Demi memastikan impian jemaah terlaksana Aaron Aziz dahulukan wang sendiri.

Oleh: Khadijah Ibrahim

TIDAK sampai hati melihat 40 jemaah yang bakal ‘tersangkut’ untuk menunaikan umrah, akhirnya pelakon Dato’ Aaron Aziz sanggup mengeluarkan duit sendiri sebanyak RM90,000 bagi memastikan impian mereka terlaksana.

Jelasnya, jemaah yang rata-rata adalah warga emas itu telah pun selamat melakukan ibadah umrah tanpa mengetahui bahawa beliau yang mendahulukan wang simpanannya akibat kesilapan daripada pihak pengurusan agensi umrah berkenaan.

Meskipun gembira dapat memenuhi impian pak cik dan mak cik untuk menunaikan umrah, di waktu yang sama pelakon filem “Sheriff Narko Integriti” itu masih dalam dilema kerana wang ‘pelaburan’ yang dikeluarkan belum dapat ditebus.

Aaron, 49, ketika ditemui di majlis Raya Aidil-Fit-Rizz iQIYI 2025, baru-baru ini menegaskan, beliau bukanlah mangsa penipuan atau ‘scam’.

“Saya tak guna perkataan tipu atau scam tapi lebih kepada ditipu daya. Ada yang kata, kenapa senang-senang percaya orang dan keluarkan duit.

“Kalau saya tak keluarkan duit, 40 jemaah akan tersangkut. Bila saya tengok gambar jemaah, pak cik dan mak cik seramai 40 orang tu, hati saya sedih. Kalau saya tak belikan tiket dulu, mereka tidak dapat pergi umrah.

Terus hentikan kerjasama dengan syarikat pengurusan umrah yang bermasalah itu.

“Selebih daripada itu saya tak ada apa nak cakap, bukan sebab scam atau apa, mungkin disebabkan salah pengurusan. Mengurus umrah ini bukan bisnes macam kita pergi London atau Paris tak perlu nak tempah hotel.

“Kalau bisnes berkaitan umrah ni selalunya cash flow (aliran tunai) memang tinggi. Kejadian itu berlaku selepas sebulan saya tanda tangani kontrak, nasib baik saya tidak terjebak lebih. Sekarang ini, mereka sedang refund sedikit demi sedikit,” katanya yang mengaku sudah lama berurusan dengan syarikat tersebut tanpa sebarang masalah sebelum ini.

Aaron bagaimanapun tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap agensi itu.

“Kalau saya ambil tindakan, syarikat itu akan tutup dan saya tak akan dapat duit saya semula. Lagi satu, ramai pekerja tak bersalah akan hilang kerja mereka, tapi tindakan pun tetap kena ambil,” katanya yang terus menamatkan kerjasama dengan syarikat tersebut.

Aaron dan isteri, Datin Diyana Halik sering membantu kawan-kawan dan saudara mara ke Tanah Suci kerana mereka memang suka ke sana.
“Cita-cita nak buka syarikat mengendali umrah ini tak adalah, cuma saya dan isteri suka ke Tanah Suci, kadang-kadang bawa kawan dari Singapura sebab pakej di Malaysia ini lebih murah.

“Satu benda yang kita minat adalah membantu kekawan dan keluarga pergi ke Tanah Suci. Staf saya pun pernah saya hantar pergi ke Tanah Suci Mekah kerana mengambil keberkatan. Daripada beli tiket untuk ke London atau New York, baik kita beli tiket pergi ke Mekah buat umrah,” katanya lagi.

Berdasarkan pengalamannya itu, Aaron menasihatkan mana-mana rakan artis yang nak bekerjasama dengan syarikat lain, sila pastikan latar belakang agensi berkenaan dengan teliti.

Previous articleFahmi Fadzil umum FINAS akan menaja 1,000 penggiat seni buka i-Saraan
Next articleTLDM hantar 25,000 naskah al-Quran ke Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here