KENAPA wanita lebih cenderung diserang kemurungan (Anxiety) berbanding lelaki? Ini tiga sebab utama yang ramai orang tak tahu!
Kemurungan ialah salah satu kategori psikiatri yang melibatkan gangguan pada emosi individu. Lazimnya, individu yang menderita gangguan kemurungan akan menunjukkan rasa sedih, murung, rasa rendah diri, tidak bermaya, putus ada dan sering menyalahkan diri sendiri di atas setiap perkara yang berlaku dalam kehidupannya.
Jika ingin dikupas, tahukah kita antara kaum lelaki dan wanita, wanita lebih terdorong untuk mengalami kemurungan berbanding lelaki.
Sememangnya lelaki terkenal dan dikurniakan oleh Allah ‘kekuatan’ yang lebih berbanding wanita. Mungkin faktor itu juga menyumbang kepada peratusan lelaki kurang mengalami kemurungan berbanding wanita.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dari segi gender golongan wanita mencatatkan kadar kelaziman gangguan mental kemurungan paling tinggi iaitu 5.1 peratus; berbanding lelaki 3.6 peratus.
Mungkin ramai yang hendak tahu terutama kaum wanita, kenapa wanita lebih terdorong mengalami kemurungan berbanding lelaki? Di sini kami kongsikan tiga faktor utama penyebab kemurungan dalam kalangan wanita seperti yang telah dikaji oleh ahli akademik dari Universiti Malaya (UM) menerusi Jurnal yang bertajuk ‘Wanita dan kemurungan dari perspektif jurang gender: simptom dan faktor.
Faktor Biologi
Kelaziman gangguan kemurungan di kalangan wanita dan lelaki berlaku kerana faktor biologi iaitu perubahan hormon yang berlaku di kalangan wanita terutama ketika wanita mencapai usia akil baligh, ketika wanita dalam proses menstruasi, ketika wanita dalam proses kehamilan dan apabila wanita mencapai perimenopause.
Pada permulaannya, kadar kelaziman gangguan kemurungan adalah sama di antara lelaki dan wanita. Walau bagaimanapun, kadar kelaziman tersebut berubah apabila individu mencapai usia akil baligh. Pada akil baligh, kelaziman golongan wanita untuk mengalami gangguan kemurungan utama adalah tinggi sebanyak dua kali ganda, terutamanya apabila wanita mencapai umur 14 tahun hingga 25 tahun.
Faktor Psikologi
Selain faktor biologi, kelaziman wanita untuk mengalami gangguan psikiatri khususnya gangguan kemurungan turut dipengaruhi oleh faktor psikososial. Ia bermaksud kelemahan gender dalam menguruskan emosi. Perbezaan sifat, ciri dan karakter antara lelaki dan wanita membuatkan wujud perbezaan dari segi tindak balas terhadap tekanan yang berlaku dalam kehidupan. Disebabkan wanita dilahirkan sebagai kaum yang lebih sensitif emosinya, maka ia menjadi faktor kenapa lebih ramai wanita mengalami kemurungan berbanding lelaki.
Faktor Trauma
Trauma. Ya, trauma terhadap perkara atau peristiwa tidak baik dalam kehidupan turut menjadi faktor alami kemurungan. Meskipun lelaki dan wanita berhadapan dengan peristiwa hidup yang sama, kelaziman gangguan kemurungan masih lagi didominasi oleh golongan wanita. Pendek kata, wanita lambat sedikit untuk ‘move on’.
Antara trauma tekanan peristiwa hidup yang memeritkan dan sering dialami oleh wanita ialah seperti trauma menjadi mangsa penderaan sama ada penderaan secara fizikal, seksual, mahu pun emosi seperti keganasan rumah tangga, kehilangan orang tersayang dan banyak lagi peristiwa lain yang mempengaruhi emosi wanita. Ianya bukan mudah untuk dilupakan, makan masa.
Macam mana nak mengatasi?
Gila! Mentaliti sesetengah masyarakat berkenaan pesakit mental adalah tidak waras atau gila sememangnya amat menyakitkan. Sepatutnya masyarakat perlu lebih terbuka menerima mereka yang mengalami kemurungan ini adalah ‘pesakit’ seperti pesakit penyakit yang lain. Dengan semangat dan sokongan semua, tidak mustahil penyakit mental yang dialami itu akan pulih.
Banyak faktor sebenarnya untuk mengubat pesakit kemurungan ini, antaranya bersenam, tidak bersendiri, bersosial selalu, jangan memendam perasaan, pergi bercuti dan sebagainya. Namun, paling utama adalah pastikan berjumpa dengan pakar rawatan pesakit mental samada di klinik swasta ataupun kerajaan.
Namun, mungkin ramai yang masih tidak tahu, Kerajaan kita telah menyediakan perkhidmatan khas hanya tertumpu kepada masalah kesihatan mental? Ianya disebut Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI), Perkhidmatan Psikiatri & Kesihatan Mental di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
MENTARI ditubuhkan untuk memenuhi keperluan Akta Kesihatan Mental 2001 yang menekankan kepada penambahbaikan perkhidmatan berasaskan komuniti dalam meningkatkan kualiti kesihatan mental masyarakat. Ia merupakan pendekatan baharu yang dimulakan oleh KKM untuk meningkatkan jangkauan dan integrasi semula orang yang mengalami masalah kesihatan mental ke dalam masyarakat.
Untuk info lanjut mengenai lokasi MENTARI atau klinik kesihatan lain yang menyediakan perkhidmatan rawatan penyakit mental ini boleh rujuk link di bawah:
Info MENTARI di laman web rasmi KKM:
Selain mendapatkan rawatan di klinik atau hospital milik kerajaan, penghidap penyakit kemurungan atau mana-mana dalam kategori kesihatan mental boleh juga terus ke klinik swasta atau hubungi terlebih dahulu untuk maklumat lanjut. Ini kami kongsikan 3 Klinik Swasta di kawasan Lembah Klang yang boleh dilawati atau hubungi.
Maklumat adalah seperti di bawah:
Dr Seed Specialist Clinic (Psychiatry)
Alamat: 39-Ground Floor Jalan Metro Perdana Timur 2 Taman Usahawan Kepong, Kepong, 52100 Kuala Lumpur.
The Leverage Mental Health Services
Alamat: Jalan Sibu 6, Kepong, 68100 Kuala Lumpur, Selangor
No Telefon: 013-838 3378
The Inner Lynk, Solaris Dutamas
Alamat: C3, 3A-07, Jalan Dutamas 1, Solaris Dutamas, 50480 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
No Telefon: 019-528 3139
SUMBER GAMBAR: Wikimedia Commons.
ASMA Fikri ialah bekas wartawan Majalah Al-Islam.