"Justeru, FINAS akan menaja pembukaan akaun i-Saraan KWSP kepada 1,000 penggiat industri yang masih belum mempunyai akaun KWSP," kata Fahmi pada Majlis Muhibah Hari Raya Aidiffitri anjuran FINAS baru-baru ini.

Oleh: Syed Wafa
Foto: Ehsan Pejabat Menteri Komunikasi

Atas prihatin terhadap penggiat industri tanah air, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) akan menaja pembukaan akaun i-Saraan kepada 1,000 penggiat industri, bagaimanapun keutamaan akan diberikan kepada mereka yang belum memiliki akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau berharap inisiatif yang diperkenalkan di bawah program PELINDUNG adalah usaha menyediakan jaringan keselamatan sosial kepada tenaga industri yang sering terpinggir, termasuk kru bebas dan tenaga belakang tabir.

Gimik pelancaran majlis yang penuh bersejarah.

Memurut Fahmi, Ini adalah salah satu inisiatif penting yang digerakkan oleh Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA) bersama FINAS.

“Melalui kerjasama strategik bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan KWSP, penggiat seni kini boleh menyertai Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Akta 789) serta i-Saraan KWSP, tanpa had umur, satu pelaburan jangka panjang untuk masa depan dan kebajikan mereka.

“Justeru, FINAS akan menaja pembukaan akaun i-Saraan KWSP kepada 1,000 penggiat industri yang masih belum mempunyai akaun KWSP,” kata Fahmi pada Majlis Muhibah Hari Raya Aidiffitri anjuran FINAS baru-baru ini.

Fahmi ( paling tengah) menyaksikan detik bersejarah dengan majlis pelancaran rasmi GAFEMA dengan penyerahan Mou kepada Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib sebagai gabungan induk industri.

Menurut beliau lagi, Kerjasama strategik bersama KWSP itu membolehkan penggiat seni menyertai i-Saraan KWSP tanpa had umur.

kouta itu dibuka sehingga September dan keutamaan akan diberikan kepada penggiat yang belum ada akaun KWSP.

“Inisiatif ini bukan sahaja membuka jalan kepada simpanan hari tua, tetapi memberi mesej jelas Kerajaan MADANI tidak meminggirkan penggiat seni yang selama ini bertungkus-lumus membina industri dari belakang tabir,” kata Fahmi lagi.

Sementara itu, Fahmi turut melancarkan GAFEMA dan inisiatif perlindungan sosial melalui program PELINDUNG.

GAFEMA turut menyerahkan Memorandum Persefahaman (MoU) kepada Kementerian Komunikasi melalui agensinya, FINAS sebagai tanda solidariti dan usaha bersama membangunkan dasar industri.

Dalam majlis yang penuh barakah ini juga, Fahmi menyampaikan sumbangan kepada insan seni yang memerlukan, diiringi
Datuk Hans Isaac, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Datuk Azmir Saifuddin, CEO Finas.

Fahmi berkata, GAFEMA diiktiraf sebagai entiti induk mewakili lebih 16 persatuan dalam industri seni kreatif.

“Hari ini juga kita menyaksikan detik bersejarah dengan majlis pelancaran rasmi GAFEMA yang ditubuhkan pada 21 Ogos 2023. Kini, GAFEMA diiktiraf oleh FINAS sebagai gabungan induk industri.

“GAFEMA menghimpunkan lebih 16 persatuan merangkumi penerbit, pengarah, pekerja teknikal, animator, penulis skrip, pos-produksi dan banyak lagi sebagai satu entiti kolektif untuk memperjuangkan hak, kebajikan serta pembangunan industri.

“Saya juga menyambut baik sesi MoU daripada GAFEMA kepada FINAS sebagai simbol komitmen bersama untuk memperkukuh dasar industri,” katanya.

Antara insan seni yang menerima sumbangan.

Terdahulu, melalui program Town Hall Industri Kreatif, FINAS memberi penerangan berkenaan pindaan Akta FINAS 1981 (Akta 244) serta membuka ruang kepada pemain industri menyatakan pendapat bagi memastikan industri dapat diperkukuh dari semasa ke semasa.

Dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada tahun ini, fokus pindaan Akta 244 membabitkan tiga skop utama iaitu peluasan skop kawal selia FINAS, pengukuhan tadbir urus serta pemantapan fungsi FINAS, sejajar dengan keperluan semasa termasuk arus dominan platform OTT (Over-The-Top) dan penstriman digital yang mengubah cara khalayak menikmati kandungan filem.

Majlis pelancaran GAFEMA dan PELINDUNG yang diadakan bersama Majlis Muhibah Hari Raya Aidiffitri anjuran FINAS itu turut dihadiri ramai penggiat industri terkenal tanah air antaranya Datuk Habsah Hassan, Datuk Afdlin Shauki, Freddie Fernandez, Zed Zaidi, David Teo dan ramai lagi.

Previous articleTidak salah berfesyen, asalkan mengikut syarak yang ditetapkan (Bahagian 2)
Next articleAaron Aziz keluarkan wang sendiri, supaya jemaah dapat pergi umrah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here