Ashraf Muslim kini sibuk meniaga pakaian jenama Ashraf Muslim Premium Clothing.

Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Ehsan Ashraf Muslim/Koleksi Syed Wafa

JIKA ada yang ingin menambah koleksi baju raya atau masih mencari, jangan lupa berkunjung ke Festival Gerobok Biru Gegak Gempita Raya, yang berlangsung di WTC Kuala Lumpur dari 14 hingga 24 Mac ini.

Festival yang berlangsung selama 11 hari dan 196 jam itu bukan sekadar pameran jualan, tetapi satu pengalaman penuh warna-warni yang menggabungkan festival raya dan festival makanan dalam satu acara besar-besaran di mana tagline yang mereka tekankan “Shopping Awal Tak Kalut”.

Kalau anda adalah penggemar drama “Seribu Tahun” dan nak bertemu dengan doktor Nizam, watak yang dilakonkan oleh Ashraf Muslim, singgahlah ke Festival Gerobok Biru Gegak Gempita Raya kerana di situ ada booth beliau. Sepanjang Ramadan, peneraju watak doktor Nizam itu fokus kepada perniagaan saja.

Ashraf Muslim sering menjadi cover majalah terkenal tanah air.

Gerobok Biru Gegak Gempita Raya bukan sekadar festival biasa, tetapi satu platform yang mengangkat keunikan budaya, gaya hidup dan tradisi rakyat Malaysia dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Dengan pelbagai pilihan fesyen raya, biskut tradisional, gajet dan telco, dekorasi rumah, produk kecantikan serta banyak lagi, pengunjung pasti akan menemui segala keperluan mereka di bawah satu bumbung.

“Konsep Gerobok Biru Gegak Gempita berbeza dengan festival yang saya pernah sertai sebelum ini. Sebagai vendor saya terpanggil untuk bersama sebab saya tengok ada banyak elemen yang menarik.

Turut berlakon dalam drama “Seribu Tahun”.

“Dalam keadaan teknologi sekarang ini, penganjur festival ini turut menyediakan live booth dan podcast yang tidak pernah dibuat di festival sebelum ini. Ada pula penghantaran yang disediakan kepada vendor-vendor dan sekali gus memudahkan mereka untuk berniaga.

“Dengan ada online tu lagi ramai orang akan beli barang daripada vendor di sini. Saya rasa itu satu platform yang bagus dan di sini saya jual baju Melayu, kurta, samping, pakaian perempuan, semuanya menggunakan kain kapas. Ini jenama sendiri iaitu Ashraf Muslim Premium Clothing,” kongsi pelakon yang nama penuhnya Muhd Ashraf Muslim itu mengenai aktiviti beliau sepanjang Ramadan ini.

Ashraf, 44, tidak menafikan apabila beliau mengeluarkan produk dengan menggunakan nama sendiri, tanggungjawabnya besar kerana orang mengenalinya.

“Bila saya keluarkan produk dengan menggunakan nama sendiri memang berat sebab itu saya kena teliti supaya ia dapat menjadi brand yang kuat. Melalui jenama Ashraf Muslim Premium Clothing ini saya nak didik pengguna supaya percaya dan yakin dengan produk yang saya jual.

Selesa berlakon drama Shahrulezad kerana Ashraf tahu karya pengarah itu pasti menarik.

“Saya nak orang yang beli barang jualan saya percaya dan terus membeli sampai bila-bila. Saya yakin pembeli datang ke booth sebab nak pegang produk dan bila mereka lihat sendiri, mereka akan tertarik untuk membeli kerana pakaian tersebut dibuat daripada kain kapas yang tidak panas bila dipakai dan sangat selesa.

“Saya yakin orang akan suka. Saya dah tengok gelagat pembeli sewaktu saya buka booth di Singapura, dia datang dan datang lagi. Ini satu benda yang baik bagi saya dan sebab itu tahun ini saya masuk banyak juga event.

“Harga RM179 untuk sepasang baju bersama samping dan butang saya bagi ekstra satu set. Saya berani buat dengan harga begini sebab kain ini diambil terus dari Pakistan dan bukan dengan orang Tengah. Ada 20 warna untuk kanak-kanak dan dewasa. Tak slim fit tapi tailor made. Semua saiz ada. Pakaian jenama saya ini ala-ala baju Melayu tahap T20, tapi B40 pun boleh pakai,” katanya.

Menyentuh mengenai watak doktor Nizam yang dibawanya dalam drama 24 episod, arahan Shahrulezad Mohameddin yang disiarkan setiap Rabu dan Khamis, jam 9 malam di Astro Ria, secara peribadi Ashraf mengakui terkejut dengan sambutan yang diterima.

Ashraf Muslim yang berjiwa patriotik ditauliahkan pangkat Leftenan.

“Drama dapat sambutan dan saya terkejut sebab impaknya sangat luar biasa. Saya masa berlakon watak doktor Nizam tu nampak macam biasa saja tapi bila di set berbincang dengan abang Ejat (pengarah) dan Azhan Rani untuk nampakkan watak luar biasa.

“Alhamdulillah, apabila adegan menarik ia memberi impak besar kepada penonton. Untuk menampakkan scene itu menarik bukan bergantung kepada pelakon semata-mata. Maksudnya semua pelakon memainkan peranan, begitu juga dengan skrip, kamera dan suntingan. Walaupun satu dua episod tapi memberi impak besar.

“Bayangkan untuk satu scene, skrip saya sampai 12 muka surat untuk dialog. Masa dapat skrip itu saya terkejut dan alhamdulillah dapat dilakukan dengan baik. Dengan satu scene itu memberi impak besar kerana dalam satu adegan itu juga ada banyak emosi yang berlaku,” katanya yang tidak akan menolak kalau ditawar berlakon oleh Shahrulezad.

Tambahnya, walaupun watak doktor Nizam tu nampak macam biasa tapi apabila bermain dengan situasi, penampilan doktor Nizam tu nampak lain. Justeru itulah kalau Shahrulezad panggil berlakon, Ashraf tidak menolak kerana tahu ada perkara yang menarik pasti berlaku.

Sering melakonkan pelbagai watak setiap kali berlakon.

Drama pertama lakonan Ashraf adalah “Impian Illyana” yang menampilkannya sebagai Izham pada 2006, manakala filem sulung lakonan anak sulung daripada tujuh beradik itu adalah “Aku Masih Dara” sebagai Firdaus yang dikeluarkan pada 2010.

Ashraf yang dipilih sebagai Pelakon Lelaki terbaik Telenovela pada Anugerah Telenovela 2017 itu juga turut berlakon teater. Antara pementasan pentas yang dijayakan oleh Ashraf adalah “Muzikal Patung Kertas 08” sebagai Kerry, “Muzikal Patriot” menerusi watak Yahya dan “Muzikal Randai Cindua Mato” pada 2016.

Selain berlakon, Ashraf juga berkebolehan sebagai pengacara dan beliau pernah mengendalikan program “Assalammualaikum” untuk TV AlHijrah pada 2011 dan pada 2019 sebagai pengacara program “Tetamu Allah” di Astro Oasis.

Penerima Bintang Khidmat Terpuji (B.K.T) Darjah, sempena Sambutan Hari Jadi ke-75 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam pada 25 Ogos 2024, Ashraf tetap mengutamakan kerjaya seni biarpun sibuk dengan urusan perniagaan yang diusahakan.

Bertoleransi dalam semua perkara

Menjadi ketua kepada dua buah keluarga bukanlah perkara mudah kerana semua sedia maklum, kita hanyalah insan biasa dan bukan memiliki sifat maksum seperti para Nabi yang terpelihara dari dosa.

Namun jika sudah bersedia memikul tanggungjawab menjadi nakhoda kepada dua buah kapal perlulah bersikap adil dan saksama.

Menerusi perkahwinan tersebut, Ashraf dikurniakan empat orang anak, dua lelaki dan dua perempuan daripada dua wanita yang dinikahinya.

Ashraf Muslim bijak mengurus dua isteri dengan baik.

Pernikahan pertama Ashraf berlangsung pada 2011 bersama Noor Dayana Lokman dan dikurniakan seorang anak iaitu Anas Ashraf yang dilahirkan pada 10 Disember 2015. Manakala bersama isteri kedua, Wan Sakinah Ahmad yang diijab kabul pada 2013, pasangan itu memiliki tiga cahaya mata iaitu Sarah Ashraf yang lahir pada 5 April 2014, kemudian pada 14 September 2016 Wan Sakinah melahirkan anak keduanya iaitu Adam Ashraf dan pada 3 September 2018, hadir pula anak perempuan.

Ashraf yang pernah dilabel oleh netizen sebagai ‘ikon poligami’ kerana pernikahan bersirinya pada usia muda bagaimanapun tidak mudah bermegah dengan gelaran tersebut.

Baginya isu poligami cukup sensitif untuk dibincang dan diperkatakan secara terbuka, sebab itulah Ashraf lebih senang mengambil pendekatan hal berkaitan rumah tangga tidak harus dicampuri pihak luar, sebaliknya wajar diselesaikan dalam kalangan keluarga sendiri.

Bagi Ashraf, sikap toleransi penting dalam menyelesaikan isu dalam rumah tangga tanpa melibatkan orang luar. Dalam melayari bahtera perkahwinan, individu perlu memiliki ilmu sebelum berkahwin, apatah lagi jika mahu bernikah lebih daripada seorang isteri.

“Bagi saya, suami sebagai ketua keluarga perlu bijak…bukan saja daripada segi kewangan, malah aspek lain juga. Namun isteri perlu turut sama membantu bagi membentuk sebuah unit keluarga bahagia.

Rahsia Ashraf Muslim bijak mengurus dua isteri dengan baik dikongsi dalam majalah ‘Keluaga’

“Perancangan perlu dibuat untuk tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang mengenai apa yang perlu dibuat, selain diiringi doa agar beroleh kebahagiaan. Contohnya, bila hari raya, saya ada tiga keluarga yang perlu disantuni.

“Sudah lama saya mengamalkan sistem pengiliran sebab raya lama bukan sehari dua tapi sebulan. Bagi saya yang ada masa dua minggu, saya akan bahagi dengan baik-baik, mana yang pertama dan kedua atau ketiga kerana saya pun ada keluarga sendiri juga selain keluarga isteri.

“Saya kena balance, tahun ini di sini dan kemudian di sana. Tahun ini bersama Sakinah dulu sebab keluarga Dayana pergi umrah, lepas tu baru balik ke rumah keluarga saya. Bagi saya tak ada masalah sebab sudah berbelas tahun lalui perkara ini. Apa yang penting, kita menyantuni keluarga, siapa dulu dan kemudian, semua dah faham,” katanya berterus terang.

Tegasnya, sebelum nak buat sebarang keputusan, semua yang terlibat perlu berbincang dulu, sebab berkahwin adalah satu perubahan yang sangat besar dalam kehidupan. Perlu fikirkan kesan dan cari solusi terbaik.

“Tak kisahlah isu poligami yang berlaku kepada artis atau bukan, apa saja keputusan yang dibuat itu biarlah harmoni. Benda yang baik kita mulakan dengan baik. Jangan benda yang baik kita mulakan dengan perkara yang tak baik.

“Supaya tak ada kekhilafan atau kesan tak baik selepas itu. Sebelum buat keputusan (berpoligami) bincang baik-baik sebab nak hidup sama-sama, kita tak nak pengakhiran yang tidak baik.

Keluarga bahagia Ashraf Muslim.

“Dalam keputusan itu mesti bertoleransi, ilmu faham antara satu sama lain. Untuk mendapatkan keredaan bukan saja isteri sendiri tapi orang sekeliling juga. Bagi saya perkara yang baik kalau kita keruhkan ia boleh beri kesan yang tidak baik kepada sisi agama.

“Berhati-hati bila kita berkongsi di media sosial. Sebab sekarang ini banyak fitnah yang boleh keluar dari mulut dan jari jemari kita,” kata Ashraf memberi pandangannya apabila ada rakan artis yang mahu berpoligami dan menguar-uarkan niatnya itu di media sosial, sedangkan perkara belum berlaku.

Selain aktif dalam bidang seni, Ashraf juga seorang yang berjiwa patriotik dan sanggup berjuang demi negara. Semangat jati diri sebagai pejuang sudah lama bersemi dalam diri beliau sejak belajar di universiti lagi.

Justeru itu, pada Mac tahun lalu, beliau ditauliahkan dengan pangkat Leftenan dalam Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Tentera Darat.

“Sewaktu di universiti saya aktif dalam PALAPES dan sebab itulah saya sertai Askar Wataniah. Bila sibuk dengan kerjaya seni, saya berhenti sekejap. Sekarang saya sertai semula Askar Wataniah apabila menyedari semangat patriotik dalam diri saya yang sangat menebal untuk berjuang dan berkorban demi negara.

Memperagakan pakaian jenama Ashraf Muslim Premium Clothing bersama anaknya.

“Sebelum ini saya pernah ditauliahkan pangkat Leftenan Muda dan sekarang dinaikkan satu pangkat lagi. Tapi, yang penting kemasukan saya ke dalam Askar Wataniah ini untuk memperkasakan lagi askar-askar rekrut.

“Jadi, mungkin dengan kehadiran saya dapat menarik minat ramai lagi dalam masyarakat terutama anak muda untuk terbabit dengan ketenteraan sebagai askar simpanan yang terbuka kepada pelbagai kerjaya,” katanya sesiapa saja yang berminat boleh menyertai Askar Wataniah.

“Apabila kita menjadi pelapis sebagai askar simpanan, sekurang-kurangnya kita ada asas ketenteraan dan tahu apa hendak buat jika berlaku sebarang ancaman terhadap negara.

“Walaupun askar simpanan, tapi tetap boleh dianggap askar juga sebab semua latihan yang dibuat masih lagi di bawah ketenteraan. Jadi, apa saja ilmu dan pengalaman yang saya ada akan disalurkan,” katanya.

Previous articleCara atasi masalah sembelit
Next articleBlack, Adira bergabung suara buat pertama kali

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here