Tidak salah berfesyen, asalkan mengikut syarak yang ditetapkan (Bahagian 2)

Oleh: Nury Kadir

Menurut Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, mana-mana pakaian yang mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh syarak boleh dipakai. Berikut adalah antara perkara yang perlu dirai dalam pemakaian menurut Islam seperti yang dinyatakan oleh Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri:

1. Menutup aurat
Pakaian itu hendaklah menutup aurat semua badan wanita kecuali apa yang dibolehkan oleh al-Quran dan anggotanya yang ternampak, menurut qaul yang diberatkan, iaitu wajah dan kedua tapak tangan sahaja.

2. Pakaian itu bukan dari jenis yang jarang, sehingga menampakkan apa yang dibelakangnya kerana Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Dua golongan termasuk ahli neraka ialah wanita-wanita yang berpakaian separuh bogel (kerana memakai pakaian yang nipis atau yang menampakkan susuk badan), yang berjalan dengan berlenggang- lenggok (seperti perjalanan seorang pelacur), yang kepalanya terhuyung-hayang laksana kelana unta yang bergoyang-goyang, wanita-wanita itu tidak akan memasuki syurga, sedangkan bau syurga itu akan tercium dalam jarak sekian dan sekian.”

Ini kerana pakaian wanita itu tidak berfungsi menutup tubuhnya kerana terlalu nipis sehingga ternampak badannya yang berkeadaan seperti dia tidak berpakaian sama sekali.
Satu peristiwa datang serombongan kaum wanita dari suku Bani Tamim untuk menziarahi Saidatina Aisyah RA dengan berpakaian nipis, maka Saidatina Aisyah RA secara terang-terangan berkata kepada mereka: “Jika kamu sekalian dari wanita mukmin iaitu beriman dengan sebenar-benar iman, maka pakaian-pakaian yang kamu pakai ini bukanlah dari pakaian orang yang beriman.”

Dalam peristiwa lain, datang beberapa orang wanita membawa seorang pengantin perempuan yang memakai tudung yang nipis, sehingga kelihatan perhiasan kepalanya, maka Saidatina Aisyah RA berkata: “Wanita yang memakai seperti ini, ialah wanita yang tidak beriman.”

3. Tidak terlalu ketat
Pakaian itu tidak terlalu sempit sehingga melekat pada semua anggota badan, dan kerana itu ternampaklah susuk badan wanita itu, meskipun pakaian itu tidak nipis seperti pakaian moden masa kini. Maka pemakai pakaian seperti ini tidak terlepas dari maksud hadis di atas sebagai wanita-wanita yang separuh bogel bahkan pakaian seperti ini lebih mudah memberi fitnah kepada pemakainya.

4. Pakaian wanita berbeza daripada lelaki
Pakaian itu bukan dibuat khusus untuk kaum lelaki seperti pakaian pantelon atau seluar ketat dan sebagainya yang sudah terkenal pada masa kini, kerana Rasulullah SAW pernah melaknat wanita-wanita yang menyerupai lelaki sebagaimana Baginda melaknat lelaki yang menyerupai wanita. Demikian Baginda melarang wanita memakai pakaian lelaki dan lelaki memakai pakaian wanita.

Menurut Ibn Hajar, definisi pakaian khusus buat lelaki atau wanita berbeza-beza mengikut perbezaan setiap tempat. Berkemungkinan sesuatu kaum itu pakaian orang perempuan mereka tidak jauh berbeza dengan pakaian orang lelaki mereka, tetapi orang perempuan dibezakan dengan hijab dan juga pakaian yang bertutup.

5. Tidak menyerupai orang kafir
Jangan sampai pakaian itu sudah terkenal sebagai pakaian orang-orang kafir dari kaum Yahudi, kaum Nasrani dan kaum Wathani penyembah api dan berhala. Keinginan hendak meniru atau menyerupai orang-orang ini sangat dilarang oleh Islam yang mahukan lelaki dan wanitanya berlainan dari mereka dan bebas dalam bentuk dan rupa. Kerana itulah Islam memerintahkan kita supaya bersikap berbeza daripada orang-orang kafir itu dalam banyak hal yang mana disimpulkan oleh Rasulullah SAW: Maksudnya: “Siapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka samalah dia seperti mereka.”(HR Ahamd, Abu Daud dan al-Tabarani)

6. Bersopan santun
Wanita muslimah hendaklah bersopan santun dalam perjalanannya, tutur bicaranya dan menjauhi minat orang dalam segala gerak -geri badannya dan penonjolan wajahnya kerana sikapnya bergaya dan menggoda itu adalah tabiat perempuan lacur dan bukan dari tingkah laku wanita muslimah.
Firman Allah SWT:Maksudnya: “Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (sentiasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu).” (Surah al-Ahzab: 32)

Photo by M. Ghufanil Muta Ali on Unsplash

7. Tidak menarik perhatian lelaki
Jangan sekali-kali muslimah itu sengaja menarik perhatian lelaki kepada apa yang disembunyikan dari perhiasan dirinya dengan memakai wangian macam mana sekalipun atau memakai benda-benda yang berbunyi dalam rentak langkah kakinya atau seumpamanya.
Allah SWT berfirman: Maksudnya: “Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka.” (Surah al-Nur: 31)
Pada zaman jahiliah, apabila seseorang wanita itu berjalan dengan menghentak-hentak kaki supaya menarik perhatian orang ramai agar mereka memperdengarkan gelang kakinya, maka perbuatan seperti itu boleh menghidupkan khayalan lelaki yang menyimpan gelora nafsu syahwat yang jahat terhadap wanita itu. Perbuatan seperti itu menunjukkan bahawa wanita itu menyimpan niat buruk untuk menarik dan minat golongan lelaki terhadapnya.
Dalam maksud ini juga, dari segi hukumnya apabila seorang wanita memakai wangian dan bau-bauan yang mengharumkan sesiapa sahaja yang menghidunya untuk membangkitkan nafsu dan menarik perhatian lelaki kepadanya.
Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Apabila seseorang wanita itu memakai wangian, lalu dia melintas tempat perkumpulan (lelaki), maka dia begini dan begini..” (HR Abu Daud)
Dan riwayat yang lain menyebut: Maksudnya: “Setiap mata melakukan zina. Apabila wanita memakai wangian, lalu dia melintasi tempat duduk sekumpulan orang lelaki supaya mereka tercium baunya, maka dia samalah seperti wanita pelacur.” (HR al-Tirmizi (2786)

8. Tudung hendaklah melepasi paras dada.
Sebaiknya tudung wanita dilabuhkan sehingga melepasi paras dada kerana wanita khususnya digalakkan untuk melebihkan dalam menutup aurat.

Jangan sentap! Fesyen dalam berpakaian adalah sesuatu yang dibenarkan dalam Islam, namun ia perlu selari dengan garis panduan yang telah ditetapkan dalam hukum syarak. Panduan ini berasaskan dalil-dalil daripada al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW yang memberikan batasan tertentu agar pakaian yang dikenakan bukan sahaja menutup aurat, tetapi juga mencerminkan nilai kesopanan dan kesederhanaan dalam kehidupan seorang Muslim.

Islam telah menetapkan, bahawa lelaki hendaklah menjadi lelaki dari sudut pemakaian, perhiasan, gaya percakapan dan cara berjalan mengikut sunnatullah yang telah ditetapkan. Begitu juga perempuan hendaklah menjadi perempuan seperti yang diciptakan Allah SWT dengan sebaik-baik kejadian. Justeru, ketika mana seseorang menyerupai jantina berlawanan dengan cara berpakaian atau berfesyen yang tidak seiring dengan jantina asalnya, maka hukumnya jelas haram dan berdosa besar.

Dalam dunia seni dan fesyen, kebebasan berkarya dan mengembangkan kreativiti memang diiktiraf, tetapi ia tidak boleh dianggap sebagai kebebasan mutlak yang membolehkan seseorang berpakaian atau berfesyen tanpa batasan. Islam menegaskan bahawa setiap aspek kehidupan, termasuk dalam berpakaian, perlu mengambil kira hukum syarak serta adat setempat yang selari dengan nilai agama dan budaya.

Previous articleFahmi Fadzil Santuni & Seru Veteran RTM Perangi Penyebaran Maklumat Palsu!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here