Oleh: Nury Kadir
Dan, sentiasalah memperbaharui wuduk kerana ia merupakan sunnah Rasulullah SAW. Baginda SAW berwuduk setiap kali solat walaupun Baginda SAW sentiasa berada dalam keadaan berwuduk dan suci dari hadas sebelumnya.
Baginda SAW juga banyak menyebutkan tentang kelebihan-kelebihan orang yang sentiasa berwuduk, antaranya ialah sabda Baginda SAW: Maksudnya: “Apabila seseorang Muslim atau Mukmin mengambil wuduk, lalu dia membasuh wajahnya, maka keluarlah daripada wajahnya segala dosa yang telah dilihat oleh kedua matanya melalui air atau bersama titisan air yang terakhir. Ketika dia membasuh kedua-dua tangannya, maka keluarlah daripada kedua-dua tangannya setiap dosa yang telah dilakukan oleh tangannya itu bersama air atau bersama titisan air yang terakhir. Ketika dia membasuh kedua-dua belah kakinya, maka keluarlah daripada kedua-dua kakinya itu setiap dosa yang dilangkah oleh kedua-dua kakinya bersama air atau bersama air terakhir, sehinggalah dia selesai berwuduk dalam keadaan bersih daripada dosa-dosa.” (HR Muslim)
Muhammad Kamil Abd al-Somad, dalam bukunya al-I’jaz al-Ilmi fi al-Islam wa al-Sunnah al-Nabawiyah, menjelaskan bahawa manfaat wuduk sangat besar untuk tubuh badan manusia. Mulai dari membasuh tangan dan menyela-nyela jari, berkumur-kumur, memasukkan air ke dalam lubang hidung, membasuh muka, membasuh kedua-dua tangan sampai siku, mengusap kepala, membasuh telinga dan membasuh kaki hingga buku lali.
Wuduk bukan sekadar untuk solat, malah ia juga dianjurkan sebelum tidur. Jika seseorang berada dalam keadaan suci, bererti dia dekat dengan Allah. Kerana Allah akan dekat dan cinta kepada orang-orang yang berada dalam keadaan suci. Setiap sesuatu yang Allah perintahkan mesti ada hikmahnya kerana Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya.
Apa ada dengan wuduk sebelum tidur? Cuba lihat apa yang dijelaskan menerusi hadis Rasulullah SAW. Daripada al-Bara’ bin ‘Azib RA, katanya: Rasulullah SAW bersabda kepadaku: Maksudnya: “Apabila kamu datang ke tempat perbaringan, hendaklah kamu berwuduk seperti wuduk solat, kemudian berbaring atas lambung kanan dan berdoalah:
اللَّهُمَّ أَسْلَمْتُ نفِسي إِلَيكَ، وَفَوَّضتُ أَمري إِلَيْكَ، وَأَلَجَأْتُ ظَهرِي إِلَيْكَ، رغبةً ورهْبَةً إِلَيْكَ، لامَلجأَ ولا مَنجي مِنْكَ إِلاَّ إِليكَ، آمنتُ بِكِتَابِكَ الذِي أَنزَلْت، وَبِنَبِيِّكَ الذِي أَرسَلتَ
“Ya Allah, aku serahkan diriku pada-Mu, dan aku serahkan urusanku pada-Mu. Aku sandarkan belakangku kepada-Mu dengan penuh rasa harap dan takut kepada-Mu. Tiada tempat bersandar dan selamat selain daripada-Mu. Aku beriman dengan kitab-Mu yang Kamu turunkan, dan nabi-Mu yang Kamu utuskan.” Sekiranya kamu mati, nescaya kamu mati di atas fitrah dan jadikanlah rangkuman doa ini sebagai akhir apa yang kamu baca. (HR al-Bukhari)
Dalam sebuah hadis lain yang turut diriwayatkan oleh al-Bara’ bin ‘Azib RA, Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Apabila kamu pergi ke tempat perbaringan kamu, maka hendaklah kamu wuduk seperti kamu wuduk untuk solat, kemudian berbaringlah di lambung sebelah kananmu.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Al-Qadhi ‘Iyadh dalam Ikmal al-Mu’lim berkata: Hadis ini terdapat tiga sunnah, salah satunya berwuduk untuk tidur kerana dibimbangi Allah mematikannya tanpa taharah (tanpa dalam keadaan bersuci). Dan seterusnya supaya mimpinya benar serta jauh dari permainan syaitan dalam mimpinya dan yang menakutkannya. Ketiga, jika dia mati, maka akhir amalannya di dunia adalah bertaharah serta zikrullah.
Seandai sudah berwuduk tetapi terbatal sebelum tidur maka adalah sunat baginya untuk mengulangi wuduk tersebut. Maksudnya seseorang itu sentiasa tidur dalam keadaan suci. Daripada Muaz bin Jabal R.A, Nabi SAW bersabda:Maksudnya: “Tiada seorang Islam yang tidur dengan berzikir dan dalam keadaan taharah, kemudian dia terjaga pada waktu malam, lalu dia memohon kepada Allah kebaikan di dunia dan akhirat, kecuali Allah SWT perkenankan hajatnya.” (HR Abu Daud dan Ibn Majah)

Lap air wuduk
Perlukah dilap air wuduk yang melekat pada anggota wuduk? Ini adalah jawapan yang diberikan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang lebih cenderung kepada pendapat yang mengharuskan perbuatan mengeringkan anggota wuduk dengan menggunakan tuala dan seumpamanya selepas wuduk. Ini mengambil kira perbuatan Rasulullah SAW yang mengelap anggota baginda menggunakan tangan berdasarkan hadis berikut:
Daripada Maimunah R.anha beliau berkata: Maksudnya: “Aku membawakan kepada Nabi SAW secebis kain (setelah baginda mandi junub), maka baginda tidak menerimanya. Lalu baginda menghilangkan sisa-sisa air di badan baginda menggunakan tangannya. (HR Al-Bukhari)
Demikian juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abbas RA beliau berkata: Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW mandi, lalu dibawakan kepada baginda kain pengelap dan baginda tidak menyentuhnya. Kemudian baginda menyapu saki baki air di badan baginda menggunakan tangannya.” (HR Al-Nasai)
Al-Syeikh Al-Mahamili menyatakan bahawa para ulama sepakat bahawa perbuatan itu tidaklah diharamkan, serta terdapatnya keperluan untuk mengelap anggota wuduk bagi mengelakkan perasaan tidak selesa dalam beribadah.
Seterusnya Imam Al-Nawawi mengatakan: Bahawa yang sahih di dalam mazhab kami adalah disunatkan untuk meninggalkan perbuatan tersebut. Dan tidak dikatakan bahawa ianya makruh. Dan Imam Ibn Al-Munzir menyatakan bahawa perbuatan mengelap anggota selesai wuduk itu diharuskan oleh Saidina Uthman bin Affan, Al-Hasan bin Ali, Anas bin Malik, Basyir bin Abi Mas’ud serta Imam Hasan Al-Basri.
Manakala ia dihukum makruh oleh Jabir bin Abdillah R.anhuma, Abd al-Rahman bin Abi Laila, Sa’id Ibn Al-Musayyib dan selainnya. Manakala Al-Mahamili mengatakan bahawa para ulama telah ijma’(bersepakat) bahawa perbuatan itu tidak diharamkan dan perbezaan pendapat berlaku sama ada ia makruh atau tidak.
Doa selepas wuduk
Diakhiri artikel ini dengan doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW berdasarkan hadis daripada Umar R.A, Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ يَتَوَضَّأُ فَيُبْلِغُ أَوْ فَيُسْبِغُ الْوَضُوءَ ثُمَّ يَقُولُ : أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ إِلَّا فُتِحَتْ لَهُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ الثَّمَانِيَةُ يَدْخُلُ مِنْ أَيِّهَا شَاءَ .
Maksudnya: Tiadalah seorang kamu berwuduk dan memenuhi kesempurnaan wuduk, kemudian berdoa: “: أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ” kecuali akan dibuka baginya pintu-pintu syurga yang lapan. Dia berhak masuk dari pintu mana yang dia mahu. (HR Muslim, Abu Daud, al-Nasa’ie, Ibn Majah dan al-Tirmizi)
Apa yang dimaksudkan dengan pintu syurga? Dalam menafsirkan maksud pintu-pintu syurga dibuka, ada dua pendapat:
1. Untuk memudahkan sampai ke arah jalan-jalan kebajikan yang akhirnya menuju ke pintu tersebut. Dalam bahasa yang lain, Allah menyediakan baginya sebab-sebab amalan soleh yang akhirnya membawa kepada pintu-pintu syurga. Ini berdasarkan firman Allah:
وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا
Maksudnya: “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan).”(Surah al-Ankabut: 69)
2. Makna futihat (فُتِحَتْ) “telah dibuka” dengan maksud akan dibuka pada hari Kiamat. Penggunaan fi’il madhi pada tempat akan datang semata-mata untuk mentahqiqkan pasti berlaku dan hampirnya. Ini sejenis daripada ta’bir balaghi sebagaimana firman Allah SWT:
أَتَىٰ أَمْرُ اللَّـهِ فَلَا تَسْتَعْجِلُوهُ
Maksudnya: Telah hampir datangnya janji yang telah ditetapkan oleh Allah, maka janganlah kamu minta disegerakan. (Surah al-Nahl: 1)
Semoga perkongsian ini memberi manfaat bersama untuk sentiasa menjaga wuduk semampunya sebagaimana yang Rasulullah SAW pernah berpesan. Anas bin Malik menuturkan bahawa Nabi SAW bersabda; maksudnya: Wahai Anas, sekiranya engkau mampu untuk sentiasa dalam keadaan berwuduk maka lakukanlah. Barang siapa yang didatangi oleh malaikat maut sementara dia dalam keadaan berwuduk nescaya wuduknya itu akan menjadi saksi baginya.” (HR at-Tabarani)

NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.