. Malah ada juga yang berpendapat air liur kucing pun dihukumkan najis. Kemudian hujah itu dipatahkan pula oleh ustaz-ustaz pencinta kucing.

Sebagai orang biasa yang tidak tergolong sebagai ulama, ustaz mahu pun ustazah, pendapat itu memeningkan. Pendapat yang mana betul dan boleh diikut atau ikut saja pendapat serta logik akal sendiri.

Jika bertemu pilihan macam itu, kena rujuk keterangan masalah yang dikeluarkan mufti kerana ia lebih tepat dan dipercayai.

Kebanyakan pejabat mufti ada laman web namun yang paling mesra pengguna pejabat mufti Wilayah Persekutuan. Persoalan kucing yang remeh pun dijawab dengan panjang lebar dan mudah difahami.

Wikimedia Commons.

Inilah penjelasan yang diberikan untuk menjawab kembali kenyataan seorang ustaz terkenal bahawa kucing tidak boleh dibela di dalam rumah kerana Nabi SAW tidak pernah membela kucing.

Secara umumnya, hukum asal memelihara kucing adalah harus. Ini berdasarkan kaedah fekah yang masyhur.

الأَصْلُ فِي الأشْيَاءِ الإبَاحَة
Maksudnya : Hukum asal bagi setiap perkara adalah harus.
Secara asasnya tidak terdapat nas daripada Al-Quran yang menyuruh atau melarang membela kucing. Maka hukum membela kucing adalah harus. Berlaku ihsan kepadanya adalah wajib dan menyakitinya adalah haram. Oleh itu, seseorang bebas memilih sama ada untuk membela kucing atau tidak membelanya.

Begitu juga tidak ada masalah untuk seseorang menghalau kucing dari kawasan rumahnya dengan syarat tidak menyakiti dengan menendang, melempar, atau apa-apa cara yang memudaratkan haiwan tersebut.(https://muftiwp.gov.my).

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang bulu kucing, ikuti bahagian kedua akan datang. Di mana kita akan mengupas lebih lanjut tentang hukum bulu kucing yang melekat dibaju dan adakah Nabi SAW membela kucing? Semuanya bakal terjawab di episod akan datang.

Previous articleSiti Nurhaliza serikan majlis perkahwinan anak mantan Ketua Pengarah IB
Next articlePembedahan Bariatrik: Ini yang patut anda tahu! (Bahagian 1)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here