Image by our-team on Freepik

Oleh : Nafsiah Jani

Semua orang mempunyai tabiat membuang air besar yang berbeza. Ada yang boleh membuang air besar mengikut waktu pada setiap pagi. Ada juga yang sukar untuk membuang dan kadangkala hanya membuang air besar seminggu sekali.

Inilah yang dikatakan sembelit kerana kesukaran untuk membuang air besar dan sembelit dalam bahasa Inggeris dipanggil constipation. Masalah ini pasti dihadapi semua orang tanpa mengira usia kerana kanak-kanak pun boleh menghadapi masalah sembelit. Namun bagi warga emas, masalah sembelit boleh mendatangkan komplikasi yang lebih serius.

Sembelit adalah satu keadaan yang berlaku apabila seseorang itu sukar untuk membuang air besar kerana najis yang terkumpul sudah mengeras dan sukar untuk dikeluarkan dari badan. Namun ianya boleh diatasi dengan mengambil banyak makanan yang berserat dan cecair yang mencukupi.

Jika keadaan ini berterusan, masalah sembelit yang kronik juga boleh menjadi simptom kepada masalah kesihatan yang lebih serius, termasuk sindrom usus besar, kanser kolorektal, kencing manis, penyakit Parkinson, kemurungan, atau kelenjar tiroid menjadi kurang aktif.

Masalah sembelit juga boleh dikaitkan dengan pengambilan ubat-ubat tertentu, gaya hidup yang sibuk, tidak makan serat atau minum air secukupnya, tekanan, kurang bersenam, perubahan rutin harian, tidak menghiraukan keinginan atau rasa untuk ke bilik air adalah penyebab timbulnya masalah sembelit ini.

Bagi mengelakkan masalah ini, ada banyak petua tradisional dan moden yang boleh digunakan bagi mengatasi masalah sembelit ini. Namun, sekiranya masalah ini masih berlarutan, pesakit perlulah berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut. Di bawah ini kami akan terangkan beberapa cara-cara merawat sembelit yang boleh dicuba. Cuba jangan tak cuba.

Photo by Towfiqu barbhuiya: https://www.pexels.com/photo/close-up-photo-of-person-holding-his-belly-11773868/
  1.  Teh senna juga dapat membantu anda untuk mengatasi masalah sembelit. Teh senna mengandungi glikosida yang dapat merangsang sistem saraf dalam perut dan mempercepatkan pergerakan membuang air besar. Namun teh senna mungkin tidak sesuai untuk wanita mengandung dan sedang menyusukan anak.
  2. Bagi mengelakkan sembelit, minum air secukupnya sekurang-kurangnya 12 gelas air setiap hari. Minum air suam pada awal pagi untuk memudahkan proses membuang air besar. Namun elakkan pengambilan air berkarbonat kerana ia akan menyebabkan sembelit yang lebih teruk.
  3. Lakukan banyak senaman ringan. Bagi mereka yang sudah berusia lakukan senaman ringan seperti berjalan kaki selama 20 hingga 30 minit sehari bagi melegakan masalah sembelit. Selain itu anda juga boleh amalkan senaman aerobik, berenang, menari ataupun berjoging.
  4. Amalkan pengambilan serat termasuk bijirin, roti gandum dan nasi dalam makanan anda. Manakala buah-buahan serta sayuran, bijirin dan kekacang. Antara buah-buahan yang dicadangkan adalah pisang, epal, pear, apricot dan strawberi yang mempunyai kandungan serat yang tinggi dan dapat melegakan sembelit. Kurangkan makanan serat rendah seperti daging, susu, keju dan makanan diproses.
  5. Makanan yang kaya dengan probiotik juga dapat mengurangkan risiko sembelit. Menurut kajian mereka yang amalkan probiotik ini selama dua minggu didapati lebih mudah membuang air besar dan jarang mengalami masalah sembelit. Selain suplemen probiotik, amalkan juga makanan yang kaya dengan probiotik seperti yogurt, tempe, tapai, tempoyak dan kimchi.
  6. Kopi juga dapat memberikan stimulasi pada otot sistem pencernaan. Sebab itulah ada orang yang terus rasa ingin ‘membuang’ selepas menghidu bau kopi! Menurut kajian European Journal of Gastroenterology & Hepatology, kesan kopi terhadap sistem pencernaan sangat kuat. Kesannya juga 60% lebih kuat berbanding minum air kosong dan 23% lebih kuat daripada kopi tanpa kafein!
  7. Buang air besar dengan mencangkung juga dapat membantu mengeluarkan najis dari dubur berbanding cara duduk. Berbaring dan kaki dinaikkan ke atas juga merangsang otot untuk membantu mengelakkan sembelit.
  8. Mengambil makanan herba seperti halia dan kunyit yang bersifat mentona dan menguatkan fungsi hati, juga dapat membantu mencegah masalah sembelit.
  9. Jika merasa ingin membuang air besar, jangan berlengah-lengah atau cuba menahannya. Perbuatan ini yang menjadi punca sembelit jika selalu melengah-lengahkan urusan penting ini.
  10. Jauhi rokok kerana perokok tegar dan mereka yang mengalami tekanan emosi berpanjangan juga mudah mengalami sembelit.

 

Previous articlePuas diet tapi berat badan tak turun? Awas! Anda mungkin menghidap tiroid (Bahagian 1)
Next articleAshraf Muslim memilih bertoleransi dalam semua hal

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here