Oleh: Khadijah Ibrahim
PEMINAT Craig Ashley David atau Craig David, 44, pasti tidak sabar untuk menonton persembahannya di Malaysia. Kali ini kehadiran David pada 10 November 2025 adalah untuk menjayakan konsert eksklusif “Craig David Presents TS5: Live in Kuala Lumpur” yang bakal berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Kehadiran penyanyi yang digelar Raja R&B dan UK Garage dari United Kingdom itu menandakan kemunculan semula penyanyi legenda tersebut ke Malaysia setelah lebih sedekad, sekali gus mengubat kerinduan para peminat tempatan yang telah mengikuti perjalanan seninya sejak awal milenium.
Lebih istimewa, kehadirannya kali ini bertepatan dengan pelancaran album studio kesembilan berjudul “Commitment” yang dilancarkan pada 8 Ogos lalu.
Album terbaharu ini digambarkan sebagai karya paling peribadi David setakat ini, dengan tema pencarian makna komitmen dan evolusi dirinya sebagai artis.
Untuk album ini, ia turut menampilkan kolaborasi bersama barisan artis terkenal dunia seperti Tiwa Savage, JoJo, dan Louisa Johnson. “Commitment” turut menggabungkan nuansa nostalgia daripada era “Born To Do It” dengan elemen muzik moden yang segar dan relevan.
Konsert ini akan menyaksikan penampilan konsep istimewa TS5, gabungan persembahan vokal langsung dan set DJ yang telah menjadikan Craig David sebagai fenomena global sejak diperkenalkan pada tahun 2012.

TS5 yang bermula sebagai siaran radio dari apartmennya di Miami, kini telah menjelajah ke pentas-pentas berprestij di seluruh dunia seperti Ibiza, Dubai, London dan Tokyo. Kini buat pertama kali akan menemui peminat di Malaysia.
Penonton boleh menjangkakan sebuah malam penuh tenaga dan dinamik, dengan rangkaian lagu hits David yang merentasi lebih dua dekad seperti “Fill Me In”, “7 Days”, “Walking Away”, “What’s Your Flava” dan “When The Bassline Drops”.
Penyanyi kelahiran Southampton, Hampshire, England itu mula meraih perhatian dunia menerusi kolaborasinya bersama Artful Dodger menerusi “Re-Rewind”, sebelum meledak dengan single solo pertamanya “Fill Me In” sekali gus menjadikannya artis solo lelaki termuda yang pernah mencapai tangga pertama carta UK.
Album sulungnya, “Born To Do It” (2000) terjual lebih 7 juta unit di seluruh dunia dan telah diiktiraf oleh MTV dan The Guardian sebagai salah satu album terbaik sepanjang zaman.
Sepanjang kerjayanya, penyanyi, komposer, penulis lirik dan rapper itu telah mencatat lebih 13 juta jualan album, menerima pelbagai anugerah berprestij seperti 3 Ivor Novello Awards, 2 MTV Europe Music Awards, serta 14 pencalonan BRIT Awards. Pada tahun 2021, beliau turut dikurniakan gelaran MBE oleh mendiang Ratu Elizabeth II atas sumbangannya dalam bidang muzik dan kebajikan.
Tiket bagi konsert ‘Craig David Presents TS5: Live in Kuala Lumpur’ akan mula dijual dalam masa terdekat. Para peminat disarankan untuk mengikuti pengumuman rasmi daripada pihak penganjur bagi mendapatkan maklumat lanjut dan memastikan mereka tidak terlepas menyaksikan persembahan eksklusif ini yang dijangka menjadi antara konsert paling hangat tahun ini.
Untuk informasi sila lawati Twitter – @craigdavid / @ts5, Instagram – @craigdavid / @ts5 dan Facebook – www.facebook.com/CraigDavid / www.facebook.com/TS5Official

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









