Oleh: Khadijah Ibrahim
AGAK lama juga penyanyi lagu “Janji Manismu”, Dato’ Aishah tidak muncul dengan karya baharu. Terakhir beliau mengeluarkan album studio yang kesepuluh berjudul “Anak” pada 2010, manakala pada 2011 muncul dengan lagu “Ayuhai Anak” dan “Malar” pada 2018.
Kini penyanyi yang memulakan kerjaya seninya bersama kumpulan Fan Club dari New Zealand menerusi album “Sensation” itu kembali mengorak langkah dengan karya baharu berjudul “Taman Keabadian”.
Lagu yang penuh penghayatan dan sarat dengan emosi itu adalah ciptaan komposer berbakat besar, Senna yang menganggap lagu tersebut sangat peribadi dan istimewa bagi dirinya.
Senna memilih Aishah sebagai penyanyi kerana yakin hanya suara dan jiwa penyanyi ikonik ini mampu menyampaikan makna lagu tersebut dengan sempurna.
“Lagu ini begitu peribadi buat saya. Ia menuntut penyampaian yang bukan sekadar teknikal, tetapi penuh penghayatan dan spiritual. Saya yakin hanya Dato’ Aishah sahaja yang dapat membawa roh lagu ini dengan begitu mendalam. Beliau menyanyi bukan hanya dengan suara, tetapi dengan seluruh jiwa,” ujar Senna.

Lagu “Taman Keabadian” menyentuh tema perpisahan dengan insan-insan yang tersayang, sama ada ibu bapa, keluarga, sahabat mahupun teman seperjuangan yang telah pergi meninggalkan kita.
Dalam bait-bait liriknya terselit rasa kerinduan yang amat mendalam, namun disulami harapan bahawa pertemuan semula akan berlaku di Taman Keabadian.
Buat semua peminat dan pencinta muzik tanah air, Aishah menitipkan harapan agar lagu ini bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga memberi kekuatan dan ketenangan kepada mereka yang sedang melalui kehilangan. Malah, single baharu “Taman Keabadian” boleh dilayari di semua digital streaming platform bermula 8 Ogos lalu.
“Hanya keyakinan kita akan bertemu semula di negara abadi kelak dapat sedikit sebanyak mengubat kerinduan dan luka di hati. Berdoalah dan yakinlah kerana kita juga pasti menyusul dan bertemu semula di sana… di sebuah tempat dinamakan Taman Keabadian.
“Saya tujukan lagu ini kepada semua yang merindui insan-insan tercinta yang telah pun pergi ke negara abadi. Semoga lagu ini juga dapat menjadi teman dalam setiap doa dan pengubat jiwa buat mereka yang memerlukan semangat. Ini adalah hadiah saya buat anda semua,” kata Aishah yang nama lengkapnya, Wan Aishah Wan Ariffin.
Penyanyi berusia 60 tahun itu pernah diangkat sebagai pemenang Persembahan Vokal Terbaik di dalam Album (Wanita) di acara Anugerah Industri Muzik kedua (1995) menerusi album “Klasik” serta beberapa anugerah lain yang diraih, Aishah kini berdiri sebagai ikon budaya dan khazanah negara.
“Saya bersyukur kerana masih diberi peluang untuk terus menyanyi dan berkarya. Setiap lagu yang saya nyanyikan adalah sebahagian daripada hidup saya, dan saya harap ia juga menjadi sebahagian daripada hidup orang lain,” ujarnya.
Dalam usaha menyegarkan semula legasi muziknya, ibu kepada dua orang anak itu, turut aktif di laman Instagram aishahjmm dan TikTok aishahjmm, di mana peminat kini boleh menikmati semula versi baharu dan remastered lagu-lagu malar segar seperti “Janji Manismu”, “Sensation”, “Fatwa Pujangga”, “Don’t Let Me Fall Alone” dan “Syurga Di Telapak Kaki Ibu”.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









