Image by freepik

Oleh: Asmat Fikry

Sebelum kembali ke keadaan normal atau biasa selepas melalui episod sawan, pesakit sawan akan mengalami fasa pemulihan, juga dikenali sebagai fasa ‘post-ictal’. Pesakit mungkin berasa tidak fokus, letih, sakit, dahaga, lemah, sakit, gementar, hilang kawalan ke atas pundi kencing atau usus, atau sakit kepala semasa fasa ini.

Mereka juga mungkin mengingati waktu terkena sawan itu atau mungkin tidak. Mengembalikan mereka dalam keadaan normal semula boleh mengambil masa berjam-jam ataupun berhari-hari. Walaupun sawan tertentu jarang bermasalah, kecederaan biasa seperti melecur, luka, lebam dan terjatuh boleh berlaku.

Pesakit yang terjatuh semasa mengalami sawan umum atau mereka yang mengalami sawan yang berpanjangan atau berulang, berkemungkinan besar mengalami komplikasi yang lebih teruk, seperti gegaran otak, tulang patah, pendarahan di otak atau berlakunya masalah pernafasan.

Cara mengurangkan sawan

Sawan tidak boleh dielak sepenuhnya namun ia boleh dikawal. Semua orang berisiko untuk sawan dan ia juga berlaku tanpa diduga, jadi tidak mungkin untuk menghalangnya daripada berlaku. Perkara terbaik yang boleh anda lakukan ialah mengelakkan kemungkinan penyebab mendapat sawan.

• Makan makanan yang seimbang– Banyak keadaan yang berkaitan dengan kesihatan peredaran darah dan jantung anda, terutamanya strok, boleh merosakkan kawasan otak anda. Ini adalah salah satu punca utama sawan pada orang yang berumur lebih dari 65 tahun. Ini juga boleh membantu mengelakkan masalah elektrolit.

• Jangan abaikan jangkitan– Jangkitan mata dan telinga amat penting untuk dirawat. Jika jangkitan ini merebak ke otak, ia boleh menyebabkan sawan. Jangkitan juga boleh menyebabkan demam tinggi yang boleh menyebabkan sawan.

• Pakai peralatan keselamatan– Kecederaan kepala adalah punca utama sawan. Menggunakan peralatan keselamatan apabila perlu boleh membantu anda mengelakkan kecederaan yang membawa kepada sawan.

• Jangan menyalahgunakan alkohol, preskripsi atau dadah rekreasi- Penyalahgunaan ini boleh menyebabkan sawan dan penarikan diri daripada bahan ini juga boleh menyebabkan sawan jika anda bergantung kepada bahan-bahan ini.

• Menguruskan keadaan kesihatan– Menguruskan keadaan kronik boleh membantu anda mengelakkan sawan, terutamanya yang berlaku kerana gula darah anda dengan diabetes jenis 1 atau diabetes jenis 2.

Image by freepik

Tindakan yang perlu dibuat

Bagi orang ramai pula, mungkin selama ini ada yang tersalah mendapat info tentang apa yang perlu dilakukan jika berdepan dengan orang yang diserang sawan secara tiba-tiba. Disebabkan itulah muncul ‘mazhab’ mengatakan perlu letakkan sudu di mulut, perlu mengoncang orang yang sedang sawan dan ada juga yang kata perlu angkat dan dijirus dengan air. Apakah langkah dan tindakan tersebut itu semua betul?

Untuk lebih memahami, mari kita lihat apakah tindakan yang sepatutnya dilakukan bila berhadapan dengan orang yang terkena serangan sawan secara tiba-tiba.

1. Jangan panik, biarkan sawan selesai sendiri
• Kebanyakan sawan akan berakhir dalam masa satu hingga dua minit.
• Jangan cuba menahan atau menggoncang individu yang sedang sawan kerana ini boleh menyebabkan kecederaan.

2. Letakkan individu dalam posisi mengiring
• Setelah sawan berhenti, baringkan individu tersebut dalam posisi mengiring.
• Posisi ini penting untuk memastikan laluan pernafasan tidak tersekat dan mengurangkan risiko tercekik akibat air liur atau muntah.

3. Jangan masukkan objek ke dalam mulut
• Tindakan memasukkan sudu, kain atau jari ke dalam mulut boleh menyebabkan kecederaan pada gigi dan rahang.
• Individu yang mengalami sawan tidak akan menggigit atau menelan lidah mereka seperti tanggapan ramai.

4. Pastikan kawasan sekitar selamat
• Jauhkan individu daripada objek tajam atau permukaan keras yang boleh menyebabkan kecederaan semasa sawan berlaku.
• Jika boleh, letakkan sesuatu yang lembut di bawah kepala untuk mengurangkan impak hentakan.

5. Dapatkan bantuan perubatan
• Jika sawan berlarutan lebih dari lima minit atau individu tidak sedarkan diri selepas sawan berhenti, segera dapatkan bantuan perubatan.
• Bawa individu ke klinik atau hospital terdekat untuk pemeriksaan lanjut.

Penutup

Harus diingat, tiada siapa pun meminta untuk mendapat apa penyakit sekalipun termasuk sawan. Berhadapan dengan orang yang kerap terkena sawan perlu ada empati tinggi dalam diri seseorang. Kesan sawan ini juga teruk pada diri orang yang mengalaminya. Jadi jangan gelarkan orang sawan ini dengan gelaran tidak elok seperti ‘gila’, mental, tak betul dan diejek serta mereka diketawakan. Jangan lupa kita juga mempunyai keluarga dan mana tahu akan datang, orang terdekat kita diuji dengan penyakit sawan ini. Marilah kita sama-samalah tingkatkan ilmu dalam diri agar kita dapat membantu seseorang yang terkena serangan sawan jika keadaan memerlukan.

 

Previous articleKonsert GenKRU kembalikan nostalgia peminat fanatik KRU
Next articleKhasiat dan manfaat bawang merah untuk kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here