Oleh: Khadijah Ibrahim
GENAP setahun kumpulan Michael Learns To Rock (MLTR) dari Denmark bakal kembali menjayakan konsert di lokasi yang sama iaitu di Arena of Stars, Resorts World Genting, pada 9 November (Ahad) akan datang.
Pada 10 November 2024, kumpulan yang dianggotai oleh Jascha Richter (vokalis), Mikkel Lentz (pemain gitar) dan Kåre Wanscher (pemain dram) hadir ke puncak Genting Highlands bagi menjayakan konsert ‘Take Us to Your Heart’.
Kali ini kehadiran kumpulan yang popular dengan lagu-lagu seperti “Take Me To Your Heart”, “Paint My Love”, “25 Minutes”, “Sleeping Child” dan “That’s Why (You Go Away)” adalah bagi menjayakan konsert ‘Michael Learns To Rock Encore All the Hits In Malaysia 2025’ yang bakal bermula pada jam 6 petang itu.
MLTR bukanlah satu nama baharu kepada peminat-peminat muzik di Malaysia kerana lebih dari tiga dekad kumpulan yang ditubuhkan pada 1988 sering diundang untuk menjayakan persembahan di sini atas permintaan peminat.
Kali ini kehadiran MLTR di sini atas insiatif MMIC Entertainment Group selaku penganjur dan JS Concert Productions sebagai promoter demi memenuhi kehendak penggemar muzik kumpulan tersebut.

Tidak dinafikan lagu-lagu dendangan MLTR yang lebih kepada genre pop rock telah menyentuh hati jutaan peminat dari pelbagai generasi di seluruh dunia kerana karya mereka malar segar dan tidak jemu didengar.
Dengan hampir 1,000 persembahan secara langsung di seluruh dunia, pelbagai anugerah emas dan platinum, lebih 11 juta album terjual serta 1.5 bilion penstriman, MLTR kekal relevan dan terus mencipta sejarah sebagai salah satu kumpulan paling lama bertahan dalam industri muzik antarabangsa.
Tiket-tiket berharga RM188 (PS4), RM288 (PS3), RM488 (PS2), RM688 (PS1), RM788 (VIP) dan RM988 (Zon MLTR) boleh dibeli melalui etix.my, rwgenting.com dan trip.com
Selain menyaksikan konsert, pelbagai faedah ditawarkan kepada pembeli tiket Zon MLTR dan VIP. Untuk pemegang tiket Zon MLTR, penonton berpeluang berfoto dengan ahli kumpulan tersebut secara peribadi. Tawaran itu dibuka untuk 10 pemenang bertuah sahaja. Manakala 20 peminat lain yang terpilih boleh berfoto dengan MLTR bersama lima lagi pemenang lain.
Untuk pemegang tiket VIP pula, 20 pemenang bertuah akan dipilih untuk bergambar secara berkumpulan (lima orang) bersama anggota MLTR.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, sila ikuti di www.facebook.com/MMICEntertainmentGroup dan www.instagram.com/mmic.entertainmentgroup serta JS Concert Productions di (https://www.facebook.com/JSConcertProductions).

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









