Kumpulan XPDC bakal mengibur peminat mereka di Zepp Kuala Lumpur pada 8 November 2025.

Oleh: Khadijah Ibrahim

PASTI peminat kumpulan XPDC pening kepala kan sebab tak tahu nak ikuti yang mana. Kalau dulu sewaktu penubuhannya pada 1988, kumpulan yang diasaskan oleh J.S Kevin itu, senang saja nak ingat siapa anggota kumpulan tersebut.

Kalau sebut nama Mael, orang semua tahu Allahyarham adalah vokalis XPDC yang condong kepada genre muzik rock dan heavy metal itu. Selain Mael, XPDC juga diperkukuhkan oleh Izo (gitar), Zuar (bass) dan Lee Space (dram) sewaktu tampil dengan album sulung “Darjah Satu” yang diterbitkan pada 1990, diikuti dengan album “Timur Barat” pada 1992, “Kita Peng-Yu” (1994) dan “Brutal” (1997).

Itu dulu, sekarang ini kalau sebut nama XPDC, automatik peminat akan tanya XPDC yang mana satu? Sebab sekarang ini ada Real XPDC, XPDC Kita Peng Yu dan XPDC Militia.

Bagaimanapun baru-baru ini diumumkan hanya dua kumpulan sahaja yang dibenarkan mengguna nama XPDC iaitu XPDC Kita Peng Yu dan XPDC Militia yang mendapat kebenaran daripada syarikat rakaman Life Records.

Jika penonton yang hadir dengan pakaian beragam samurai, jika rezeki mereka akan menerima hadiah gitar.

Bagi peminat lagu-lagu XPDC, anda pasti tidak akan melepaskan peluang untuk mendengar karya-karya tersebut secara langsung. Justeru itu, Republic Mokhmah Records merealisasikan impian anda dengan menganjurakan konsert ‘XPDC Metalkestra’ yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 8 November 2025.

Untuk konsert tersebut anggota XPDC yang terlibat adalah Izo (gitar utama), Eddie (bass), Arif (rhythm gitar), Lola (dram) dan Mamu (vokalis), sebelum ini Ali adalah penyanyi untuk kumpulan tersebut.
XPDC kembali lagi dengan konsert yang bakal memberi sesuatu untuk dikenang oleh penyokong-penyokong XPDC seperti ‘Konsert Raksasa XPDC Brutal’ di Stadium Negara dan Shah Alam tahun 1998.

Wakil Republic Mokhmah Records, Musa berkata, pihak mereka sangat berbesar hati dapat menganjurkan konsert tersebut bagi meleraikan kerinduan peminat terhadap kumpulan XPDC.

“Seperti mana peminat teruja, kami selaku penganjur juga mempunyai keghairahan yang sama untuk melihat XPDC beraksi di atas pentas bersama karya-karya hebat yang telah dilahirkan sejak album pertama sehingga terkini.

“Apa yang lebih mengujakan apabila kami dan XPDC mencapai kata sepakat mengangkat tema Metalkestra dalam penganjuran julung kali ini,” jelas Musa.

Ini adalah barisan anggota kumpulan XPDC yang akan menjayakan konsert XPDC Metalkestra.

Beliau turut menyifatkan penganjuran XPDC Metalkestra sebagai pembuktian muzik rock yang diberi pelbagai label seperti rock kapak tidak pernah mati ditelan zaman.

“Dengan lambakan kumpulan atau muzik rock yang ada, harus diakui karya-karya XPDC tidak pernah mati dan kekal relevan. Kami juga berharap bukan hanya samurai senior yang hadir tetapi konsert ini mampu menarik peminat generasi baharu yang mengenal XPDC melalui pelbagai platform dan medium media sosial,” kata Musa lagi.

Sementara itu XPDC menyifatkan tema Metalkestra yang menggabungkan genre metal dengan permainan orkestra sebagai pilihan tepat sementelah mereka mahu mempersembahkan sesuatu yang segar namun masih mengekalkan identiti irama XPDC.

“Peminat bukan hanya akan menikmati heavy metal yang cukup sinonim dengan XPDC tetapi gabungan orkestra akan menambah kemewahan lagu-lagu yang akan dibawakan secara langsung kepada peminat.

“XPDC Metalketsra juga adalah sebuah apresiasi kami buat semangat peminat yang tidak pernah hilang dan menyokong kami dalam banyak fasa jatuh-bangun selama empat dekad ini.

“Konsert ini juga menjadi tanda aras XPDC tidak akan berhenti di hentian ini,” ujar Izo mewakili XPDC.

Pada konsert itu kelak, lagu-lagu popular XPDC seperti “Apa Nak Di Kata”, “Nafisa”, “Kita Peng Yu”, “Hidup Bersama”, “Hijau Bumi Tuhan” dan “CT Cinta Kenangan Silam” pasti tidak akan dilupakan untuk dipersembahkan kepada penonton.

Tiket dengan beberapa kategori bermula RM198 (Cat 4 – Samurai), RM338 (Cat 3 – Brutal), RM138 (Cat 2 – Darjah Satu), RM168 (Cat 1 – Kita Peng-yu) dan RM5,008 (Royal box – 10 pax yang berpeluang mendapat sesi Meet & Greet dan goodie bag) boleh dibeli di http://www.ilassotickets.com/konsertxpdcmetalkestra

Menarik lagi untuk konsert ini, dua pembeli tiket yang hadir dengan pakaian beragam samurai terbaik akan menangi hadiah Istimewa. Malah pihak penganjur turut menyediakan hadiah untuk cabutan bertuah iaitu gitar Jackson Izo Signature.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here