Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Bangsawan Pictures
DALAM tempoh hampir tiga jam trio adik-beradik, KRU yang dianggotai oleh Dato’ Norman, Dato’ Yusry dan Edry Abdul Halim berjaya membuatkan penonton tidak duduk diam daripada awal persembahan hinggalah ke akhir konsert.
Ternyata Konsert GenKRU yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 3 dan 4 Mei, baru-baru ini membuktikan bahawa penonton rindu untuk melihat KRU beraksi di pentas setelah sekian lama tidak mengadakan persembahan.

Konsert anjuran Icon Entertainment yang dimulakan dengan lagu “Fanatik”, “Malam Kita” dan “Oh! La La” itu seolah-olah mengembalikan penampilan awal kumpulan KRU yang terkenal dengan genre hip hop dan pop yang memulakan langkah dalam bidang seni tempatan pada 1992.
“Wow! Malam ini lagi power. Sudah 33 tahun KRU dalam industri muzik, sesungguhnya kami amat terharu melihat kehadiran anda semua,” kata Edry sebelum mereka meneruskan persembahan dengan lagu yang berusia lebih 20 tahun iaitu “Babe” yang dimuat dalam album “Relax” yang dikeluarkan pada 2004.

Persembahan KRU tampak bertenaga dan mempesona kerana mereka diiringi oleh kira-kira 20 orang penari dari tiga kumpulan iaitu, Team Shoba, Team Farouk dan Psychosix, penari kanak-kanak.
Hampir tujuh tahun tidak mengadakan konsert sekali gus membuatkan peminat-peminat KRU rindu untuk menonton aksi mereka di pentas. Ternyata penampilan mereka bertiga yang begitu eksklusif di pentas membuatkan penonton tidak jemu dan turut menyanyi bersama untuk setiap lagu yang didendangkan oleh KRU.

Meskipun sekarang ini, masing-masing sudah meningkat usia, Norman, 54, Yusry, 52, dan Edry, 49, namun persembahan mereka tampak begitu bertenaga kerana tiga beradik itu sanggup membuat persiapan rapi dari segi fizikal dan stamina sebelum menjayakan konsert GenKRU.
Pemilihan lagu-lagu yang dinyanyikan oleh KRU juga menjadikan konsert ini begitu menghiburkan. Selain menyanyi, anggota KRU juga terkenal dengan kerja-kerja di belakang tabir seperti mencipta dan menerbitkan lagu.

Untuk konsert GenKRU yang bakal berakir pada 10 Mei ini (malam ketiga) kumpulan tersebut juga tidak lupa berkongsi pentas dengan artis yang pernah bekerjasama dengan mereka.
Untuk segmen tersebut, KRU mendendangkan lagu “Untukmu”, yang mereka cipta untuk kumpulan Feminin dan turut menampilkan Adam AF2 di pentas kerana penyanyi itu berkolaborasi dengan KRU menerusi lagu “Terhangat Di Pasaran’ yang dimuatkan dalam album “KRUnisme” keluaran pada 2005.

Persembahan KRU yang diiringi oleh kumpulan The Negative’s dan string oleh Azim & The Gang itu turut berduet dengan kumpulan Elite yang dianggotai oleh Azza, Linda, Sasha, Abby Abadi dan Waite menerusi lagu “Di Pintu Syurga”.
Bukan setakat berduet dengan penyanyi yang pernah berkolaborasi dengan mereka, malah pada malam itu KRU turut menyanyikan lagu-lagu ciptaan mereka yang hingga kini tetap mendapat tempat di hati pendengar iaitu “Separuh Masa”, dendangan The Lima, “Sedetik Lebih” (Anuar Zain), “Romancinta” (Kumpulan Mojo) dan “Hye Hye Bye Bye (Ezlynn).

Sebanyak 24 buah lagu dendangan KRU yang diakhiri dengan lagu “Awas” membuktikan bahawa kumpulan tersebut masih relevan dalam industri muzik kerana belum ada lagi artis tempatan yang menjayakan konsert untuk tiga malam.
Pada penonton yang bakal menonton persembahan KRU pada Sabtu ini (10 Mei), pastikan anda merakam momen-momen indah bersama rakan-rakan yang hadir.

Tahniah diucapkan kepada KRU dan pihak yang menjayakan Konsert GenKRU kerana rata-rata yang hadir pulang dengan hati gembira kerana penyanyi kesukaan mereka masih bertenaga untuk menghiburkan hati mereka.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.